Covid-19 berpanjangan atau ‘Long Covid’ biasanya melibatkan gejala berterusan atau muncul semula dalam tempoh tiga bulan selepas jangkitan akut Covid-19.
Dalam kalangan warga emas, keadaannya jauh lebih rumit.
Ia merangkumi spektrum gejala yang lebih luas berbanding sindrom pascavirus lain seperti Sindrom Keletihan Kronik (CFS).
Pertama, kedua-duanya berkongsi gejala seperti keletihan kronik, kekeliruan minda dan masalah tidur, tetapi ‘Long Covid’ sering menjejas pelbagai sistem seperti paru-paru, jantung dan otak.
Kedua, ‘Long Covid’ biasanya berlaku selepas jangkitan Covid-19 yang disahkan, manakala keadaan lain mungkin mempunyai pencetus yang tidak jelas.
Keperluan untuk diagnosis SARS-CoV-2 yang disahkan melalui makmal semakin kurang ditekankan untuk ‘Long Covid’.
Kini terdapat pengesanan kes akut SARS-CoV-2 yang jauh lebih rendah susulan pemberhentian ujian diagnostik secara meluas. Ini dengan ketara menjejas ketepatan penentuan ‘Long Covid’.
Selain itu, ‘Long Covid’ boleh berlaku dengan penyakit pernafasan yang sangat ringan dan ujian mungkin tidak dilakukan walaupun tersedia.
Dalam kalangan warga emas, risiko kerumitan jauh lebih tinggi kerana mereka lebih mudah mengalami jangkitan serius, mempunyai penyakit kronik sedia ada, serta kekuatan fizikal dan keupayaan tubuh yang semakin berkurang.
Akibatnya, jangkitan Covid-19 dalam kumpulan ini sering menjadi lebih serius dan memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang.
Menurut kajian yang diketuai Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), seorang daripada setiap 10 pesakit Covid-19 masih mengalami gejala enam bulan selepas jangkitan awal.
Dalam keadaan ‘Long Covid’, gejala seperti batuk berpanjangan dan sesak nafas boleh berlarutan jauh selepas pesakit dianggap pulih daripada jangkitan asal.
Dalam kalangan pesakit warga emas, keletihan atau sesak nafas boleh berlarutan selama berbulan-bulan hingga bertahun.
Mereka yang mengalami jangkitan teruk mungkin tidak akan kembali kepada keadaan tubuh yang optimum.
Sebagai contoh, saya mempunyai seorang pesakit berusia 88 tahun yang dijangkiti Covid-19 daripada anggota keluarga dan kini mengalami ‘Long Covid’.
Gejala yang dialami menjadikan proses pemulihan jauh lebih rumit.
Disebabkan sifat ‘Long Covid’ itu sendiri serta faktor usia, pesakit warga emas lebih mudah mengalami komplikasi fizikal seperti pergerakan yang merosot dan sesak nafas berpanjangan.
Beliau turut mengalami dua episod tambahan pneumonia bakteria selepas jangkitan Covid-19.
Keadaan itu mempercepat kemerosotan fungsinya dan semakin memburukkan tahap kelemahan yang sedia ada.
Penyakit yang dihadapi serentak seperti kencing manis dan darah tinggi menjejas keupayaan tubuh melawan jangkitan Covid-19.
Keadaan keradangan yang meningkat menyebabkan tekanan oksidatif bertambah, kerosakan tisu berlanjutan dan fungsi organ terganggu.
Ini bukan sahaja memburukkan gejala Covid-19 ketika fasa akut, malah memanjangkan tempohnya dan sekali gus meningkatkan risiko seseorang mengalami ‘Long Covid’.
Keadaan itu memberi tekanan tambahan kepada proses pemulihan tubuh, dan sering mengakibatkan keletihan berpanjangan, gangguan kognitif serta proses penyembuhan yang tidak begitu baik.
Jangkitan ringan sekalipun boleh menyebabkan ketidakstabilan kepada paras gula darah atau tekanan darah yang boleh meningkatkan risiko angin ahmar dan komplikasi jantung.
