Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kisah pesakit strok berusia 20 tahun

Nov 17, 2025 | 5:30 AM
strok pada usia 20-an, strok usia muda, angin ahmar
Pakar kesihatan memberi amaran angin ahmar bukan lagi penyakit warga emas. Di Singapura, kian ramai anak muda diserang strok akibat tekanan hidup, gaya hidup tidak aktif, serta penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis yang tidak dikesan awal. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Beberapa minggu selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-20, Cik Nur Aina (nama samaran) sedang menggunakan telefon di bilik tidurnya di Jurong West.

Ketika beliau bangun dari katil, dunia seolah-olah terhenti.

Badannya hilang imbangan dan sekelip mata kemudian, beliau rebah ke lantai.

“Saya fikir saya cuma tersandung, tapi bila saya pandang tangan kanan, ia langsung tak bergerak,” katanya perlahan, mengimbau saat paling menakutkan dalam hidupnya.

“Saya pandang kaki kanan saya, ia terasa berat, kaku, dan langsung tidak boleh digerakkan.

“Saya hanya mampu menjerit, jeritan yang tak pernah saya dengar keluar dari mulut saya sendiri. Saya takut… takut sangat.”

Dalam kekalutan itu, Cik Nur Aina tiba-tiba teringat satu iklan kesihatan yang pernah dibacanya.

Beliau mula menyedari sesuatu yang lebih serius sedang berlaku – tanda-tanda angin ahmar.

Dengan tangan kiri yang masih boleh bergerak, beliau menekan nombor kecemasan dan menghubungi ambulans.

Cik Nur Aina akhirnya dibawa ke hospital di mana imbasan otak mengesahkan beliau benar-benar diserang angin ahmar.

Di hospital, Cik Nur Aina menjalani pembedahan kecemasan selepas doktor mendapati beliau mengalami pecahan malformasi arteriovena (AVM) – simpulan salur darah otak yang tidak normal dan pecah secara tiba-tiba.

AVM merupakan salah satu penyakit angin ahmar yang berlaku akibat pendarahan dalam otak.

“Doktor berkata bahawa jika pembedahan tidak dilakukan serta-merta, saya ada hanya beberapa jam untuk hidup,” ujar Cik Nur Aina, menahan sebak.

Selepas pembedahan, doktor menjelaskan mengapa keadaan Nur Aina memburuk dengan cepat.

“Doktor beritahu saya bahawa sebab itulah pesakit muda boleh menjadi kritikal dalam masa beberapa minit sahaja, otak mereka tidak mempunyai ruang untuk menampung tekanan yang meningkat dengan cepat,” katanya.

Selepas serangan angin ahmar pada 2014 itu, Cik Nur Aina lumpuh separuh badan.

Beliau terpaksa belajar semula cara mengangkat tangan, berdiri dan berjalan – sesuatu yang dianggap mudah oleh orang biasa.

Beliau menghabiskan dua bulan di hospital.

Ketika itu, beliau satu-satunya pesakit berumur 20 tahun di wad neurologi.

Pesakit kedua termuda berusia 65 tahun.

“Saya rasa sunyi. Tak ada sesiapa yang faham. Semua orang jauh lebih tua daripada saya. Saya cuma boleh menatap siling dan menangis,” katanya.

Selepas bertahun-tahun terapi, akhirnya pada 2024 – hampir sedekad kemudian, beliau berjaya menggerakkan kaki kanannya semula.

Namun perjuangan Nur Aina bukan hanya fizikal, bahkan juga mental.

“Saya terpaksa jumpa ahli psikologi. Setiap hari saya bangun dengan rasa kecewa. Kawan-kawan saya di Instagram keluar berseronok, tapi saya terbaring di hospital, berlatih berjalan macam kanak-kanak kecil,” katanya perlahan.

Di sebalik usaha dan doa, kemurungan mula menyelubungi dirinya.

“Saya jadi sangat marah. Saya hilang segalanya – kebebasan, keyakinan, siapa diri saya,” luahnya.

“Sebelum strok, saya berdikari. Selepas itu, saya bergantung kepada keluarga untuk semua perkara. Saya rasa macam beban.”

Doktor menasihatinya supaya menangguhkan pelajaran dan kerja. Fokusnya hanyalah satu iaitu pemulihan.

“Doktor turut berkongsi bahawa pemulihan bukan sekadar fizikal. Kekuatan mental sangat penting.

“Orang muda sukar menerima perubahan besar dalam hidup. Mereka masih mahu kejar cita-cita, tapi tiba-tiba semuanya terhenti,” kata Cik Nur Aina, mengulangi nasihat yang dipegangnya sehingga kini.

Selepas hampir 10 tahun, Nur Aina akhirnya ‘berdamai’ dengan kenyataannya.

Kini, beliau mampu berjalan semula walaupun masih ada sedikit kelemahan di bahagian kaki.

“Saya dah terlalu jauh untuk berpatah balik. Saya dah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Saya takkan biarkan diri saya rasa gagal,” katanya dengan nada yakin.

Pada 2025, beliau mula menjadi jurulatih pemulihan strok secara sukarela, membimbing pesakit muda lain yang mengalami nasib serupa.

“Ya, saya muda. Ya, saya kena strok. Tapi itu bukan pengakhiran hidup saya. Saya mahu orang lain tahu, ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Doktor yang merawatnya menegaskan bahawa strok kini semakin kerap berlaku dalam kalangan golongan muda di Singapura akibat tekanan darah tinggi, gaya hidup tidak aktif dan stres berlebihan.

“Doktor berkata kepada saya bahawa ramai anak muda percaya mereka kebal.

“Mereka fikir strok hanya untuk orang tua. Tapi hakikatnya, strok boleh berlaku bila-bila masa, tanpa amaran,” katanya.

Pemeriksaan kesihatan berkala seperti memeriksa tekanan darah dan kolesterol boleh menyelamatkan nyawa.

“Beliau turut menambah bahawa setiap minit sangat berharga. Lebih cepat rawatan diberikan, lebih besar peluang untuk hidup dan pulih tanpa kecacatan kekal.”

Kini, Cik Nur Aina menjadikan kisahnya sebagai peringatan kepada orang lain.

“Kalau anda rasa sihat, jangan terlalu yakin. Periksa kesihatan anda.

“Kenali tanda-tanda strok, muka terlendut, tangan lemah, pertuturan tidak jelas. Kalau nampak tanda itu, bertindak cepat,” katanya sambil tersenyum nipis.

“Kadang-kadang, satu minit boleh ubah seluruh hidup kita.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg