Di pusat pengajian Islam Andalus dan Cordova, buku teks dan bahan dalam talian digunakan secara harmoni untuk mendidik pelajar.
Bahan pengajian agama di dua pusat pengajian Islam itu dihasilkan oleh syarikat penerbitan Darul Andalus. Kandungan pendidikan Islam itu dihasilkan dalam bentuk buku dan digital, serta padat dengan elemen interaktif dan dapat dikaitkan dengan kehidupan harian – lantas membantu pelajar memahami ajaran agama Islam dengan lebih berkesan.
Menurut pengurus di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Darul Andalus, Cik Raudha Abdullah, buku teks berfungsi sebagai teras pembelajaran, menyediakan kefahaman konsep secara tersusun, mendalam dan sistematik. Ia menjadi rujukan utama pelajar dan guru.
Bahan dalam talian pula bertindak sebagai nilai tambah lebih dinamik dan interaktif. Melalui video, animasi dan kuiz, bahan digital membantu menghidupkan teori serta menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.
“Kami berpegang pada prinsip ‘buku sebagai asas, bahan digital sebagai sokongan’. Setiap topik dalam buku diselaraskan dengan bahan digital melalui penjajaran objektif pembelajaran.
“Pada masa hadapan, buku teks juga akan dilengkapi kod QR yang membawa pelajar terus kepada aktiviti digital yang berkaitan. Dengan pendekatan ini, bahan digital bukan menggantikan buku, tetapi memperkukuh pemahaman melalui kaedah pembelajaran yang pelbagai,” ujar Cik Raudha.
Beliau menambah bahawa bahan pengajian yang dihasilkan Darul Andalus memberi fokus pada keseimbangan, di mana kandungan yang dibangunkan selari dengan tahap umur, keupayaan dan realiti kehidupan pelajar.
Ia perlu mudah difahami, tidak terlalu padat, serta relevan dengan pengalaman harian mereka, kata beliau.
Pada masa sama, setiap kandungan dirangka untuk menyokong natijah pengajian yang jelas, bukan sekadar untuk difahami, tetapi untuk diamalkan juga. Oleh itu, bahan yang diterbitkan perlu menarik, bermakna dan mampu membantu pelajar menghubungkan nilai yang dipelajari dengan kehidupan sebenar.
Dengan kewujudan teknologi, ia membuka ruang kepada pengalaman pembelajaran yang sebelum ini sukar direalisasikan. Contohnya, melalui penceritaan digital interaktif (interactive storytelling), pengajaran dapat disampaikan secara lebih hidup dan bermakna.
Elemen gamifikasi pula meningkatkan motivasi dan pelibatan pelajar, manakala pembelajaran tersuai (personalised learning) membolehkan kandungan disesuaikan mengikut tahap dan keperluan individu. Kesemuanya menjadikan proses pembangunan bahan lebih kreatif, inovatif dan berkesan.
Bagi memperbaiki bahan pengajian sedia ada, Darul Andalus sedang membangunkan ekosistem pembelajaran digital bersepadu merangkumi semakan silibus, membangunkan kandungan baru, mengintegrasi teknologi, melatih guru dan menerbitkan buku edisi baru secara berperingkat.
“Matlamat kami ialah memastikan kurikulum kekal relevan dan sesuai dengan tahap umur pelajar, meningkatkan mutu bahan cetak dan digital, serta menyediakan pengalaman pembelajaran lebih fleksibel, holistik dan bermakna.
“Dalam usaha ini, kami bekerjasama dengan pakar kurikulum dan pedagogi, pakar EdTech serta ‘Instructional Design’ (reka bentuk pengajaran) bagi memastikan setiap bahan yang dihasilkan berasaskan penyelidikan, amalan terbaik dan selari dengan konteks pendidikan negara,” kata Cik Raudha.
Memandang ke hadapan, Darul Andalus akan menerapkan pendekatan pembangunan bahan pengajian lebih holistik, berperingkat dan berteraskan nilai, selari dengan transformasi digital tanpa mengorbankan roh pendidikan Islam.
Antaranya ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan terkawal sebagai alat sokongan untuk membantu guru, memantau prestasi pelajar dan menyokong pembelajaran – tanpa menjejaskan peranan pendidikan dan bimbingan insan.
Kandungan juga akan dirangka agar berpusatkan pelajar dan ibu bapa, dengan bahan sokongan digital yang memudahkan pembelajaran di rumah dan menggalak pelibatan aktif keluarga.
“Di Darul Andalus, matlamat kami melangkaui pencapaian akademik semata-mata. Fokus kami ialah pembentukan peribadi pelajar dan kesan positif terhadap insan di sekeliling mereka.
“Setiap bahan yang kami hasilkan – baik buku mahupun digital – disulam dengan nilai murni dan etika Islam, dengan harapan dapat melahirkan generasi yang bukan berilmu sahaja, malah beradab, berakhlak mulia dan memainkan peranan bermakna dalam masyarakat.”
Tentang Darul Andalus
Darul Andalus Pte Ltd (DAPL) ditubuhkan pada 31 Oktober 2000. Aktiviti utama dan kecekapan teras Darul Andalus ialah dalam penerbitan dan pengedaran buku bermutu. Syarikat ini menerbitkan bahan pendidikan untuk peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah dan pascamenengah serta buku cerita, kamus dan sebagainya.
Darul Andalus juga mendapatkan buku daripada penerbit lain yang membentuk keseluruhan koleksi buku penggunanya. Pelanggan Darul Andalus termasuk institusi pendidikan, penyedia pendidikan swasta dan pertubuhan di Singapura, Malaysia dan Indonesia. Ia mempunyai rancangan untuk berkembang ke negara lain di Asia Timur, Timur Tengah dan Eropah.
Layari laman web shop.darulandalus.com untuk maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg