Semua baki pertuduhan ke atas lelaki kedua yang dikaitkan dengan penipuan pinjaman perumahan telah ditarik balik, dengan mahkamah daerah menarik balik pertuduhan terhadapnya dan menganggapnya dibebaskan secara sah.
Ini bermakna Kok Chiew Leong, 52 tahun, tidak boleh didakwa lagi dengan kesalahan yang sama.
Seorang lagi lelaki, yang dikenal pasti sebagai Bijabahadur Rai Shree Kantrai, 55 tahun, yang terlibat dalam penipuan yang sama, telah diberikan pelepasan serupa pada November.
Kededua lelaki itu merupakan sebahagian daripada kumpulan terdiri lima orang yang bekerjasama dalam helah yang menyebabkan sebuah bank ditipu untuk mengeluarkan pinjaman gadai janji berjumlah lebih $5.1 juta.
Dalam satu kenyataan terdahulu, polis berkata antara 2014 dengan 2015, Rai merancang skim untuk melakukan penipuan pinjaman gadai janji yang melibatkan dua hartanah.
Bank itu kemudian mengalami kerugian lebih $1.79 juta, lapor The Straits Times (ST).
Penipuan itu akhirnya terbongkar, apabila calon pembeli yang dikaitkan dengan helah itu gagal membayar pinjaman yang telah diambil.
Rai sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun setengah pada Ogos 2024 selepas dia disabitkan dengan pelbagai pertuduhan termasuk menipu.
Kok, yang kesalahannya melibatkan salah satu hartanah, dijatuhkan hukuman penjara empat tahun setengah selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas pertuduhan menipu dan dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai salinan asal.
Tujuh pertuduhan ke atas Kok yang lain kemudiannya dijadualkan untuk dibicarakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Dia kemudiannya merayu terhadap sabitan dan hukumannya.
Menjawab pertanyaan ST pada 22 Disember, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata pada April, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Kok terhadap sabitan dan hukumannya.
Tanpa mendedahkan butiran, jurucakap AGC menambah:
“Selepas mempertimbangkan dengan teliti fakta dan keadaan perkara itu, termasuk hukuman yang berkaitan dengan pertuduhan yang menyebabkan Kok disabitkan kesalahan, pihak pendakwaan memohon menarik balik pertuduhan terhadapnya dan menganggapnya dibebaskan secara sah.”
Mahkamah Daerah membenarkannya pada 16 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg