Kebebasan menggunakan selat antarabangsa, seperti Selat Melaka dan Selat Hormuz, bagi laluan perkapalan merupakan satu hak di bawah undang-undang antarabangsa dan bukannya satu keistimewaan yang boleh dibayar atau dibawa berunding.

Menjelaskan demikian semasa ucapan sulungnya di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat, pada 27 April, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata mana-mana bentuk hakisan undang-undang antarabangsa terhadap hak sedemikian di sebuah rantau boleh mewujudkan sesuatu yang menjadi ikutan, “yang bahaya bagi semua rantau lain”.

Ini lebih-lebih lagi bagi negara kecil yang bergantung pada aliran perdagangan menerusi selat sedemikian seperti Singapura, ujarnya.

Ketika memberikan ucapannya itu, Encik Zhulkarnain berkata:

“Sebagai negara pulau kecil yang bergantung pada laluan Selat Melaka, iaitu arteri maritim genting bagi ekonomi dunia, Singapura mengambil pendirian yang jelas.

“(Pendirian itu adalah) laluan transit bagi selat yang digunakan untuk pengemudian antarabangsa merupakan hak di bawah undang-undang antarabangsa dan bukannya keistimewaan mengikut budi bicara yang boleh dibayar atau dirundingkan”.

Arteri maritim genting ini merujuk pada laluan laut penting, laluan perkapalan, atau ‘titik genting’ seperti Selat Melaka yang amat penting bagi perdagangan sejagat dan bekalan tenaga.

Encik Zhulkarnain berada di New York bagi menghadiri Perbahasan Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB yang tertumpu pada keselamatan dan perlindungan laluan perairan maritim.

Di sana, beliau menyampaikan kenyataan negara dan menjadi wakil dalam memberi kenyataan bersama oleh Fiji, Jamaica, Malta dan Singapura.

Kenyataan itu dibuat berlatarbelakangkan ketidakpastian yang melanda Selat Hormuz – antara selat antarabangsa yang mana hak ini berkuatkuasa di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), atau dirujuk sebagai Perlembagaan Lautan.

Dek konflik di Timur Tengah, laluan perkapalan di selat tersebut dihadkan.

Bagi Singapura, Encik Zhulkarnain berkata sebarang gangguan kepada peraturan laluan transit memberikan kesan sebenar kepada keselamatan ekonomi sejagat dan kestabilan antarabangsa.

Beliau menukil contoh laluan transit antara Selat Melaka dengan Singapura, yang menyaksikan sekitar 23.2 juta tong minyak melalui selat itu setiap hari, lebih tinggi daripada 20.9 juta tong minyak yang melalui Selat Hormuz sebelum laluan dihadkan.

“Ini bukan satu taruhan yang wujud sebagai teori semata-mata.... Jika hak laluan transit tidak ditegakkan, pengemudian antarabangsa di Selat (tersebut) boleh terganggu sepenuhnya,” katanya.

Dalam menyampaikan kenyataan bersama oleh Fiji, Jamaica, Malta dan Singapura, Encik Zhulkarnain berkata gangguan terhadap rantaian bekalan semasa, memberi kesan besar kepada banyak negara kepulauan kecil dengan ekonomi yang bergantung pada import.

Singapura, Fiji, Jamaica dan Malta, merupakan antara negara yang telah menyumbang kepada perundingan, penggubalan dan penghasilan Unclos.

Encik Zhulkarnain berkata krisis Timur Tengah dapat memberi kesan akibat meluas kepada keamanan dan keselamatan sejagat, sekali gus meningkatkan risiko konflik bersenjata dan ketidakstabilan.

“Sekatan terhadap aliran perdagangan, tenaga dan bekalan genting yang menyalahi undang-undang memberi kesan yang tidak mampu ditanggung (negara kepulauan kecil).

“Oleh itu, adalah demi kepentingan kolektif kita untuk menegakkan hak dan kebebasan pengemudian, bagi memastikan laluan laut genting kekal terbuka, selamat dan boleh diakses oleh semua,” tambah beliau.

Dalam catatan Facebook beliau pada 28 April, Encik Zhulkarnain berkata selama bertahun lamanya, hanya segelintir pemimpin politik Singapura telah berucap di Majlis Keselamatan.

“Ini bukan campur tangan rutin, tetapi peristiwa berbangkit di mana negara kecil yang berprinsip mesti bercakap dengan jelas dan yakin.

“Kami akan terus bersuara mengenai keperluan untuk menghormati hak laluan transit di bawah undang-undang antarabangsa, yang mempunyai kepentingan sebenar untuk Singapura sebagai sebuah negara maritim yang kecil,” katanya lagi.