Topic followed successfully
Go to BHkuKemalangan maut di Chinatown: Wanita didakwa sebabkan kematian budak 6 tahun, cederakan ibu
Kemalangan maut di Chinatown: Wanita didakwa sebabkan kematian budak 6 tahun, cederakan ibu
Kemalangan maut di Chinatown: Wanita didakwa sebabkan kematian budak 6 tahun, cederakan ibu
Pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan maut di Chinatown pada 6 Februari, yang meragut nyawa seorang budak perempuan berusia enam tahun dan mencederakan ibunya dengan parah, telah didakwa pada 8 April.
Wanita berusia 38 tahun itu, ditemani suaminya, tiba di Mahkamah Negara sekitar 8.25 pagi.
Dia berdepan dua pertuduhan: memandu tanpa perhatian wajar sehingga menyebabkan kematian budak perempuan itu, dan memandu tanpa perhatian wajar sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada ibunya, 31 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Vishnu Menon memohon penangguhan kes selama enam minggu untuk meneruskan siasatan.
Encik Vishnu tidak membantah permohonan peguam bela untuk perintah sekatan media di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda. Perkara ini penting kerana anak lelaki wanita itu berada dalam kereta semasa kejadian dan merupakan saksi berpotensi.
Peguam wanita itu, Encik Navin Thevar, menjelaskan perintah sekatan media perlu bagi melindungi anak lelakinya yang berusia enam tahun daripada perhatian awam yang tidak diingini.
Wanita itu dituduh gagal memantau keadaan sekeliling dengan teliti semasa membelok ke kanan keluar dari tempat letak kereta terbuka di Spring Street, Chinatown pada 11.50 pagi.
Akibatnya, dia dituduh melanggar dua pejalan kaki yang sedang melintas jalan berhampiran Kuil Relik Gigi Buddha.
Mereka yang memandu tanpa perhatian wajar sehingga menyebabkan kematian boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya.
Jika sabit kesalahan memandu tanpa perhatian wajar yang menyebabkan kecederaan serius, pesalah boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, didenda sehingga $5,000, atau kedua-duanya.
Pesalah juga berisiko dilarang memandu semua kelas kenderaan.

