Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjual produk tiruan diperintah bayar ganti rugi $510,000 kepada LV
Penjual produk tiruan diperintah bayar ganti rugi $510,000 kepada LV
Mahkamah naikkan ganti rugi dua kali ganda kerana pelanggaran berulang
Penjual produk tiruan diperintah bayar ganti rugi $510,000 kepada LV
Seorang penjual di Instagram yang menjual produk tiruan jenama mewah Louis Vuitton (LV) dengan mendakwa ia sebagai barangan vintaj yang asli dan kitaran tinggi, akhirnya menerima padah apabila diperintah membayar $510,000 kepada LV selepas kalah dalam rayuan di Mahkamah Tinggi Singapura.
Dalam keputusan yang dikeluarkan pada 6 Mei lalu, Mahkamah Rayuan Singapura bukan sahaja mengekalkan kemenangan Louis Vuitton Malletier (LVM), malah menaikkan jumlah ganti rugi lebih dua kali ganda daripada $200,000 kepada $510,000 kerana menganggap tindakan penjual itu terlalu melampau dan jelas tidak menghormati undang-undang.
Tertuduh, Ng Hoe Seng, didakwa mengendalikan akaun Instagram @emcase_sg sebelum berpindah ke @emcrafts_sg untuk menjual pelbagai produk menggunakan jenama LV seperti sarung telefon, dompet kad, tali jam dan pelbagai aksesori lain.
Lebih berani, dia mendakwa produk tersebut dihasilkan menggunakan ‘bahan LV vintaj asli terpakai’ dan menjanjikan ‘jaminan ketulenan’ kepada pelanggan.
Namun, siasatan LV menerusi pembelian perangkap pada tahun 2022 dan 2023 membongkar penipuan tersebut apabila ujian makmal mendapati sebahagian bahan digunakan sebenarnya bukan produk asli LV.
Mahkamah turut mendedahkan bahawa Ng masih terus menjual produk tiruan itu walaupun sudah dikenakan injunksi mahkamah.
Dia malah didakwa cuba mengelak tindakan undang-undang dengan berpindah ke akaun Instagram lain dan menukar akaun tersebut kepada mod peribadi.
Panel hakim menyifatkan lelaki itu sebagai ‘pelanggar tegar’ yang langsung tidak menghormati arahan mahkamah.
Secara keseluruhan, sebanyak 121 pelanggaran cap dagangan dikenal pasti melibatkan sembilan kategori produk termasuk sarung kunci, sarung telefon bimbit, tali jam, dompet kad dan sarung pasport.
LV sebelum ini cuba menuntut ganti rugi berdasarkan setiap logo dan cap dagangan yang disalah guna, yang berpotensi menjadikan jumlah pampasan mencecah jutaan dolar Singapura.
Namun mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi perlu dikira mengikut kategori produk tiruan yang dijual, bukannya jumlah logo pada setiap produk.
Walaupun begitu, mahkamah tetap menyifatkan pampasan asal $200,000 sebagai terlalu rendah, memandangkan penjual tersebut terus aktif menjual barangan tiruan, cuba mengelak tindakan undang-undang dan menggunakan media sosial untuk meluaskan pasaran.
Hakim turut menegaskan Instagram membantu penjual itu mencapai lebih ramai pelanggan dengan kos rendah, selain menggunakan kumpulan pempengaruh dikenali sebagai EmCollabFam, bagi mempromosikan produk tiruan tersebut secara dalam talian. – Agensi berita.
