SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kajian: Penglibatan ibu bapa bersama anak semasa guna gajet dapat tingkat kemahiran sosial

Kajian: Penglibatan ibu bapa bersama anak semasa guna gajet dapat tingkat kemahiran sosial

Kajian A*Star libatkan 2,449 kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun
Mar 31, 2026 | 7:22 PM

Kajian: Penglibatan ibu bapa bersama anak semasa guna gajet dapat tingkat kemahiran sosial

penglibatan ibu bapa, waktu skrin kanak-kanak, kemahiran sosial, kajian
Kemahiran sosial yang juga dikenali sebagai tingkah laku prososial, merangkumi keupayaan untuk berkongsi, bekerjasama, menunjukkan empati dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya. - Foto ST

Kanak-kanak yang ibu bapanya terlibat secara aktif bersama mereka semasa mengguna gajet menunjukkan kemahiran sosial lebih kukuh berbanding kanak-kanak yang menggunakan skrin bersendirian, menurut satu kajian baru.

Kajian tersebut juga mendapati bahawa penglibatan ibu bapa adalah lebih penting daripada sekadar menetapkan had masa atau peraturan.

Kemahiran sosial tersebut, yang dikenali sebagai tingkah laku prososial, merangkumi keupayaan untuk berkongsi, bekerjasama, menunjukkan empati, dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya.

Dijalankan oleh Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), kajian itu kali pertama menjejaki 2,449 kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun antara 2018 dengan 2019 untuk menilai pendedahan skrin dan penglibatan ibu bapa.

Ia adalah sebahagian daripada Kajian Pembangunan Awal Longitudinal Singapura, yang bertujuan mengkaji faktor yang mempengaruhi perkembangan awal kanak-kanak.

Pada 2021, semasa pandemik Covid-19, apabila penyelidik membuat kajian susulan dengan kanak-kanak sama, yang ketika itu berusia empat hingga sembilan tahun, mereka mendapati penggunaan skrin tanpa penglibatan ibu bapa telah meningkat dengan ketara.

Menurut data gabungan daripada dua tempoh masa itu, dalam kalangan kanak-kanak prasekolah berusia tiga hingga enam tahun, sehingga 26 peratus menghabiskan lebih tiga jam sehari di depan skrin.

Angka itu meningkat kepada kira-kira 40 peratus dalam kalangan mereka yang berusia tujuh hingga sembilan tahun.

Lebih satu pertiga, atau sekitar 33 peratus, kanak-kanak prasekolah juga menggunakan skrin tanpa sebarang penglibatan ibu bapa; dan dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun, angka tersebut ialah 42 peratus.

Ibu bapa juga ditanya mengenai tingkah laku anak mereka pada kededua tahun 2018/19 dan 2021 untuk melihat bagaimana kemahiran sosial kanak-kanak itu berubah dari masa ke masa.

Didapati kanak-kanak yang ibu bapanya lebih terlibat semasa menggunakan gajet mereka turut menunjukkan kemahiran sosial lebih kukuh.

Diterbitkan dalam jurnal saintifik BMC Public Health, kajian itu mendapati bahawa apabila ibu bapa menonton bersama anak mereka, berbincang tentang kandungan, atau bermain bersama mereka, ia memberi kesan positif terhadap kemahiran sosial anak mereka.

Ini seterusnya membawa kepada perkembangan sosial yang positif dan berterusan apabila kanak-kanak itu membesar.

Penulis utama kajian tersebut, Dr Xuejiao Chen, berkata apa yang menonjol daripada data itu ialah jumlah masa skrin bukanlah perkara paling penting bagi perkembangan sosial kanak-kanak.

“Apabila ibu bapa menonton bersama anak mereka, bertanya soalan, dan berbincang tentang apa yang mereka lihat, masa skrin boleh menjadi peluang bagi pembelajaran sosial,” kata Dr Chen, seorang saintis kanan di Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A*Star (IHDP).

Pengarang bersama kajian itu, Profesor Wei-Jun Jean Yeung, berkata kajian itu membina atas penyelidikan sebelum ini yang menunjukkan betapa pentingnya mengehadkan masa skrin pada peringkat awal kehidupan demi perkembangan otak kanak-kanak yang sihat.

Beliau menambah bahawa apabila kanak-kanak memasuki prasekolah, faktor seperti tempoh masa atau penetapan peraturan adalah kurang penting, berbanding penglibatan aktif ibu bapa semasa penggunaan skrin, dalam menyokong perkembangan prososial.

Profesor Yeung, yang merupakan pengarah sains sosial di IHDP, berkata kajian itu juga melengkapkan penyelidikan Singapura lain mengenai penggunaan skrin bayi.

Ini termasuk kajian kohort Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes (Gusto), yang mendapati pendedahan skrin berlebihan sebelum usia dua tahun boleh melambatkan perkembangan otak kanak-kanak, menjejaskan kemampuan mereka untuk membuat keputusan dan meningkatkan risiko kebimbangan hingga ke usia remaja.

“Mengehadkan pendedahan skrin kekal penting semasa bayi, manakala kualiti penglibatan ibu bapa menjadi faktor semakin penting dalam memupuk tingkah laku sosioemosi kanak-kanak apabila mereka memasuki prasekolah dan sekolah rendah,” kata Profesor Yeung.

Beliau menambah, penglibatan awal ibu bapa juga boleh menjadi asas bagi tabiat digital yang lebih sihat apabila kanak-kanak semakin membesar.

“Apabila ibu bapa menonton bersama anak mereka, bertanya soalan, dan berbincang tentang apa yang mereka lihat, masa skrin boleh menjadi peluang bagi pembelajaran sosial.”
Dr Xuejiao Chen, saintis kanan di Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A*Star (IHDP).

“Mengehadkan pendedahan skrin kekal penting semasa bayi, manakala kualiti penglibatan ibu bapa menjadi faktor semakin penting dalam memupuk tingkah laku sosioemosi kanak-kanak apabila mereka memasuki prasekolah dan sekolah rendah.”
Profesor Wei-Jun Jean Yeung, pengarah sains sosial di Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A*Star (IHDP).
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg