Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak kajian masih perlu tentang kesan Covid-19 berpanjangan

Dec 15, 2025 | 5:30 AM
‘Long Covid’, letih, pesakit berdepan gejala kognitif, emosi, fizikal berpanjangan
Pesakit Covid-19 berpanjangan atau ‘Long Covid’, boleh menghadapi pelbagai gejala seperti sesak nafas, keletihan dan kabut otak yang berlarutan selepas dijangkiti virus itu. Namun, punca keadaan itu termasuk bagaimana Covid-19 menyebabkan pelbagai gejala, masih belum diketahui. - Foto ISTOCKPHOTO

Empat tahun selepas pandemik Covid-19 diumumkan selesai, keadaan dikenali sebagai Covid-19 berpanjangan atau ‘Long Covid’ terus menghantui puluhan juta pesakit di serata dunia.

Keadaan yang kompleks itu bukan sahaja mengganggu fungsi tubuh, bahkan turut menjejas kehidupan, kerjaya dan kesihatan mental pesakit.

Kisah Cik Salamah (nama samaran), seorang wanita 48 tahun yang dijangkiti Covid-19 pada Oktober 2022, mencerminkan realiti yang dihadapi ramai – keadaan yang masih belum dapat diuji secara khusus dan sukar dirawat.

“Saya buat semua yang disuruh doktor, tetapi badan saya tetap tidak pulih sepenuhnya,” ujar Cik Salamah.

Selepas pulih daripada jangkitan awal, Cik Salamah melakukan segala yang disarankan untuk mengembalikan tenaga bersenam ringan, menjaga pemakanan serta memperbanyakkan rehat.

Namun keadaan beliau tidak bertambah baik.

“Saya ingat kalau saya pergi gim atau berjalan lebih sedikit, saya akan kuat semula. Tapi makin saya paksa diri, makin teruk saya rasa,” katanya.

Kegiatan ringan kini meninggalkannya keletihan selama berhari-hari, suatu fenomena yang dikenali sebagai post-exertional malaise atau kemerosotan gejala selepas aktiviti fizikal atau mental.

Lebih merisaukan, Cik Salamah kini mudah jatuh sakit. Selesema kecil boleh mengambil masa berminggu-minggu untuk sembuh.

“Dulu saya jarang demam. Sekarang setiap kali saya cuba aktifkan diri, saya jatuh sakit,” tambahnya.

Doktor mengaitkan pola itu dengan gangguan sistem imun yang ditemui dalam kalangan pesakit ‘Long Covid’.

Di rumah dan di tempat kerja, Cik Salamah berdepan kesukaran yang amat mempengaruhi kehidupannya. Beliau sering lupa di mana barang diletakkan, terlepas janji temu atau hilang tumpuan semasa melakukan tugasan harian.

Antara kejadian yang menakutkan ialah ketika beliau terlupa arah ketika memandu ke pejabat – laluan yang beliau gunakan lebih 10 tahun.

“Saya sampai ke simpang dan tiba-tiba saya tidak ingat ke mana saya perlu tuju... ia sangat menakutkan,” katanya.

Di dapur, beliau tidak lagi boleh melakukan dua kerja serentak.

Beberapa kali makanan yang dimasaknya terbakar akibat hilang tumpuan.

Di tempat kerja pula, mesyuarat menjadi cabaran terbesar.

“Kalau ramai orang bercakap, otak saya tak dapat proses. Bila mesyuarat habis, saya sedar yang saya tak ingat langsung apa yang dibincangkan,” katanya, sambil menjelaskan beliau kini bergantung kepada catatan terperinci untuk mengelakkan kesilapan.

Ini adalah salah satu ciri utama kabut otak ‘Long Covid’, iaitu masalah pemprosesan maklumat, memori jangka pendek dan tumpuan.

Ketidakupayaan Cik Salamah untuk kembali ke tahap kesihatannya sebelum ini menyebabkan tekanan psikologi yang mendalam.

Beliau bergelut dengan kebimbangan yang meningkat, kemurungan serta perasaan hilang jati diri.

“Saya bukan lagi diri saya yang dulu. Saya takut saya tak boleh buat kerja saya, dan saya takut masa depan saya kabur,” katanya.

Perubahan peranan dalam keluarga daripada seorang yang cekap mengurus rumah kepada seseorang yang perlu bergantung pada anggota keluarga turut menjejas harga dirinya.

Doktor keluarga beliau telah menjalankan pelbagai ujian termasuk pemeriksaan hormon perimenopause, darah, fungsi tiroid dan imbasan khusus – namun semuanya normal.

Doktor akhirnya menyimpulkan ‘Long Covid’ adalah penjelasan paling konsisten dengan profil gejala yang dihadapinya.

“Doktor memberitahu saya ramai pesakit ‘Long Covid’ kelihatan sihat secara luaran. Ujian mereka normal, tetapi kehidupan mereka musnah oleh simptom yang kita sendiri masih cuba fahami.

“Doktor perlu rawat saya dengan pendekatan menyeluruh, bukan hanya berdasarkan hasil ujian,” katanya.

Penyelidikan antarabangsa kini membuka petunjuk baru tentang punca ‘Long Covid’.

Satu penemuan penting diterbitkan dalam jurnal Science, oleh kumpulan penyelidik Switzerland yang diketuai oleh Profesor Onur Boyman.

Kajian itu menunjukkan pesakit ‘Long Covid’ mempunyai corak protein darah yang jelas berbeza daripada individu yang pulih sepenuhnya.

Sistem imun mereka khususnya sistem pelengkap – bahagian tubuh yang biasanya melawan jangkitan – kekal “diaktifkan” lebih lama daripada sepatutnya.

Profesor Boyman berkata: “Kami dapati sistem pelengkap terus menyerang sel sihat, menyebabkan kerosakan tisu.

“Apabila pesakit pulih, sistem pelengkap juga kembali normal. Ini menunjukkan ‘Long Covid’ adalah penyakit yang boleh diukur.”

Pakar lain menganggap penemuan itu sebagai langkah awal yang sangat penting, walaupun bukan penjelasan menyeluruh.

Profesor Claire Steves dari King’s College London berkata: “Gejala ‘Long Covid’ bukan satu keadaan tunggal. Tetapi kajian seperti ini memberi petunjuk biologi yang mungkin akhirnya membantu kita memahami apakah yang berlaku dalam tubuh pesakit.”

Kisah Cik Salamah menonjolkan ‘Long Covid’ bukan sekadar rasa letih selepas sembuh daripada jangkitan.

Ia adalah keadaan kronik yang menjejas pelbagai sistem tubuh, dengan kesan meluas terhadap kehidupan pesakit.

Bagi individu, ia menyebabkan kehilangan fungsi harian, kemerosotan kognitif serta tekanan emosi yang sering membawa kepada kemurungan dan hilang keyakinan diri.

Di tempat kerja, keadaan itu mendorong penurunan produktiviti, meningkatkan risiko melakukan kesilapan dan memerlukan penyesuaian tugasan serta jadual kerja.

Bagi sistem kesihatan pula, ‘Long Covid’ mencabar pendekatan rawatan sedia ada kerana keputusan ujian biasanya kelihatan normal walaupun pesakit masih mengalami gejala yang melemahkan.

Ini menuntut pendekatan rawatan yang lebih bersepadu dan melibatkan pelbagai disiplin bagi memberikan sokongan yang berkesan.

‘Long Covid’ masih belum mempunyai ujian khusus atau rawatan kuratif.

Tetapi penyelidikan terkini memberi sinar harapan dan kisah seperti Cik Salamah membantu dunia perubatan memahami keadaan itu nyata dan memerlukan perhatian segera.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg