Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes denggi jatuh 66% pada 5 bulan pertama 2026
Kes denggi jatuh 66% pada 5 bulan pertama 2026
NEA: Kebanyakan tapak pembiakan ditemui di tempat kediaman pada 2025
Kes denggi jatuh 66% pada 5 bulan pertama 2026
Lebih 600 kes denggi dirakam dari Januari hingga 15 Mei 2026, iaitu 66 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2025, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Angka itu diumumkan NEA pada 16 Mei, sempena pelancaran Kempen Pencegahan Denggi Kebangsaan 2026 di Our Tampines Hub (OTH).
Kes denggi di Singapura biasanya mencapai tahap tertinggi antara Mei dengan Oktober. Satu kematian akibat denggi telah dicatatkan setakat ini pada 2026.
Jumlah kematian tertinggi akibat denggi yang pernah dicatatkan dalam setahun di Singapura ialah 32, pada 2020. Rekod sebelumnya ialah 25 pada 2005.
NEA berkata ia menemui 20,469 tapak pembiakan nyamuk daripada 565,730 pemeriksaan nyamuk di seluruh Singapura pada 2025.
Dalam kawasan kelompok denggi pada 2025, NEA berkata 65 peratus tapak pembiakan nyamuk Aedes terdapat di tempat kediaman. Kawasan awam menyumbang 23 peratus tapak pembiakan, 4 peratus dijumpai di tapak pembinaan dan 8 peratus di premis lain.
Kelompok denggi terbentuk apabila dua atau lebih kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari dan pesakit-pesakit tersebut tinggal atau berada pada jarak 150 meter antara satu sama lain.
NEA mengenakan lebih 9,800 tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik dan penghuni premis atas kesalahan pembiakan nyamuk pada 2025. Ia turut mengeluarkan 810 denda kompaun dan 37 arahan henti kerja ke atas tapak binaan.
Menurut laman web NEA, pesalah kali pertama di kawasan perumahan menghadapi denda $200 sekiranya satu tapak pembiakan nyamuk dikesan. Ini meningkat kepada $300 untuk lokasi berganda, atau jika pembiakan dikesan selepas notis amaran telah dikeluarkan dalam kawasan kelompok denggi.
Tapak pembinaan pula dikenakan denda kali pertama sebanyak $3,000, dengan pesalah berulang boleh didenda $5,000.
NEA berkata 73 kontraktor telah didakwa atas kesalahan berulang.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 4,000 kes denggi yang dilaporkan pada 2025 — jumlah tahunan terendah sejak 2018.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, yang berucap di majlis pelancaran kempen itu, berkata: “Situasi denggi semasa agak stabil, tetapi kita tidak boleh membiarkan kejayaan atau kestabilan itu membiarkan kita dalam keadaan alpa.”
Denggi adalah penyakit endemik di Singapura, kata NEA. Risiko penularan turut dipertingkatkan oleh kedudukan negara sebagai hab pengangkutan antarabangsa, tahap imuniti penduduk yang rendah, serta kehadiran empat jenis virus denggi yang beredar serentak.
NEA berkata iklim tropika negara dan kepadatan penduduk yang tinggi merupakan keadaan yang sesuai untuk nyamuk berkembang biak, dan dalam suhu yang lebih panas, ia mempercepatkan pembiakan nyamuk dan virus.
Menurut NEA: “Adalah amat penting bagi penduduk dan pihak berkepentingan untuk kekal berwaspada dan peka terhadap risiko penyakit bawaan nyamuk.”
Projek Wolbachia NEA sedang berjalan, dan menjelang Oktober, lebih 800,000 isi rumah akan terlibat dalam program itu.
Antara April dan Oktober, program itu akan dilaksanakan secara berperingkat di Bukit Panjang, Little India, Pioneer, Toa Payoh dan Ang Mo Kio.
