SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Terapi beri peluang pesakit barah darah berganda hidup lebih lama

Terapi beri peluang pesakit barah darah berganda hidup lebih lama

Apr 6, 2026 | 5:30 AM

Terapi beri peluang pesakit barah darah berganda hidup lebih lama

Mieloma berganda atau multiple myeloma (MM) ialah sejenis barah darah yang berpunca daripada pertumbuhan sel plasma yang tidak normal dan tidak terkawal.

Sel plasma itu biasanya berada di sumsum tulang, iaitu kilang penghasilan darah dalam tubuh kita.

Dalam keadaan normal, sel plasma memainkan peranan penting dalam sistem imun dengan menghasilkan antibodi pelindung terhadap pelbagai jangkitan.

Namun, apabila sel plasma menjadi barah, kesannya terhadap tubuh sangat memudaratkan.

Sel plasma barah bukan sahaja menggantikan penghasilan sel darah normal dalam sumsum tulang, malah turut menghasilkan antibodi tidak normal yang dikenali sebagai protein monoklonal.

Kehadiran sel plasma barah dan protein monoklonal itu boleh menyebabkan kerosakan tulang, kegagalan ginjal, pengurangan sel darah merah dengan paras hemoglobin yang rendah (anemia), paras kalsium yang tinggi serta penurunan daya tahan imun.

Gejala yang sering dialami termasuk keletihan, daya tahan fizikal yang berkurangan, sakit tulang, kekejangan dan jangkitan berulang.

Oleh itu, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan yang sesuai bagi mengesan semua kerumitan ekoran MM sebaik sahaja seseorang didiagnosis.

Di Singapura, sekitar 100 hingga 120 orang didiagnosis menghidap mieloma setiap tahun.

Risiko menghidap mieloma berbilang meningkat seiring dengan usia.

Secara purata, umur pesakit mieloma berbilang di Singapura adalah sekitar 65 tahun.

Kajian kes

‘Encik AKG’ ialah seorang lelaki berusia 60 tahun yang didiagnosis menghidap MM selepas mengalami pening dan keletihan yang bermula kira-kira lima bulan sebelum beliau mendapatkan rawatan.

Beliau bekerja sebagai akauntan dan kebanyakan tugasnya di pejabat.

Gejala yang dialami berpunca terutama daripada anemia.

Pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca anemia mendapati kehadiran protein tidak normal, iaitu protein monoklonal, dalam darah.

Keadaan itu membawa kepada prosedur aspirasi dan biopsi sumsum tulang yang mengesahkan diagnosis MM.

Penilaian tulang pula menunjukkan terdapat beberapa lesi tulang kecil akibat MM pada tulang belakangnya.

Jika tidak dirawat, lesi tulang itu akhirnya boleh melemahkan struktur tulang ke tahap kritikal dan menyebabkan pesakit terdedah kepada patah tulang secara spontan.

Berbeza dengan kebanyakan tumor pepejal, di mana peringkat dan prognosis sangat bergantung kepada sama ada barah telah merebak, prognosis MM lebih bergantung kepada jenis mutasi yang dikesan dalam sel plasma barah pada waktu diagnosis.

Walaupun tidak semua pesakit dengan protein monoklonal atau MM memerlukan rawatan segera, Encik AKG memerlukan rawatan pada ketika itu kerana MM telah menjejas organ tubuhnya.

Dalam kes beliau, penyakit itu menjejas sumsum tulang sehingga menyebabkan anemia serta lesi atau kawasan tisu yang mengalami kerosakan atau perubahan tidak normal di tulang belakangnya.

Dalam tempoh sekitar 20 tahun lalu, rawatan MM telah beralih daripada gabungan kemoterapi kepada terapi sasaran kombinasi.

Pada masa kini, amalan standard ialah penggunaan gabungan tiga atau empat jenis ubat yang bukan merupakan agen kemoterapi.

Encik AKG memulakan rawatan dengan rejimen tiga ubat yang merangkumi perencat proteasom, agen imunomodulator dan steroid.

Perencat proteasom berfungsi menghalang sistem “kitar semula protein” dalam sel barah, menyebabkan sel tersebut tidak dapat membuang protein rosak dan akhirnya mati.

Agen imunomodulator pula membantu menguatkan sistem imun supaya dapat mengenal pasti dan menyerang sel barah dengan lebih berkesan.

