Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rawatan gigi bantu atasi tidur terganggu

Struktur oral atau muka main peranan dalam pengaruhi pernafasan semasa tidur
Dec 29, 2025 | 5:30 AM
nijamuddeen latiff, sleep apnea, pernafasan, dengkur
Dr.Nijamuddeen Latiff, Pakar Bedah Pergigian, T32 Dental Group - Foto Dr Nijamuddeen Latiff

Tahukah anda bahawa tidur yang bermutu sebenarnya boleh meningkatkan prestasi semula jadi tubuh?

Tidur yang baik dapat membantu dalam menambah tenaga, fokus dan kestabilan emosi.

Sebaliknya, tidur yang terganggu boleh menjejas keupayaan fizikal serta mental, menjadikan tugas harian lebih sukar untuk dilakukan.

Salah satu punca utama gangguan tidur disebabkan Obstructive Sleep Apnea atau dipanggil Apnea Tidur Obstruktif (OSA), keadaan di mana saluran pernafasan berulang kali tertutup atau tersekat semasa tidur.

Ini menghalang aliran oksigen dan menyebabkan seseorang gagal mencapai tahap tidur yang nyenyak, penting untuk pemulihan badan sepenuhnya.

Simptom, Komplikasi OSA

Antara tanda utama OSA ialah dengkuran kuat, sakit kepala pada waktu pagi dan kesukaran menumpukan perhatian.

Jika tidak dirawat, OSA kronik boleh menyebabkan keletihan berpanjangan, menurunkan produktiviti dan meningkatkan risiko penyakit sistemik.

Kajian menunjukkan OSA dikaitkan dengan masalah kesihatan kronik seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Hubungan Mulut dengan Tidur: Tanda Perlu Diperhatikan

Ramai tidak menyedari bahawa ciri-ciri dalam rongga mulut juga boleh memberi petunjuk terhadap gangguan pernafasan ketika tidur.

Ciri seperti saluran udara sempit, lidah berlekuk atau tabiat mengetap gigi boleh menjadi tanda kepada masalah tidur berkaitan pernafasan.

Dalam kalangan kanak-kanak, tabiat bernafas melalui mulut, berdengkur atau pertumbuhan gigi yang sesak sejak awal, boleh menandakan halangan saluran udara ketika tidur.

Keadaan ini sering dikaitkan dengan gangguan tidur atau OSA kanak-kanak. 

Meskipun sekatan udara hanya berlaku pada tahap ringan, ia tetap boleh mengganggu mutu tidur dan menurunkan paras oksigen dalam badan, sekali gus menjejas tidur lena yang penting untuk perkembangan otak serta proses pembelajaran.

Kanak-kanak yang mengalami gangguan ini mungkin menghadapi masalah tumpuan, daya ingatan dan kawalan emosi.

Dalam jangka panjang, ia boleh menjejas prestasi di sekolah serta mencetuskan tingkah laku seperti hiperaktif atau mudah marah.

Oleh itu, pengesanan awal terutamanya oleh doktor gigi untuk mengenal pasti tanda-tanda oral atau struktur muka amat penting dalam menangani masalah saluran udara dan memastikan perkembangan yang sihat.

Peranan Doktor Gigi Dalam Urus OSA

Tidur yang bermutu bukan suatu pilihan, sebaliknya keperluan asas untuk kesihatan otak, jantung dan kesejahteraan menyeluruh.

Sebagai doktor gigi, kami sering menjadi pihak terawal mengesan tanda-tanda OSA dan membantu pesakit mendapatkan rawatan yang sesuai.

Semasa pemeriksaan pergigian, doktor gigi boleh menyaring masalah saluran udara.

Mereka merupakan antara profesional kesihatan pertama yang dapat mengesan gangguan tidur melalui pemerhatian terhadap struktur rahang, kedudukan lidah, tanda-tanda mengetap gigi, serta kesan refluks asid pada gigi.

Selepas pesakit disahkan menghidap OSA oleh pakar tidur, doktor gigi yang terlatih dalam perubatan tidur pergigian boleh menyediakan alat oral khas yang direka mengikut bentuk mulut pesakit.

Alat antidengkur yang dikenali sebagai Mandibular Advancement Device (MAD) ialah peranti oral yang dipakai di dalam mulut ketika tidur.

Alat ini berfungsi dengan menggerakkan rahang bawah sedikit ke hadapan, sekali gus membantu mengekalkan saluran pernafasan bahagian atas supaya kekal terbuka.

Dengan kedudukan rahang yang lebih ke hadapan, lidah dan tisu lembut di tekak kurang berisiko mengendur dan menyekat aliran udara semasa tidur.

Alat ini lazim digunakan untuk pesakit OSA ringan hingga sederhana, khususnya mereka yang mengalami dengkuran kronik.

Satu lagi alat yang dapat membantu pesakit OSA ialah Continuous Positive Airway Pressure (CPAP).

CPAP merupakan mesin yang menyalurkan udara bertekanan secara berterusan melalui topeng muka atau hidung ketika tidur.

Tekanan udara ini bertindak sebagai sokongan mekanikal yang menghalang saluran pernafasan daripada runtuh.

CPAP dianggap rawatan paling berkesan bagi OSA sederhana hingga teruk, namun ada pesakit yang sukar menyesuaikan diri kerana ketidakselesaan, bunyi mesin atau kesukaran memakai topeng sepanjang malam.

Dalam konteks ini, alat antidengkur MAD, sering dianggap sebagai alternatif praktikal berbanding CPAP, terutamanya bagi pesakit yang tidak dapat mematuhi penggunaan mesin tersebut.

Walaupun keberkesanannya berbeza mengikut individu, pendekatan ini menawarkan pilihan rawatan yang lebih ringkas, mudah dibawa dan meningkatkan pematuhan pesakit terhadap rawatan jangka panjang.

Kajian klinikal menunjukkan alat ini boleh mengurangkan kejadian gangguan tidur sehingga lebih 50 peratus bagi pesakit OSA tahap ringan hingga sederhana dan lebih mudah diterima berbanding penggunaan CPAP.

Alat tersebut berfungsi dengan menggerakkan rahang bawah ke hadapan, seterusnya menarik lidah dan tisu lembut sekitarnya agar saluran udara kekal terbuka semasa tidur.

Ini membantu mencegah sekatan udara dan memastikan pernafasan stabil sepanjang malam.

Rawatan

Pakar pergigian yang berpengalaman dalam rawatan tidur telah membantu ramai pesakit OSA.

Walaupun terapi alat oral berkesan dalam merawat OSA, pakar pergigian sentiasa menasihatkan pesakit supaya menggabungkannya dengan perubahan gaya hidup.

Amalan mudah seperti tidur mengiring dan mengekalkan waktu tidur yang konsisten amat penting untuk pengurusan jangka panjang.

Dengan pendekatan bersepadu antara doktor gigi, pakar tidur dengan pesakit sendiri, gangguan OSA dapat ditangani dengan lebih berkesan dan membantu individu mendapatkan semula kualiti tidur, tenaga dan produktiviti yang lebih baik.

+ Penulis pakar bedah pergigian di T32 Dental Group di Raffles Place dan anggota Persatuan Tidur Australasia.

Tangani Apnea Tidur Obstruktif (OSA)

Amalan mudah seperti tidur mengiring dan mengekalkan waktu tidur yang konsisten amat penting untuk pengurusan jangka panjang. Dengan pendekatan bersepadu antara doktor gigi, pakar tidur dengan pesakit sendiri, gangguan OSA dapat ditangani dengan lebih berkesan dan membantu individu mendapatkan semula kualiti tidur, tenaga dan produktiviti yang lebih baik.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg