Hidung berdarah berulang dan risiko barah tersembunyi
Pengesanan awal dapat tingkat peluang rawatan berkesan bagi barah nasofarinks
Ciri khusus pendarahan hidung tanda amaran kepada pesakit dan doktor
Pendarahan hidung biasanya tidak berbahaya jika berlaku sekali-sekala.
Namun, jika ia kerap berlaku, ia boleh menandakan masalah lebih serius seperti tekanan darah tinggi, gangguan pembekuan darah, atau dalam kes yang jarang berlaku, barah karsinoma nasofarinks (NPC).
Terdapat beberapa ciri pendarahan hidung yang perlu menjadi tanda amaran kepada pesakit dan doktor.
Pemeriksaan perubatan perlu dilakukan jika pendarahan hidung berlaku lebih dari seminggu sekali.
Pendarahan hidung juga memerlukan perhatian jika ia disertai gejala pendarahan lain yang tidak dapat dijelaskan.
Ia termasuk mudah lebam, gusi berdarah, aliran haid yang luar biasa banyak, atau jika pesakit mengambil ubat pencair darah.
Keadaan ini boleh menjadi petunjuk kepada gangguan pembekuan darah atau kewujudan masalah perubatan lain yang tersembunyi.
Prognosis pesakit NPC peringkat awal berbanding lewat
Pesakit NPC yang dikesan pada peringkat awal mempunyai prognosis jauh lebih baik, dengan kadar kelangsungan hidup melebihi 90 peratus.
Namun, sebilangan besar pesakit, iaitu kira-kira 70 peratus, didiagnosis pada peringkat lanjut, yang memberi kesan negatif terhadap kadar kelangsungan hidup.
NPC peringkat lanjut lebih sukar dirawat kerana barah tersebut telah mengalami metastasis.
Ia merupakan keadaan apabila sel barah merebak dari kawasan asal di nasofarinks ke organ lain yang jauh seperti tulang, paru-paru, hati dan nodus limfa di bahagian badan yang lain.
Keadaan itu dikenali sebagai NPC metastatik.
Antara pesakit yang mengalami NPC metastatik, penglibatan tulang adalah paling kerap berlaku, merangkumi lebih 50 peratus daripada keseluruhan kes metastatik.
Oleh itu, pengesanan awal amat penting bagi meningkatkan hasil rawatan dan kadar kelangsungan hidup pesakit NPC.
Bagaimanakah NPC dirawat?
Pelbagai jenis rawatan disediakan untuk NPC.
Doktor akan bekerjasama dengan pesakit untuk menentukan pelan rawatan sesuai, yang mungkin melibatkan lebih daripada satu jenis rawatan.
Banyak faktor akan dipertimbangkan, termasuk peringkat barah dan tahap kesihatan keseluruhan pesakit.
Jenis rawatan berikut digunakan:
+ Terapi radiasi menggunakan sinar-X tenaga tinggi atau bentuk radiasi lain untuk membunuh sel barah atau menghalang pertumbuhannya dengan merosakkan DNA sel tersebut.
Kaedah menyalurkan terapi radiasi bergantung kepada jenis dan peringkat barah.
+ Kemoterapi menggunakan ubat untuk menghentikan pertumbuhan sel barah sama ada dengan membunuh sel tersebut atau menghalang pembahagiannya.
Kemoterapi untuk NPC biasanya diberikan sama ada melalui pengambilan ubat secara oral atau melalui suntikan ke dalam vena, iaitu salur darah yang membawa darah kembali ke jantung, atau ke dalam otot.
Rawatan itu boleh digabungkan dengan kaedah lain seperti terapi radiasi untuk meningkatkan keberkesanan rawatan.
Namun begitu, kemoterapi yang digunakan dalam rawatan NPC boleh menyebabkan kesan ketoksikan terhadap tubuh pesakit.
Kajian menunjukkan kemoradioterapi serentak (CCRT) meningkatkan risiko kesan sampingan akut, termasuk mukositis, iaitu keradangan dan luka yang menyakitkan pada lapisan mulut dan tekak, serta loya dan muntah.
Pesakit juga berisiko mengalami neutropenia, iaitu keadaan apabila jumlah sel darah putih yang penting untuk melawan jangkitan menurun ke tahap rendah, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan serius.
Selain itu, CCRT turut dikaitkan dengan kesan sampingan lewat yang lebih teruk.
Walaupun NPC diketahui memberi tindak balas yang baik terhadap terapi radiasi dan kemoterapi, gabungan kedua-dua rawatan itu boleh meningkatkan keterukan kesan sampingan yang dialami pesakit.
+ Pembedahan membuang tumor kadangkala digunakan bagi NPC yang tidak memberi tindak balas terhadap terapi radiasi.
Jika barah telah merebak ke nodus limfa serta tisu yang terjejas di bahagian leher mungkin perlu dibuang bagi mengawal penyebaran penyakit.
+ Imunoterapi ialah rawatan yang menyasarkan protein tertentu dalam sistem imun pesakit untuk menguatkan keupayaannya menyerang sel barah.
Berbanding kemoterapi, rawatan itu biasanya menyebabkan jenis kesan sampingan yang berbeza, dan dalam sesetengah pesakit, berlaku dengan kadar lebih rendah.
+ Imunoterapi ialah rawatan yang membantu mengaktifkan sistem imun badan supaya lebih berkesan mengenal dan menyerang sel barah.
Salah satu bentuk imunoterapi ialah penggunaan perencat PD-1, iaitu ubat yang menyekat protein PD-1 yang biasanya berfungsi ‘memperlahankan’ tindak balas sistem imun.
Dengan menyekat PD-1, sistem imun dapat bertindak balas dengan lebih kuat terhadap sel barah, sekali gus membantu mengecilkan tumor atau memperlahankan pertumbuhan barah.
Imunoterapi digunakan terutama dalam kes NPC peringkat lanjut, iaitu apabila penyakit berulang selepas rawatan awal atau telah menjadi metastatik, iaitu barah telah merebak ke bahagian lain badan yang jauh dari lokasi asal.
Apabila digunakan sebagai rawatan barisan pertama bagi NPC berulang atau metastatik, perencat PD-1 biasanya digabungkan dengan kemoterapi untuk meningkatkan keberkesanan rawatan.
Perkembangan baru penyelidikan dan rawatan NPC?
Perkembangan terkini dalam rawatan menonjolkan gabungan yang berkesan antara kemoterapi dengan perencat PD-1, sekali gus memberikan harapan baru kepada pesakit NPC.
Sebelum ini, rawatan kemoterapi konvensional yang digunakan secara bersendirian hanya memberikan manfaat kelangsungan hidup yang terhad, khususnya bagi pesakit yang menghidap penyakit berulang atau metastatik, iaitu barah yang telah merebak ke bahagian lain badan.
Kajian yang terbit pada 2016 melaporkan rawatan barisan pertama menggunakan gemcitabine dan cisplatin, iaitu dua jenis ubat kemoterapi yang bertindak menghalang pembiakan sel barah dan merosakkan DNA sel tersebut, bagi pesakit NPC berulang atau metastatik, hanya menghasilkan kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 19.2 peratus.
Pada awal 2025, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) meluluskan perencat PD-1 pertama untuk digunakan bersama kemoterapi sebagai rawatan barisan pertama bagi NPC berulang atau metastatik.
Keputusan itu adalah berdasarkan hasil percubaan klinikal fasa III JUPITER-02, iaitu satu kajian berskala besar yang menilai keberkesanan dan keselamatan gabungan perencat PD-1 dengan kemoterapi standard dalam rawatan NPC berulang atau metastatik.
Percubaan itu menunjukkan penambahan perencat PD-1 kepada kemoterapi bukan sahaja meningkatkan kadar kelangsungan hidup, malah memberikan kawalan penyakit yang jauh lebih baik berbanding penggunaan kemoterapi sahaja.
Melalui terapi gabungan tersebut, kadar kelangsungan hidup lima tahun meningkat kepada 52 peratus, satu peningkatan yang sangat ketara berbanding hasil rawatan terdahulu pada 2016.
Selain itu, lebih daripada seorang daripada empat pesakit yang menerima terapi gabungan itu mengalami penghapusan barah sepenuhnya, iaitu tiada lagi tanda tumor dikesan melalui imbasan perubatan.
Profil keselamatan terapi gabungan itu didapati setara dengan kemoterapi sahaja, sekali gus membolehkan pesakit memperoleh keberkesanan rawatan yang lebih baik tanpa meningkatkan kesan sampingan yang sukar ditanggung.
Kemajuan tersebut menangani keperluan rawatan yang sebelum ini tidak dapat dipenuhi, memandangkan pesakit NPC yang berulang atau metastatik sering berdepan pilihan rawatan yang terhad serta prognosis yang kurang memberangsangkan.
Di samping peningkatan kadar kelangsungan hidup, rejimen baru itu turut memberikan pesakit mutu hidup yang lebih baik.
Ia termasuk lebih banyak masa bermakna bersama keluarga, dan dalam banyak kes, keupayaan untuk kembali bekerja, khususnya bagi lelaki yang menjadi pencari nafkah utama keluarga.
Mesej utama kepada orang ramai
Walaupun kebanyakan pendarahan hidung adalah tidak berbahaya, pendarahan hidung yang kerap atau berpanjangan terutama apabila digabungkan dengan gejala lain seperti benjolan di leher, masalah pendengaran, atau hidung tersumbat, tidak boleh diabaikan kerana ia mungkin merupakan tanda awal barah nasofarinks.
Rundingan perubatan awal adalah penting untuk diagnosis tepat pada masanya dan hasil rawatan yang lebih baik.
Semakin awal barah nasofarinks dikesan, semakin tinggi peluang untuk rawatan berkesan dan pemulihan yang berjaya.
Namun begitu, walaupun diagnosis hanya dibuat pada peringkat lewat, masih terdapat harapan melalui pilihan rawatan yang tersedia.
Kemajuan rawatan baru, seperti gabungan kemoterapi dan imunoterapi (perencat PD-1), menunjukkan hasil yang jauh lebih baik untuk pesakit, termasuk dalam kes peringkat lanjut.
Rejimen baru itu bukan sahaja lebih berkesan, malah mempunyai kesan sampingan yang boleh dikawal.
Penulis ialah Pakar Perubatan Onkologi, The Cancer Centre, Singapura.


