Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonspirasi harga kontena: AS tuduh 7 eksekutif termasuk pengerusi SBF subahat
Konspirasi harga kontena: AS tuduh 7 eksekutif termasuk pengerusi SBF subahat
Harga kontena perkapalan standard dilapor naik sekitar dua kali ganda antara 2019 dengan 2021
Konspirasi harga kontena: AS tuduh 7 eksekutif termasuk pengerusi SBF subahat
Tujuh eksekutif syarikat kontena perkapalan, termasuk veteran perkapalan Singapura, Encik Teo Siong Seng, telah dituduh oleh Amerika Syarikat kerana bersubahat untuk menetapkan harga kontena barangan kering dari November 2019 hingga sekurang-kurangnya Januari 2024.
Akibatnya, harga kontena perkapalan standard dilaporkan meningkat sekitar dua kali ganda antara 2019 dengan 2021, berdasarkan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika pada 19 Mei.
Melalui apa yang dipercayai pakatan sulit, empat pengeluar kontena perkapalan terbesar dunia – China International Marine Containers (CIMC), CXIC Group Containers, Shanghai Universal Logistics Equipment, dan Singamas Container Holdings – menyaksikan keuntungan mereka melambung hampir 100 kali ganda semasa pandemik Covid-19 dan krisis rantaian bekalan sejagat yang menyusul, ujar jabatan itu.
Berdasarkan dokumen mahkamah yang difail pada 22 Januari dan didedahkan pada 19 Mei, eksekutif daripada empat syarikat – CIMC, CXIC Group Containers, Shanghai Universal Logistics Equipment, dan sebuah lagi yang tidak dinamakan – dipercayai telah mengadakan pertemuan di ibu pejabat CIMC di Shenzhen, China, pada atau sekitar 14 November 2019.
Dalam pertemuan itu, mereka dipercayai bersetuju menyekat pengeluaran kontena dengan pelbagai taktik.
Ini termasuk mengehadkan bilangan syif dan waktu operasi harian bagi setiap barisan pengeluaran, serta menggunakan pengawasan video bagi memastikan firma kontena itu mematuhi kuota yang dipersetujui.
Mereka juga dikatakan telah menetapkan penalti kewangan terhadap mana-mana firma yang didapati membuat pengeluaran melebihi bahagian yang diperuntukkan.
Wakil firma berkenaan didakwa berkata Singamas dan sebuah lagi syarikat yang tidak dinamakan akan menyertai perjanjian itu kemudian.
Kira-kira seminggu selepas itu, seorang eksekutif Singamas telah memaklumkan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat, Encik Teo, tentang pertemuan “kesemua (enam) kilang” pada 3 Disember 2019 di Shanghai bagi membincangkan “keupayaan pengeluaran dan perkembangan baik industri kontena”.
“Enam kilang” yang terlibat merujuk kepada kemudahan milik empat firma yang telah bertemu sebelumnya, ditambah Singamas, anak syarikat Pacific International Lines (PIL), dan satu lagi syarikat yang tidak dinamakan.
Encik Teo, pengerusi eksekutif PIL, yang juga pengerusi SBF serta anggota Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), dipercayai telah dimaklumkan mengenai rancangan sekatan pengeluaran kontena tersebut.
Perjanjian pakatan sulit itu telah dimuktamadkan pada Februari 2020 dan ditandatangani oleh keenam-enam firma tersebut pada Mac 2020.
Menjelang September 2020, pihak yang bersekongkol itu dikatakan bersetuju untuk mengehadkan bekalan kontena perkapalan untuk pelanggan di Amerika, Eropah, China, dan pasaran antarabangsa lain.
Sekitar Julai 2022, Encik Teo dipercayai telah menyuarakan dalam satu mesyuarat dalaman bahawa firmanya lebih cenderung kepada pelaksanaan kuota bulanan, sebagai ganti kepada sekatan waktu kerja harian.
Dokumen mahkamah menunjukkan, peralihan strategi itu dilaksanakan antara September 2022 dengan November 2023.
Akhirnya, harga kontena 20 kaki meningkat lebih dua kali ganda, daripada kira-kira AS$1,600 ($2,048) kepada lebih AS$3,500 dari 2019 hingga 2021, dengan kontena lebih besar mencatatkan kenaikan yang setara.
