Topic followed successfully
Go to BHkuSuspek sindiket seludup kenderaan dibawa kembali ke lokasi kejadian di S’pura
Suspek sindiket seludup kenderaan dibawa kembali ke lokasi kejadian di S’pura
Dia didakwa curi sebuah kereta BMW bernilai kira-kira $1,000
Suspek sindiket seludup kenderaan dibawa kembali ke lokasi kejadian di S’pura
Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengklonan kenderaan di Malaysia telah dikenakan dua lagi pertuduhan mencuri pada 24 Mac, masing-masing melibatkan sebuah kenderaan.
Mohd Mazuan Abdullah, 39 tahun, seorang warga Malaysia, kini berdepan tiga pertuduhan mencuri yang berkaitan dengan tiga kereta yang telah dibatalkan pendaftarannya.
Nilai keseluruhan dianggarkan sekitar $8,900.
Sindiket tersebut dipercayai terlibat dalam penjualan kereta curi yang menggunakan butiran klon daripada kenderaan yang didaftarkan secara sah.
Menurut laporan media Malaysia, anggota sindiket mengubah nombor kerangka dalaman dan enjin kenderaan curi supaya sepadan dengan kenderaan sah.
Mereka juga memalsukan dokumen, termasuk kad pendaftaran, sebelum menjual kenderaan tersebut di pasaran kereta terpakai, menurut laporan itu lagi.
Berdasarkan dokumen mahkamah, tiga kereta yang telah dibatalkan pendaftarannya itu merupakan sebuah BMW bernilai $1,000, sebuah Toyota Camry bernilai $4,500, dan sebuah Toyota Altis bernilai $3,400.
Dokumen mahkamah menyebut Mazuan bersubahat dengan rakyat Malaysia, Abdullah Abbas Mohd Arba Ai, 30 tahun, dan warga Singapura Terry Toh Kwang Huat, 53 tahun, untuk mencuri kereta di pelbagai lokasi di kawasan Sungei Kadut, dekat Kranji Road.
Kes Mazuan akan disebut semula pada 31 Mac, manakala kes yang melibatkan Abbas dan Toh masih dalam perbicaraan.
Mazuan, sebelum ini, diserahkan kepada pihak Singapura pada 16 Mac dan kemudian dibawa kembali ke lokasi kejadian di kawasan Sungei Kadut berdekatan dengan Kranji pada 23 Mac.
Dia, yang digari pada tangan dan kaki, dilihat berbual dengan pegawai penyiasat di luar kawasan tempat pelupusan kenderaan sekitar 3 petang.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, operasi yang digelar ‘Op Lejang Mewah Klon’ itu merupakan hasil daripada hampir lima bulan pengumpulan risikan.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita, berusia antara 33 dengan 60 tahun, kesemuanya warga Malaysia yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan sindiket tersebut.
Siasatan juga mendedahkan beberapa suspek bertindak sebagai orang tengah dalam urusan jual beli kenderaan curi yang telah diklon.
Antara kenderaan yang dirampas termasuk Toyota Vellfire, Toyota Estima, Toyota Altis, Toyota Harrier, Mazda 3, Honda City, Honda City Hatchback dan Toyota Camry.
Secara keseluruhan, 12 kenderaan bernilai kira-kira RM1.1 juta ($357,000), termasuk empat kenderaan yang dipercayai dicuri di Singapura, telah dirampas.
Pihak polis Malaysia kini sedang membantu Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam siasatan lanjut, tambah laporan itu.
Jika didapati bersalah, Mazuan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