Untuk mengurus komorbiditi – dua atau lebih penyakit yang dihadapi secara serentak pada masa yang sama – dan ‘Long Covid’, rawatan mestilah menyeluruh:
– Sama ada pesakit menghidap kencing manis, darah tinggi atau penyakit jantung, kami akan memantau dan melaras ubat-ubatan dengan teliti bagi memastikan tubuh tidak mengalami tekanan tambahan, sekali gus menyokong proses pemulihan keseluruhan yang lebih stabil dan berkesan.
– Kajian menunjukkan komorbiditi ialah antara faktor risiko utama yang membawa kepada komplikasi Covid-19 yang lebih serius.
Pesakit berusia atau mempunyai penyakit sedia ada perlu dipantau secara terperinci bagi mengenal pasti komplikasi pascaakut supaya proses pemulihan dapat berlangsung dengan selamat dan teratur.
– Sangat penting bagi pesakit ‘Long Covid’, khususnya warga emas, untuk memulihkan semula tenaga dan daya tahan fizikal mereka hampir ke tahap sebelum jangkitan.
Kami biasanya mencadangkan rejim senaman yang disesuaikan secara khusus mengikut kemampuan dan keperluan individu supaya pemulihan dapat berlaku secara selamat dan bertahap.
Penjagaan menyeluruh sebegitu diperlukan kerana komorbiditi boleh menjadikan pemulihan daripada Covid-19 lebih mencabar.
Dengan menstabilkan keadaan kronik tersebut, kami memberi peluang terbaik kepada tubuh pesakit untuk sembuh daripada kesan selepas Covid-19.
Ringkasnya, warga emas berada dalam keadaan yang sangat rapuh.
Apa-apa jangkitan seperti influenza, Covid-19 atau virus sinsitium pernafasan (RSV) boleh menjejas fungsi tubuh mereka sehingga menyebabkan penyakit akut yang mengancam nyawa, termasuk pneumonia dengan kegagalan pernafasan, jangkitan saluran kencing, atau ulser tekanan yang membawa kepada sepsis.
Walaupun mereka berjaya melepasi episod itu dan komplikasinya, kebanyakan tidak dapat kembali sepenuhnya kepada tahap kesihatan sebelum jatuh sakit.
Ringkasnya, warga emas lebih berisiko kehilangan keupayaan berdikari akibat komplikasi penyakit.
Untuk mengurangkan risiko ‘Long Covid’, seseorang mesti mengurangkan pendedahan kepada virus dan mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.
Penggunaan pelitup muka dan jarak selamat dapat membantu.
Vaksinasi yang dikemas kini memberi perlindungan lebih baik kepada individu apabila berdepan kemungkinan terdedah kepada virus dan risiko jangkitan.
Dengan vaksinasi, individu sama ada dapat mengelakkan jangkitan sepenuhnya atau mengurangkan tahap serius penyakit.
Kita telah melalui lima iterasi vaksin Covid-19 dan setiap satunya terbukti secara konsisten mengurangkan risiko jangkitan serta risiko kemasukan ke hospital atau kematian bagi warga emas.
Perbandingannya ialah individu yang mungkin pernah divaksin pada masa lalu, tetapi tidak dengan vaksin varian terkini.
Saya tidak ragu vaksin yang dikemas kini akan kembali berfungsi seperti biasa, melindungi penerimanya.
Sama seperti virus selesema, SARS-CoV-2 kerap bermutasi, jadi vaksin Covid-19 yang dikemas kini disesuaikan dengan varian yang sedang beredar, mengurangkan risiko penyakit lebih serius dan kemasukan ke hospital.
Ini kerana sistem imun individu yang divaksin lebih bersedia menghadapi varian Covid-19 yang sedang menular.
Data menunjukkan individu yang menerima vaksin Covid-19 yang dikemas kini mempunyai kadar kemasukan ke hospital yang jauh lebih rendah berbanding mereka yang tidak divaksin pada tahun tersebut.
Hakikatnya, proses penuaan sendiri merupakan faktor risiko paling ketara bagi Covid-19 yang serius serta komplikasinya, termasuk keperluan kemasukan ke hospital, rawatan rapi dan peningkatan risiko kematian.
Analisis retrospektif turut mendapati usia lanjut dan jangkitan lebih teruk meningkatkan kebarangkalian pesakit mengalami keletihan berpanjangan dan pelbagai gejala ‘Long Covid’.
Warga emas menghadapi risiko lebih tinggi semasa Covid-19 akut dan juga kekal pada risiko lebih besar mengalami ‘Long Covid’ yang boleh menyebabkan kesan kepada fizikal dan mental.
Inilah sebabnya kami terus menggalakkan semua orang, khususnya warga emas dan mereka yang berisiko tinggi dari sudut perubatan, supaya memastikan vaksinasi mereka sentiasa dikemas kini.
Selain mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian, dos terkini bagi warga emas berpotensi mengelakkan mereka daripada mengalami komplikasi kesihatan selama berbulan-bulan selepas Covid-19.
Ramai individu sering menyebut jumlah vaksin yang telah mereka ambil, contohnya lima atau enam dos.
Jumlah keseluruhan itu tidak relevan jika dos terbaru bukan vaksin varian paling terkini.
Konteks vaksinasi Covid-19 kini mesti berubah seperti vaksin influenza.
Persoalannya kini ialah: “Adakah saya telah mengambil mana-mana vaksin Covid-19 dalam tempoh enam hingga dua bulan terakhir? Jika belum, saya harus mendapatkannya segera.”
Seperti selesema, disarankan untuk menerima vaksin Covid-19 terkini setahun selepas dos terakhir anda, khususnya bagi individu berusia 60 tahun ke atas.
Mereka yang berisiko tinggi berusia enam bulan ke atas, dan penghuni kemudahan jagaan warga emas, selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan.
Hakikat yang benar-benar menyedihkan ialah risiko ini berterusan selagi kita terus hidup bersama virus penyebab Covid-19.
Menjaga pesakit ‘Long Covid’ terutama anggota keluarga warga emas boleh menjadi satu tanggungjawab yang amat meletihkan, baik dari segi fizikal mahupun emosi.
Sebagai seorang karyawan perubatan, saya telah menyaksikan sendiri cabaran berganda yang dihadapi oleh penjaga dan usaha yang sedang dilakukan dalam sistem kesihatan untuk menyokong mereka.
Daripada perspektif penjaga (dan pesakit), cabarannya adalah besar.
Sebagai contoh, saya teringat seorang pesakit ‘Long Covid’ berumur 88 tahun yang turut berdepan kencing manis dan darah tinggi.
Anak-anaknya – mujurlah beliau mempunyai beberapa orang anak untuk berkongsi tanggungjawab – kini terpaksa mengambil alih tugas penjagaan harian yang memerlukan tenaga fizikal, sambil pada masa yang sama menyeimbangkan kehidupan serta komitmen masing-masing.
Anaknya berkongsi tentang tekanan sebagai penjaga ketika menjaga ibunya.
Pengalamannya menggambarkan realiti ramai penjaga yang berasa tidak disokong dan tidak pasti ke mana harus mendapatkan bantuan.
Daripada perspektif sistem kesihatan, terdapat peningkatan kesedaran mengenai cabaran ini dan langkah sedang diambil untuk memperkukuh sokongan kepada penjaga.
Sebagai contoh, hospital mula melibatkan pekerja sosial perubatan lebih awal, membimbing keluarga kepada sumber masyarakat, perkhidmatan bersubsidi dan kumpulan sokongan.
Langkah itu membantu penjaga mendapatkan bantuan amali sambil menangani perasaan terasing yang dialami ramai daripada mereka.
‘Long Covid’ memerlukan penjagaan jangka panjang dan berterusan, dan sistem kesihatan perlu berkembang untuk menyokong penjaga dan pesakit dengan lebih baik sama ada melalui perkhidmatan yang diperluas, usaha mendekati masyarakat secara proaktif atau dasar tempat kerja yang lebih menyokong.
Pelaburan yang lebih besar dalam bidang itu amat penting bagi memastikan penjaga tidak dibiarkan memikul tanggungjawab yang membebankan secara bersendirian.
‘Long Covid’ merupakan keadaan pelbagai dimensi yang jauh melangkaui kesan fisiologi semata-mata.
