Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeandalan MRT pada Apr capai tahap tertinggi sejak Nov 2024
Keandalan MRT pada Apr capai tahap tertinggi sejak Nov 2024
Laluan Timur Laut kekal sebagai laluan paling andal, Laluan Circle catat sedikit penurunan
Keandalan MRT pada Apr capai tahap tertinggi sejak Nov 2024
Keandalan rangkaian MRT pada April mencapai tahap tertinggi sejak November 2024, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 15 Mei.
Secara purata, kereta api mencatat perjalanan sejauh 2.22 juta kilometer (km) antara kelewatan melebihi lima minit bagi tempoh antara Mei 2025 dengan April 2026.
Menurut LTA, ia merupakan kali pertama angka tersebut melepasi 2 juta sejak November 2024, dengan angka tertinggi sebelumnya adalah 2.2 juta km.
Rangkaian tersebut kekal mengatasi sasaran keandalan rel Singapura – yang diukur melalui Purata Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) – iaitu 1 juta km.
MKBF merupakan ukuran kejuruteraan yang digunakan secara meluas bagi menilai keandalan rel, dengan mengukur jarak yang dilalui sesebuah kereta api sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit.
Angka LTA adalah berdasarkan purata pergerakan selama 12 bulan.
Tahap keandalan didapati kekal stabil atau bertambah baik merentasi semua laluan kecuali Laluan Circle (CCL), yang mencatat sedikit penurunan pada April.
Laluan Timur Laut (NEL) kendalian SBS Transit kekal sebagai laluan MRT paling andal, dengan mengekalkan prestasi 4.45 juta km antara kelewatan, selepas mencatatkan angka sama pada Mac.
Laluan Downtown (DTL) – juga kendalian SBS Transit – berada di tempat kedua dengan purata 4.2 juta km, melonjak dua kali ganda berbanding 2.1 juta km pada Mac.
CCL kendalian SMRT menyusul dengan catatan 2.36 juta km, merosot sedikit berbanding 2.37 juta km sebelum ini.
Laluan Timur-Barat (EWL), yang turut dikendalikan SMRT, merekodkan 2.02 juta km antara kelewatan, satu peningkatan berbanding 1.45 juta km pada Mac.
Laluan dengan tahap keandalan paling rendah ialah Laluan Utara-Selatan (NSL) kendalian SMRT dengan 1.42 juta km, meningkat daripada 1.24 juta pada Mac.
NSL dan EWL merupakan laluan kereta api tertua di Singapura.
Prestasi Laluan Thomson-East Coast (TEL) kendalian SMRT dikecualikan daripada keputusan keseluruhan keandalan rel kerana masih dalam peringkat awal operasi.
Laluan MRT yang baru beroperasi lazimnya mencatatkan jarak perjalanan jauh lebih rendah kerana bilangan penumpangnya tidak begitu tinggi dan kekerapan tren yang belum mencapai tahap biasa.
Fasa kelima dan terakhir laluan itu – merangkumi stesen Bedok South dan Sungei Bedok – bakal dibuka pada separuh kedua 2026.
Menurut LTA, selepas laluan tersebut dibuka sepenuhnya dan operasinya menjadi stabil, barulah prestasi TEL boleh dibandingkan secara adil dengan laluan MRT lain yang telah lama beroperasi.
Pada April, TEL mencatat perjalanan purata sejauh 356,000 km antara kelewatan, merosot daripada 374,000 km pada Mac.
LTA menjelaskan keandalan TEL kekal tidak stabil kerana ia masih dalam proses penyiapan, dengan kerja penyepaduan sistem serta operasi dan penyelenggaraan masih berjalan.
“LTA dan pengendali rel sedang memantau rapi laluan tersebut dan akan terus bekerjasama bagi meningkatkan prestasinya, serta memastikan perjalanan yang lancar dan andal bagi semua penumpang,” menurut pihak berkuasa itu.
Sementara itu, kereta api di seluruh rangkaian MRT secara umumnya didapati lebih menepati masa pada April.
Sekitar 99.48 peratus perjalanan diselesaikan dalam tempoh dua minit daripada masa yang dijadualkan, meningkat berbanding 99.43 peratus pada Mac, kata LTA pada 15 Mei.
Peningkatan itu didorong oleh prestasi lebih kukuh di seluruh rangkaian, dengan hanya CCL mencatatkan penurunan.
Ketepatan masa bagi CCL merosot daripada 99.13 peratus pada Mac kepada 98.93 peratus pada April.
Semua laluan lain mencatatkan peningkatan dengan kadar ketepatan masa melebihi 99 peratus.
DTL merekodkan ketepatan masa tertinggi iaitu pada kadar 99.98 peratus.
