Topik diikuti
Pergi ke BHkuKoh Poh Koon kembali ke dunia perubatan selepas letak jawatan politik
Koh Poh Koon kembali ke dunia perubatan selepas letak jawatan politik
Koh Poh Koon kembali ke dunia perubatan selepas letak jawatan politik
Mantan Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, bakal kembali ke dunia perubatan sebagai pakar bedah menyusuli peletakan jawatan politiknya.
Dalam hantaran media sosial pada 2 Jun, Dr Koh, 54 tahun, menzahirkan penghargaan buat bekas rakan sejawatnya di Kementerian Kesihatan (MOH) sewaktu majlis makan tengah hari perpisahan.
“Ketika saya meninggalkan MOH dan kembali ke bidang perubatan sebagai pakar bedah, saya berharap kita akan bertemu semula apabila kita berusaha menyokong keperluan kesihatan rakyat Singapura,” kata Dr Koh, yang merupakan pakar bedah kolorektal.
Beliau berkata kepada The Straits Times: “Saya ingin kembali menjalankan kerja klinikal pada suatu ketika nanti. Namun pada masa ini, saya belum membuat keputusan mengenai bila, di mana atau sejauh mana.”
Beliau menambah bahawa buat masa ini, beliau ingin meluangkan masa bersama keluarga.
Dr Koh meletak jawatan pada 1 Jun atas alasan keluarga, seperti yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 22 Mei.
Menerusi hantaran Facebook, beliau meluahkan bahawa sejak menceburi politik pada 2015, beliau kurang meluangkan masa sebagai suami, bapa, dan anak. Baginya, keperluan keluarga kini menuntut perhatian yang sukar dipadukan dengan tuntutan jawatan politik.
Dr Koh, yang isterinya juga doktor, mempunyai dua anak perempuan.
Beliau akan terus berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines.
Sejarah politik beliau turut merangkumi kekalahan kepada Cik Lee Li Lian daripada Parti Pekerja dalam pilihan raya kecil Punggol East pada 2013.
Beliau kemudiannya dipilih dalam Pilihan Raya Umum 2015 (GE2015) sebagai sebahagian daripada pasukan GRC Ang Mo Kio, dan mula memegang jawatan politik tidak lama selepas itu pada 2016. Beliau ditempatkan di GRC Tampines dalam GE2020, dan bertanding di GRC yang sama pada 2025.
