SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kereta berhias akan terangi Punggol di kemuncak Chingay@Heartlands 2026

Kereta berhias akan terangi Punggol di kemuncak Chingay@Heartlands 2026

Mar 27, 2026 | 1:23 PM

Kereta berhias akan terangi Punggol di kemuncak Chingay@Heartlands 2026

Chingay@Heartlands 2026, sambutan, tarian singa, Eastpoint Mall
Persembahan tarian singa yang menghiburkan orang ramai di padang terbuka bersebelahan Eastpoint Mall semasa sambutan pada 7 Mac. - Foto ST

Kereta berhias yang bercahaya akan menerangi jalan-jalan di Punggol pada Ahad, 29 Mac, tatkala kemuncak Chingay@Heartlands 2026 disambut dalam satu malam penuh kemeriahan di daerah timur laut itu.

Acara itu merupakan penutup tirai perayaan Chingay yang berlangsung selama sebulan, menyusuli tiga perhentian awal di East Coast, Jurong East-Bukit Batok, dan Sembawang antara 7 dengan 15 Mac.

Di setiap hentian, deretan manusia telah membanjiri jalan-jalan untuk menyaksikan keindahan kereta berhias itu melalui kawasan kejiranan mereka.

Kenderaan berhias Chingay itu akan tiba di padang terbuka bersebelahan Blok 128C Punggol Field Walk, bagi menyemarakkan pembukaan karnival yang akan berlangsung dari 6.30 petang hingga 8.30 malam.

Penduduk bakal disajikan dengan persembahan langsung pelbagai etnik yang memukau, upacara penyalaan mercun simbolik dan pertunjukan dron yang menakjubkan. 

Kumpulan tarian singa, pemain muzik genderang dan penghibur yang berjalan menggunakan jangkungan (stilt walkers) akan memeriahkan suasana di sekitar kawasan karnival itu.

Perarakan akan bermula pada 7.10 malam dan melalui kawasan seperti Damai, Soo Teck dan Northshore. Di sana, kereta berhias itu akan memperlahankan pergerakan bagi memberikan peluang kepada orang ramai menyaksikannya.

Perjalanan kereta berhias itu akan berakhir di Boulevard Plaza, Punggol Digital District, sekitar 8.45 malam. Di sinilah, sebuah karnival penutup yang gilang-gemilang akan menanti.

Dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA), edisi Chingay 2026 ini menonjolkan barisan kereta berhias bertemakan “Wish” (Harapan).

Empat kereta berhias utama Chingay – The Flying Horse (Kuda Terbang), The Harmony of Lights (Cahaya Harmoni), The Globe of Wishes (Dunia Harapan) dan Chingay Dream Machine (Mesin Impian Chingay) – diiringi lima kereta berhias masyarakat mewakili lima daerah Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) di Singapura.

Kira-kira 5,000 penduduk menyumbang tenaga menghasilkan kereta berhias masyarakat itu, dalam apa yang disifatkan penganjur sebagai manifestasi kerjasama masyarakat yang terbesar dalam sejarah perarakan itu.

Chingay@Heartlands, yang diperkenalkan pada 1997, telah memperkukuh kedudukannya sepanjang 29 tahun lalu sebagai acara susulan Perarakan Chingay utama.

Ia membawa kemeriahan sambutan itu keluar dari pusat bandar ke kawasan kejiranan di seluruh Singapura.

Perarakan utama bagi 2026 telah diadakan pada 27 dan 28 Februari di F1 Pit Building, di mana lebih daripada 3,000 peserta meraikan kepelbagaian budaya Singapura.

Untuk kelancaran acara itu, Punggol Field Walk akan ditutup sementara dari 4 petang hingga 8 malam.

Maklumat lanjut mengenai laluan perarakan dan penutupan jalan boleh didapati di laman Facebook ‘Our Punggol’.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg