Mutu udara di Singapura kelihatan bertambah baik pada malam 5 September, dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) di kawasan barat kembali ke paras sederhana selepas diklasifikasikan sebagai tidak sihat sebelum ini.

Pada 9 pagi, bacaan PSI sepanjang 24 jam ialah 115 di bahagian tengah Singapura, dengan bacaan di kawasan barat menurun kepada 98, dan timur kepada 96.

Mutu udara di barat Singapura telah melepasi paras tidak sihat dengan bacaan PSI 102 pada 7 pagi 5 September, menjadikannya kawasan ketiga di negara ini yang mencatatkan tahap pencemaran tidak sihat sejak 4 September.

Bacaan PSI untuk kawasan utara ialah 83 manakala selatan 87, dengan kededuanya berada pada paras sederhana.

Sehingga 8 malam, bacaan PSI ialah 101 di tengah Singapura, sementara di barat pula ialah 91 dan timur 82.

Mutu udara dianggap tidak sihat apabila bacaan PSI berada pada paras 101 hingga 200.

Dalam keadaan sebegini, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar.

Hasil pemeriksaan The Straits Times menunjukkan bahagian barat telah melepasi bacaan PSI 101 sekitar tengah malam.

PSI untuk bahagian timur Singapura telah meningkat ke paras tidak sihat sekitar 9 malam pada 4 September.

Ia kekal pada paras tersebut sebelum merosot sekitar 7 pagi pada 5 September.

Bacaan PSI 5 September bermakna kawasan tengah Singapura kini mempunyai tahap pencemaran yang tidak sihat untuk lebih sehari.

Kali terakhir PSI mencapai paras tidak sihat akibat jerebu adalah pada Oktober 2023.

Dalam nasihatnya pada 4 September, NEA berkata jerebu boleh berterusan sehingga 5 September, dengan kualiti udara diramalkan berada antara paras sederhana tinggi dengan pertengahan paras tidak sihat.

Agensi itu berkata kepulan asap daripada kebakaran di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta Kalimantan diperhatikan bertiup ke arah Singapura.

Memandangkan keadaan kering diramalkan untuk beberapa hari akan datang, Singapura mungkin akan terus terjejas oleh jerebu rentas sempadan jika kebakaran berterusan berlaku di Sumatera serta Kalimantan, dan arah angin kekal tidak berubah

Pada 4 September, agensi di bawah Pasukan Petugas Jerebu (HTF) – diwakili 28 kementerian dan agensi pemerintah – dilaporkan telah melancarkan pelan tindakan serta mengeluarkan nasihat kepada orang ramai pada 4 September.

Ini selepas bacaan PSI 24 jam memasuki paras tidak sihat di bahagian tengah Singapura pada awal pagi hari yang sama.

Pelan tindakan serta nasihat yang dikeluarkan itu meliputi pelbagai sektor seperti prasekolah, sekolah, tempat kerja, institusi penjagaan kesihatan dan kemudahan masyarakat.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti