Topic followed successfully
Go to BHkuKetua IATA: Bekalan bahan api jet pulih berbulan, harga minyak kekal tinggi
Ketua IATA: Bekalan bahan api jet pulih berbulan, harga minyak kekal tinggi
Ketua IATA: Bekalan bahan api jet pulih berbulan, harga minyak kekal tinggi
Bekalan bahan api jet global dijangka mengambil masa berbulan untuk pulih sepenuhnya, walaupun Selat Hormuz kini dibuka. Ini bermakna, menurut Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Encik Willie Walsh, harga minyak mungkin kekal tinggi untuk tempoh yang lama, katanya pada 8 April.
Beliau menjelaskan bahawa banyak kilang penapisan utama di rantau itu rosak teruk akibat serangan dron, dan pemulihan, katanya, “tidak akan berlaku dengan pantas.”
“Jika kita berjaya melancarkan semula aliran minyak mentah, ia akan memberi sedikit kelegaan serta-merta, namun, bekalan penuh bahan api jet ke tahap yang diperlukan akan memakan masa,” tambahnya.
Amerika Syarikat dan Iran pada pagi 8 April bersetuju untuk gencatan senjata selama dua minggu, mengakibatkan pembukaan sementara selat yang mengendalikan sekitar satu perempat daripada perdagangan minyak laut dunia.
Namun begitu, jika harga minyak terus melonjak, tambang penerbangan akan kekal tinggi, kata Encik Walsh kepada wartawan semasa Simposium Data Dunia IATA.
Simposium itu menyatukan pemimpin penerbangan global untuk berbincang dan bekerjasama dalam topik seperti data, teknologi, dan keselamatan siber.
Encik Walsh turut mengulas mengenai apa yang boleh dipelajari oleh negara-negara dan syarikat penerbangan daripada situasi itu, apa yang perlu dilakukan seterusnya, serta bagaimana krisis dan gencatan senjata terkini akan memberi kes
Situasi semasa bukanlah satu “cabaran yang mengancam kewujudan” industri ini, mahupun krisis yang setanding dengan apa yang berlaku semasa pandemik Covid-19.
Beliau menjangkakan permintaan global terhadap penerbangan tidak akan terjejas teruk, bahkan industri ini dijangka terus melebarkan sayapnya, meskipun mungkin pada rentak yang lebih perlahan.
Syarikat penerbangan, katanya, pasti akan menaikkan harga tiket sebagai tindak balas kepada lonjakan harga minyak yang mendadak, suatu tindakan yang pernah berlaku, misalnya semasa krisis kewangan global 2008 akibat kebankrapan bank pelaburan Lehman Brothers.
Masalahnya kini ialah syarikat penerbangan menanggung kos minyak yang lebih tinggi buat masa ini, dan memerlukan masa sebelum kenaikan harga tiket itu benar-benar menjelma sebagai hasil pendapatan yang hakiki, tambahnya.
Ini kerana banyak tiket sudah terjual sebelum konflik di Timur Tengah tercetus, dan syarikat penerbangan tidak mengenakan caj bahan api tambahan ke atas tiket-tiket yang telah dibeli itu.
Selain pelarasan harga, Encik Walsh menjelaskan syarikat penerbangan masih punya banyak ruang untuk mengawal kos, antaranya dengan mengurangkan kekerapan penerbangan.
Sebagai contoh, syarikat penerbangan tambang rendah Filipina, Cebu Pacific, telah mengumumkan pengurangan penerbangan antara Cebu dan Singapura, daripada tujuh kepada lima kali seminggu, bermula pertengahan April hingga akhir Oktober.
Syarikat itu juga akan menghentikan sementara operasi antara Iloilo dan Singapura dari pertengahan Jun hingga akhir Oktober.