Di samping kesan fizikal seperti fungsi paru-paru yang merosot atau keletihan berpanjangan, semakin banyak bukti menunjukkan faktor psikososial dan saraf turut memainkan peranan besar serta saling mempengaruhi perjalanan penyakit ini, khususnya dalam kalangan warga emas.
Kita masih belum memahami patofisiologi ‘Long Covid’ sepenuhnya.
Namun, ketiadaan penjelasan biologi yang lengkap tidak seharusnya menafikan pengiktirafan atau kesahihan sesuatu keadaan perubatan.
Sains perubatan sering bergerak lebih pantas pada peringkat klinikal sebelum mekanismenya difahami secara menyeluruh.
Kita kini melihat kemajuan penting, dan penyelidikan mencadangkan bahawa ‘Long Covid’ mungkin berpunca daripada gangguan pada fungsi mitokondria dalam sel, ketidakseimbangan bakteria usus (dysbiosis), tindak balas keradangan yang tidak teratur atau kemungkinan gabungan beberapa faktor itu.
Saya percaya sains akan memberikan kita lebih banyak kejelasan dalam masa terdekat.
Secara fisiologi, ‘Long Covid’ sering membawa kepada gejala berterusan seperti keletihan, sesak nafas dan kekurangan mobiliti terutama dalam pesakit yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
Namun, ramai pesakit warga tua saya juga bergelut dengan gejala seperti gangguan tumpuan, masalah ingatan, perubahan mood dan gangguan tidur.
Gejala neurologi itu, yang mungkin berkaitan dengan kesan keradangan jangkitan ke atas sistem saraf, mungkin tidak muncul dalam ujian rutin tetapi boleh memberi kesan mendalam kepada mutu hidup.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila kekaburan kognitif, masalah ingatan atau perubahan emosi itu tidak kelihatan sebagai kecacatan fizikal yang nyata seperti kehilangan anggota badan atau kelemahan ketara akibat angin ahmar.
Pesakit sedar sepenuhnya bahawa fungsi mereka merosot, tetapi tetap “terikat” dalam tubuh yang gagal memberi tindak balas seperti dahulu.
Apa yang saya lihat di lapangan ialah ramai pesakit berasa seolah-olah terperangkap dalam tubuh yang tidak lagi dapat mereka kawal, sementara kehidupan mereka dan bagi ramai, zaman muda serta masa depan mereka seakan dirampas tanpa amaran.
Faktor psikososial menambah lagi kerumitan.
Bagi pesakit warga emas, pengasingan sosial dan kehilangan keupayaan berdikari sering memperdalam tekanan emosi, mewujudkan kitaran di mana masalah mental memburukkan gejala fizikal, dan sebaliknya.
Memandangkan interaksi itu, merawat ‘Long Covid’ memerlukan pendekatan menyeluruh.
Walaupun pemulihan fizikal dan pengurusan komorbiditi adalah penting, penekanan yang sama mesti diberikan kepada sokongan kognitif dan kesihatan mental, serta menggalakkan penglibatan sosial.
Campur tangan yang disesuaikan adalah penting untuk menangani keseluruhan spektrum faktor yang mempengaruhi pemulihan.
Masyarakat perubatan Singapura telah melalui perjalanan panjang dalam memahami ‘Long Covid’.
Pada peringkat awal, gejala berterusan sering dianggap sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.
Namun, apabila lebih ramai pesakit kembali dengan keletihan, sesak nafas dan fungsi kognitif yang merosot, corak dan gejala ‘Long Covid’ mula dikenal pasti.
Kolej Doktor Perubatan Keluarga kemudian menerbitkan satu ringkasan klinikal untuk doktor perubatan am mengenai ‘Long Covid’, mengesahkan keadaan itu merupakan gejala pascavirus yang sah dan diiktiraf secara perubatan.
Seiring perkembangan bukti, masyarakat perubatan kini menerima yang ‘Long Covid’ boleh menjejas pelbagai dimensi kesihatan termasuk fungsi kognitif, emosi, metabolik serta keseluruhan keupayaan tubuh untuk berfungsi dengan normal.
Pada masa yang sama, kadar kejadian turut menunjukkan penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi.
Persepsi semasa dalam masyarakat perubatan ialah ‘Long Covid’ kini menjejas kelompok lebih kecil, namun mereka memerlukan sokongan jangka panjang kerana kesannya merangkumi aspek fizikal dan emosi yang berpanjangan.
Bagaimanapun, masih wujud kekeliruan apabila gejala disalah anggap sebagai tanda penuaan atau keadaan lain yang tidak berkaitan.
Ini berbahaya kerana ia menghalang penilaian dan pemulihan yang sepatutnya mampu memperbaik keadaan seseorang.
Masih ada ruang untuk kita semua memperbaiki dan mengenal pasti perbezaannya.
Oleh itu, kita perlu menekankan bahawa ‘Long Covid’ adalah nyata dan mendapatkan bantuan awal dapat memberikan perbezaan.
Kita juga perlu merapatkan jurang antara pemahaman perubatan, persepsi orang ramai terhadap keadaan ini dengan sokongan sistem untuk pesakit Covid-19 jangka panjang.
Walaupun penyelidikan masih dijalankan untuk rawatan bagi keadaan itu, saya boleh menekankan dengan perubahan gaya hidup, penjagaan sokongan dan program pemulihan yang baik, kehidupan boleh berubah dan diselamatkan.
Persediaan Pandemik Baru: Iktibar ‘Long Covid’ Dalam Penjagaan Pascajangkitan
Satu pengajaran untuk penggubal dasar ialah keperluan merancang penjagaan selepas jangkitan.
Jangkitan selalunya diikuti dengan gelombang pesakit yang mengalami gejala berlarutan dan memerlukan susulan dan sokongan pemulihan.
Singapura menyesuaikan diri dengan menubuhkan klinik pasca-Covid, tetapi permintaan meningkat dengan cepat, menunjukkan betapa pentingnya membina prasarana pemulihan dari awal.
‘Long Covid’ juga menekankan bagaimana jangkitan akut boleh membawa kepada komplikasi kesihatan jangka panjang dan had fungsi yang memberi kesan kepada kehidupan peribadi dan profesional pesakit.
Penggubal dasar mesti bersedia membangunkan sistem berlapis yang menangani kedua-dua dimensi perubatan dan sosial untuk pemulihan.
Tempat kerja juga perlu menyesuaikan diri dengan susunan kerja fleksibel untuk penjaga dan pesakit yang bekerja, seperti yang disebut oleh pakar Singapura sebelum ini.
Akhir sekali, mengukuhkan rangkaian penjagaan primer adalah penting untuk mengurangkan tekanan pada hospital dan memastikan penjagaan susulan dekat dengan rumah.
Kita juga memerlukan pengawasan aktif dan pengumpulan data yang terbina dalam tindak balas wabak, supaya kesan jangka panjang dapat dikenal pasti pada peringkat awal.
Dengan melabur dalam prasarana pemulihan, sokongan masyarakat, dan penyelesaian berasaskan data, kita dapat mengurangkan beban jangka panjang pandemik masa depan dan membina sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan.
Satu tinjauan yang dijalankan di Singapura oleh Moderna menunjukkan dua daripada 10 responden akan menemui doktor keluarga untuk mengetahui sama ada mereka perlu mendapatkan vaksinasi Covid-19.
Penyedia penjagaan kesihatan memainkan peranan penting dalam berkomunikasi dengan pesakit mereka tentang kepentingan memastikan vaksinasi mereka sentiasa dikemas kini.
Memperkasa penyedia penjagaan kesihatan dengan mesej yang konsisten dan alat peringatan khusus untuk mengajak pesakit mendapatkan perlindungan tahunan mampu menghasilkan perbezaan yang nyata dalam kadar penerimaan vaksin.
Kami juga menyokong inisiatif pendidikan awam yang menekankan beban berterusan jangkitan pernafasan dan kepentingan melindungi mereka yang paling berisiko, terutama apabila Covid-19 dan influenza terus beredar serentak dalam masyarakat.
Akhirnya, kami mahu menjadikan vaksinasi sebagai pusat minda pencegahan kesihatan setiap rakyat Singapura, menjadikannya amalan mampan untuk kehidupan yang sihat.
