Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kompleks pelbagai guna bakal dibina atas stesen MRT Hougang

Bantu penuhi permintaan rumah di kawasan tersebut
Oct 30, 2024 | 4:38 PM
Tapak untuk pembangunan komersial dan kediaman yang akan punyai akses terus ke stesen MRT Hougang di laluan Timur Laut dan Rentas Pulau.
Tapak untuk pembangunan komersial dan kediaman yang akan punyai akses terus ke stesen MRT Hougang di laluan Timur Laut dan Rentas Pulau. - Foto ST

Satu pembangunan komersial dan kediaman serta pusat pertukaran bas sedang dirancang di sebuah tapak kosong besar yang terletak di atas stesen MRT Hougang, sedang tapak untuk perumahan baru disediakan di seluruh Singapura, di kawasan seperti Mount Pleasant, Newton dan Lakeside.

Pembangunan di Hougang akan membantu memenuhi permintaan rumah di kawasan tersebut dan membolehkan penduduk mendapat manfaat daripada nod pengangkutan akan datang serta kemudahan komersial baru. 

Demikian dinyatakan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam nota yang dilampirkan bersama cadangan pindaan kepada Pelan Induk agensi itu yang diterbitkan pada 28 Oktober, lapor The Straits Times.

Sebagai sebahagian daripada pindaan itu, satu tapak seluas kira-kira 4.7 hektar – sekitar sebesar 6½ padang bola sepak – telah ditetapkan untuk pembangunan pelbagai guna.

Tapak itu diberikan nisbah plot kasar 2.5, membolehkan penghasilan sehingga 117,500 meter persegi keluasan lantai kasar, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Tapak itu terdiri daripada kawasan kosong kira-kira 4 hektar yang terletak di antara Hougang Central dengan Hougang Avenue 10, kini ditetapkan untuk kegunaan komersial dan kediaman dengan plot kasar.

Terdapat juga tapak rizab yang menempatkan bangunan pejabat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Cawangan Hougang, bersebelahan Hougang Mall.

Peta menunjukkan tapak pembangunan di Hougang.
Peta menunjukkan tapak pembangunan di Hougang. - Foto URA, GRAFIK ST

Tapak seluas 4.7 hektar itu terletak di atas Pintu Keluar B stesen Hougang di Laluan Timur Laut (NEL) dan akan dihubungkan dengan Laluan Rentas Pulau (CRL) apabila stesen pertukaran itu siap pada 2030.

Ia juga merupakan salah satu daripada tiga plot tanah besar berhampiran stesen MRT Hougang yang ditetapkan untuk rumah baru, tetapi ketiga-tiga plot masih belum dibangunkan untuk kegunaan kediaman.

Encik Nicholas Mak, ketua pegawai penyelidik di portal carian hartanah Mogul.sg, berkata plot kira-kira 3 hektar yang terletak di selatan tapak pembangunan yang baru diumumkan itu boleh menghasilkan kira-kira 750 hingga 800 flat, atau kira-kira 1,000 unit kondominium.

Pada masa ini, Pusat Pertukaran Bas Hougang Central terletak di sebahagian tapak tersebut.

Stesen pertukaran bas Hougang Central kini menduduki tapak yang telah ditetapkan untuk perumahan di atas stesen MRT Hougang.
Stesen pertukaran bas Hougang Central kini menduduki tapak yang telah ditetapkan untuk perumahan di atas stesen MRT Hougang. - Foto ST

Encik Mak menambah bahawa plot tanah ketiga yang ditetapkan untuk rumah terletak lebih jauh ke selatan stesen pertukaran itu – saiznya kira-kira 4 hektar dan mempunyai nisbah plot kasar 3.5.

Ia boleh memuatkan kira-kira 1,200 flat, atau lebih 1,550 unit kondo.

Beliau jangkakan permintaan tinggi untuk perumahan yang dibina di ketiga-tiga tapak di Hougang itu, memandangkan ia berdekatan dengan pusat pertukaran pengangkutan pada masa hadapan.

Oleh kerana CRL masih dalam pembinaan, Encik Mak berkata beliau jangkakan pihak berkuasa hanya akan melepaskan tapak pelbagai guna itu untuk dijual atau dibangunkan selepas kerja pembinaan rel selesai, yang akan turut meningkatkan nilai tanah tersebut.

Pada 28 Oktober, URA turut menerbitkan cadangan pindaan kepada pelan induknya untuk estet Mount Pleasant yang akan datang.

HDB sebelum ini berkata estet itu akan mempunyai kira-kira 5,000 rumah melibatkan enam projek Flat Bina Ikut Tempahan (BTO).

Projek pertama akan dilancarkan pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg