Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura pertingkat langkah kesihatan awam bagi cegah penularan penyakit campak
S’pura pertingkat langkah kesihatan awam bagi cegah penularan penyakit campak
Ia susulan 12 kes baru dilaporkan antara 1 Feb dengan 24 Mac
S’pura pertingkat langkah kesihatan awam bagi cegah penularan penyakit campak
Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) akan melaksanakan langkah kesihatan awam yang dipertingkat bagi membantu membendung penularan penyakit campak atau measles, menyusuli 12 kes baru yang dilaporkan antara 1 Februari dengan 24 Mac.
Kesemua 12 kes tersebut melibatkan individu yang menetap di Singapura, dengan enam daripadanya baru membuat perjalanan ke luar negara.
Selain itu, 11 daripada mereka didapati tidak menerima vaksinasi lengkap, termasuk dua bayi berusia bawah 12 bulan yang belum tiba masanya untuk mereka menerima vaksinasi Campak, Beguk, dan Rubela (MMR).
Lapan daripada kes tersebut tidak mempunyai kaitan genetik antara satu sama lain, manakala empat lagi kes merupakan sebahagian daripada kelompok jangkitan yang telah dikenal pasti, jelas CDA dalam satu kenyataan pada 31 Mac.
Setakat ini, CDA berkata mereka tiada bukti mengenai penularan lebih luas dalam masyarakat, dengan siasatan epidemiologi masih lagi dijalankan.
CDA berkata langkah yang dipertingkatkan itu mengekalkan sebahagian besar langkah berjaga-jaga yang dipertingkatkan sejak Februari, di samping memastikan kemampanan operasi bagi jangka masa panjang.
Ini termasuk meneruskan ujian mandatori terhadap semua kes penyakit campak yang disyaki.
Di bawah langkah itu, individu dalam persekitaran berisiko tinggi – seperti kakitangan pusat jagaan kanak-kanak dengan bayi di bawah umur setahun, atau kemudahan kesihatan dengan individu yang rentan secara perubatan – tidak dibenarkan kembali ke sekolah atau tempat kerja sehingga keputusan ujian mereka disahkan negatif.
Pengasingan mandatori bagi kes yang disahkan melalui ujian makmal juga akan diteruskan sehingga mereka tidak boleh menjangkiti orang lain lagi.
Individu yang tidak dimasukkan ke hospital akan diasingkan di rumah, dan pemeriksaan secara rambang akan dijalankan sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan mereka kekal di rumah, jelas CDA.
Pengesanan kontak akan terus dijalankan bagi semua kes jangkitan, di mana semua kontak – termasuk kontak tidak rapat – akan dinasihatkan supaya memantau gejala yang mereka alami serta mendapatkan rawatan perubatan jika berasa kurang sihat.
Sementara itu, kontak rapat yang rentan terhadap jangkitan – iaitu mereka yang belum mendapatkan vaksinasi atau tiada bukti imuniti – akan ditawarkan profilaksis pospendedahan (PEP) bagi mengurangkan risiko jangkitan serta mencegah penularan lanjut.
Mulai 1 April, kontak rapat ini tidak lagi akan dikuarantin.
Selain itu, individu yang bekerja atau belajar dalam persekitaran berisiko tinggi akan tertakluk kepada langkah tambahan.
Ini termasuk dikenakan cuti ketidakhadiran (LOA) daripada pusat jagaan kanak-kanak dan pengaturan semula tugas ke peranan yang tidak melibatkan interaksi secara langsung dengan pesakit di kemudahan kesihatan.
Langkah itu akan dilaksanakan bagi tempoh sehingga 21 hari daripada tarikh pendedahan terakhir mereka.
“Meskipun kita mungkin akan sekali sekala mengesan kelompok kecil dengan penularan terhad – sejajar dengan peningkatan kes demam campak secara global – risiko penularan besar dalam masyarakat kekal rendah disebabkan oleh kadar vaksinasi tinggi dan imuniti kelompok dalam kalangan penduduk Singapura,” jelas CDA.
“CDA akan memantau rapat situasi penyakit campak di Singapura dan menyelaraskan langkah kesihatan awam sejajar dengan perkembangan semasa, bagi mencegah penularan dalam masyarakat dan mengekalkan imuniti kelompok kita.”
Agensi tersebut turut mengingatkan orang ramai bahawa cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan campak adalah melalui pengambilan vaksin.