Individu boleh bersikap proaktif dan hadir ke klinik vaksinasi dengan melayari pautan, https://www.gowhere.gov.sg/vaccine/
Kita sering tidak mengunjungi klinik perubatan keluarga kerana berasa sihat, atau sesi konsultasi pula tertumpu pada isu kesihatan lain dan keperluan vaksinasi berbeza.
Akibatnya, kepentingan menerima vaksin Covid-19 yang disarankan mudah terlepas pandang.
Individu perlu mencari vaksin itu sendiri dan media boleh tampil untuk mengingatkan rakyat. Satu lagi dos vaksin yang diberikan berkemungkinan satu lagi nyawa diselamatkan.
‘Long Covid’ Ubah Takrif Sakit Kronik
‘Long Covid’ telah menambah lebih banyak nuansa kepada perbincangan ini.
Secara tradisional, penyakit berjangkit dilihat sebagai bersifat sementara: Seseorang jatuh sakit, pulih, dan meneruskan kehidupan.
Penyakit kronik pula berterusan dan kekal untuk tempoh lebih lama.
Namun ‘Long Covid’ tidak sesuai dengan pembahagian ini.
Ramai pesakit terus mengalami keletihan, sesak nafas atau masalah kognitif walaupun selepas jangkitan, memerlukan susulan berkala dan sokongan jangka panjang.
Begitu juga, beberapa jangkitan pernafasan akut seperti selesema dan Covid-19 boleh menyebabkan gejala pascaakut seperti batuk berterusan atau keletihan, yang boleh menjejas kesejahteraan pesakit dalam jangka panjang.
Di Singapura, kami menyesuaikan pendekatan dengan mengurus pesakit ‘Long Covid’ sama seperti pesakit dengan penyakit kronik, dengan laluan berstruktur, penjagaan pelbagai disiplin dan pengurusan gejala berterusan.
Pengalaman itu telah mengaburkan garis antara jangkitan dengan ketidakupayaan.
Sesetengah orang tidak pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus akut dan mengalami gejala berterusan atau pemulihan yang tidak lengkap selama berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun, dan dalam beberapa kes, kesan tidak langsung virus seperti influenza, polio atau bahkan SARS-CoV-2 boleh membawa kepada perubahan hidup drastik, termasuk ketidakupayaan.
Kita juga perlu menerima bahawa ketidakupayaan tidak sentiasa dapat dilihat dengan mata kasar.
Seperti mana seruan yang semakin kuat untuk mengiktiraf penyakit mental sebagai ketidakupayaan yang bukan kelihatan, tidak kedengaran dan sering tersembunyi, kita juga harus mula mengakui kesan ‘Long Covid’ – satu bentuk ketidakupayaan baru yang kerap disalah faham kerana sifatnya yang tidak mudah dikesan oleh ujian atau pemerhatian biasa.
Ini telah mencetuskan perbincangan tentang penyesuaian di tempat kerja, perlindungan insurans dan sokongan jangka panjang.
Sementara itu, ‘Long Covid’ telah memaksa pakar penyakit berjangkit, doktor penjagaan primer, pasukan pemulihan, pakar neurologi dan pakar psikologi untuk bekerjasama dengan cara yang dahulunya jarang berlaku.
Realiti ini menekankan keperluan untuk merawat kesan pascajangkitan dengan tahap keseriusan yang sama seperti fasa akut penyakit tersebut.
Akhirnya, ‘Long Covid’ telah memperluas takrif kita tentang penyakit kronik.
Ia menunjukkan jangkitan virus yang singkat boleh mencetuskan perubahan kesihatan jangka panjang, mengubah cara pesakit mengenal pasti diri mereka dan bagaimana sistem kesihatan merancang bagi memenuhi keperluan mereka.
+ Penulis ialah tutor klinikal di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin. Beliau merupakan ahli fakulti di Sekolah Perubatan Siswazah Duke-NUS dan masih mengekalkan jawatan tambahannya sebagai penolong profesor semasa bekerja di Hospital Mount Elizabeth Novena. Beliau kekal sebagai perunding pelawat di Hospital Besar Singapura, Pusat Barah Nasional Singapura, dan Hospital Hospis Dover Park.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg