Topic followed successfully
Go to BHkuKajian S’pura dedah peranan pelbagai bahagian otak dalam mengawal tingkah laku impulsif
Kajian S’pura dedah peranan pelbagai bahagian otak dalam mengawal tingkah laku impulsif
Penemuan perdalam pemahaman tentang masalah seperti ADHD dan ketagihan, buka jalan kepada kaedah pengurusan lebih berkesan
Kajian S’pura dedah peranan pelbagai bahagian otak dalam mengawal tingkah laku impulsif
Sebuah kajian di Singapura telah membongkar misteri bagaimana bahagian-bahagian otak kita bersatu tenaga untuk mengawal diri.
Ia seperti sebuah orkestra yang menyelaraskan tindakan bagi menahan dorongan gerak hati dan memastikan kita bertindak pada detik yang tepat.
Penemuan ini bukan sahaja memperdalam pemahaman tentang masalah seperti Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD) dan ketagihan, tetapi juga membuka jalan kepada kaedah pengurusan yang lebih berkesan, kata para penyelidik daripada Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Fokus kajian mereka tertumpu kepada tiga wilayah utama otak yang terlibat dalam pemikiran kompleks dan fungsi kognitif: korteks insular anterior, korteks parietal posterior, dan korteks frontal dorsomedial.
Ketiga-tiga kawasan ini dipercayai menjadi nadi penting dalam mengawal dorongan.
Profesor Tsukasa Kamigaki, penolong profesor bagi neurosains sistem di LKCMedicine, yang juga salah seorang penulis bagi kajian itu, menjelaskan bahawa setiap kawasan tersebut mempunyai peranan yang unik.
Korteks frontal dorsomedial bertindak seperti ‘pedal brek’, menghentikan tindakan melulu dan memupuk kesabaran. Manakala, korteks insular anterior berfungsi seakan ‘pedal minyak’, yang mendorong munculnya tingkah laku impulsif.
Korteks parietal posterior, jelas Profesor Kamigaki, berfungsi seperti jam dalaman, mengawal cara otak mengesan masa berlalu.
Kajian itu menguji kawalan diri pada tikus dengan penyelidik mereka bentuk tugas di mana tikus dilatih menunggu sebelum dibenarkan menjilat corong air.
Tikus yang terburu-buru tidak akan mendapat ganjaran.
Ujian itu menggunakan optogenetik, teknik yang menggunakan cahaya untuk mengawal kegiatan sel, bagi menyekat fungsi kawasan otak tertentu pada tikus-tikus itu.
Para penyelidik itu mendapati haiwan tersebut menunggu lebih singkat sebelum menjilat corong air itu apabila korteks frontal dorsomedial disekat, tetapi boleh menunggu lebih lama apabila korteks insular anterior tidak aktif.
Apabila korteks parietal posterior disekat pula, tikus itu menunjukkan tingkah laku menunggu yang tidak menentu. Ini membayangkan bahawa kawasan otak ini membantu kawalan diri dengan memastikan pengukuran masa yang stabil.
Dengan mengukur kegiatan neuron di kawasan-kawasan ini, penyelidik itu mendapati sesetengah neuron dalam korteks parietal posterior diaktifkan secara berurutan, seperti detik jam. Ini membantu tikus-tikus itu mengesan berapa lama masa telah berlalu semasa tempoh menunggu itu.
Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal Science Advances pada Oktober 2025.
Walaupun fungsi pelbagai kawasan otak pernah dipetakan, penemuan ini menunjukkan bahawa kawalan diri bukan proses yang bersatu.
Sebaliknya, ia melibatkan “pengiraan yang diselaraskan merentasi sekurang-kurangnya tiga sistem litar otak yang berbeza,” kata Profesor Kamigaki.
“Ini bermakna, dengan menyasarkan setiap kawasan otak yang berbeza secara tepat, pada dasarnya, kita boleh mengubah tahap tingkah laku impulsif dengan cara yang terkawal,” katanya.
“Ini mempunyai implikasi yang mendalam terhadap cara kita memandang orang yang bergelut dengan kawalan diri.”
Tanpa menolak pengaruh faktor seperti genetik atau persekitaran, Profesor Kamigaki berkata kajian itu menyediakan “peta jelas” tentang bahagian otak mana yang perlu disasarkan apabila merawat keadaan seperti ketagihan atau ADHD.
Walaupun isu etika dan praktikal penggunaan optogenetik pada manusia masih wujud, penemuan itu berpotensi membantu pembangunan terapi untuk keadaan sedemikian pada masa hadapan, jelasnya.
Profesor Madya Jimmy Lee, seorang pakar psikiatri di Institut Kesihatan Mental (IMH), yang tidak terlibat dalam kajian itu, berkata:
“Dengan mengenal pasti peranan tertentu setiap kawasan otak dalam mengawal tingkah laku impulsif (ikut gerak hati), kita semakin hampir memahami keadaan seperti ADHD dengan lebih mendalam, dan ini akhirnya boleh membawa kepada rawatan yang lebih tepat pada sasaran.
“Lebih penting, kajian ini membuktikan bahawa masalah kawalan dorongan gerak hati mempunyai asas biologi yang jelas dalam otak, sekali gus mengesahkan bahawa ini adalah keadaan perubatan yang nyata dan bukan hanya kelemahan peribadi seseorang.”

