Kastam berkas lelaki, rampas 261 karton rokok tidak dibayar cukai
Kastam berkas lelaki, rampas 261 karton rokok tidak dibayar cukai
SEORANG lelaki warga Singapura berusia 35 tahun telah ditangkap oleh Kastam Singapura kerana membawa masuk sebanyak 261 karton rokok yang tidak dibayar cukai dalam satu operasi pada 23 Ogos 2022.
Dalam satu kenyataan Kastam Singapura, mereka menyatakan bahawa kesemua 261 karton rokok itu telah dirampas oleh Kastam Singapura.
Ketika satu operasi dijalankan di tempat letak kereta di kawasan berdekatan Ubi Road 3 itu, pegawai Kastam Singapura ternampak seorang lelaki dalam sebuah kereta yang sarat dengan kotak berwarna coklat di tempat penumpangnya.
Setelah pegawai itu mendapati kotak itu mengandungi 258 karton rokok yang tidak dibayar cukai, lelaki itu ditahan.
Lagi tiga karton rokok yang tidak dibayar cukai dan 10 selongsong komputer kosong yang digunakan untuk menyembunyikan rokok itu telah dirampas menyusuli pemeriksaan di kediaman lelaki itu.
Siasatan mendedahkan bahawa lelaki yang didakwa itu telah ditugaskan oleh orang yang tidak dikenalinya melalui platform mesej sosial untuk menerima penghantaran kelongsong komputer di kediamannya.
Setelah itu, beliau harus mengambil rokok yang tidak dibayar cukai daripada kelongsong komputer dan kemudian membungkus dan menghantar rokok-rokok itu ke lokasi berbeza di Singapura.
Jumlah duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak dibayar berjumlah sekitar $22,280 dan $1,770. Prosiding mahkamah masih berlangsung.
Pihak Kastam Singapura ingin mengingatkan orang awam bahawa membeli, menjual, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barangan yang tidak dibayar cukai adalah kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST.
Pesalah boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielak dan/atau dipenjara sehingga enam tahun.