Sementara itu, steroid digunakan untuk mengurangkan keradangan serta membantu membunuh sel barah secara langsung, di samping meningkatkan keberkesanan ubat lain.

Beliau menunjukkan tindak balas rawatan yang baik dalam tempoh enam bulan berikutnya dengan pengurangan protein monoklonal ke tahap tidak dapat dikesan.

Pesakit yang mencapai tindak balas rawatan yang baik biasanya ditawarkan kaedah pemindahan sumsum tulang autologus, iaitu menggunakan sel tunjang pesakit sendiri, bagi mengukuhkan keberkesanan rawatan sasaran yang telah dicapai.

Namun, Encik AKG enggan meneruskan prosedur pemindahan tersebut dan seterusnya menjalani rawatan penyelenggaraan menggunakan ubat sasaran oral.

Malangnya, 18 bulan selepas memulakan rawatan, protein monoklonal dikesan semula dalam darah.

Keadaan itu diklasifikasikan sebagai kambuh awal.

Dalam konteks mieloma berbilang, istilah kambuh merujuk kepada keadaan apabila penyakit kembali aktif selepas mencapai tindak balas terhadap rawatan.

Takrif kambuh awal boleh berbeza bergantung kepada jenis terapi yang digunakan.

Namun, secara amnya pesakit yang mengalami kemunculan semula penyakit dalam tempoh 12 hingga 24 bulan selepas rawatan barisan pertama dianggap sebagai mengalami kambuh awal.

Keadaan itu biasanya menunjukkan penyakit yang lebih agresif dan memerlukan strategi rawatan susulan yang lebih intensif.

Pesakit yang mengalami kambuh awal lazimnya mempunyai penyakit yang lebih agresif serta mutasi yang lebih agresif dalam sel plasma kanser.

Dalam kebanyakan kes, kambuh ditandai dengan gejala yang sama seperti ketika diagnosis awal.

Namun, Encik AKG tidak mengalami sebarang gejala, sebaliknya peningkatan protein monoklonal dalam darah menjadi petanda kambuh.

Keadaan itu menekankan kepentingan pemantauan dan ujian berkala bagi pesakit MM yang sedang menjalani rawatan.

Kambuh awal dahulunya jauh lebih kerap berlaku sebelum era terapi sasaran.

Rawatan Encik AKG kemudian ditukar kepada gabungan terapi sasaran menggunakan ubat-ubatan yang belum pernah diterimanya sebelum ini.

Strategi itu boleh dilaksanakan kerana terdapat banyak terapi baharu dan yang sedang berkembang untuk MM, masing-masing dengan mekanisme berbeza bagi mensasarkan sel plasma barah.

Sebahagian daripadanya bertindak dengan memanfaatkan sistem imun tubuh sendiri untuk membunuh sel MM secara langsung.

Gabungan terapi sasaran, sama ada sebagai rawatan barisan pertama atau bagi MM yang kambuh, telah mengubah sepenuhnya landskap rawatan MM.

Pesakit tidak lagi perlu menanggung kesan sampingan kemoterapi konvensional, malah boleh kekal bebas penyakit tanpa MM selama bertahun-tahun ketika menjalani rawatan.

Sifat terapi sasaran yang bukan berasaskan kemoterapi juga membolehkan ubat-ubatan itu, khususnya ubat oral, digunakan untuk tempoh yang panjang bagi mengekalkan pengampunan penyakit.

Encik AKG mencapai tindak balas penuh selepas pertukaran terapi dan kekal dalam keadaan tersebut selama tiga tahun lalu.

Sepanjang tempoh rawatannya, beliau tidak perlu berhenti bekerja dan sehingga kini masih bekerja sebagai akauntan.

MM sejak sekian lama dilabel sebagai penyakit yang tidak dapat disembuhkan, terutama pada era rawatan kemoterapi semata-mata.

Namun, ramai pesakit yang terlibat dalam kajian klinikal awal menggunakan terapi sasaran kini hidup lebih daripada sedekad selepas memulakan rawatan.

Sebahagian daripada pesakit itu mungkin sebenarnya telah sembuh.

Adalah wajar untuk menyatakan bahawa gabungan terapi sasaran baharu kini memberi harapan kepada pesakit MM, dan penawar mungkin berada dalam jangkauan.

Penulis Pakar Perunding Kanan, Hematologi, Parkway Cancer Centre.

Laporan berkaitan
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg