SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lelaki mengaku terlibat rancangan curi jam Rolex bernilai $86,000

Lelaki mengaku terlibat rancangan curi jam Rolex bernilai $86,000

Mar 30, 2026 | 4:14 PM

Lelaki mengaku terlibat rancangan curi jam Rolex bernilai $86,000

Lelaki, terlibat rancangan curi jam Rolex, dari mahkamah, jenayah
Dominic Chow Yee, telah mendapatkan akaun haram di wadah dalam talian Carousell untuk digunakan oleh rakannya bagi mencari penjual jam tangan mewah. - Foto fail

Seorang lelaki telah mengaku bersalah di mahkamah daerah kerana terlibat dalam perancangan untuk mencuri sebuah jam tangan Rolex Daytona John Mayer bernilai $85,800.

Dominic Chow Yee telah mendapatkan akaun haram di wadah dalam talian Carousell untuk rakannya mencari penjual jam tangan mewah.

Rakannya, Darrel Chen Yu Zhi, 23 tahun, kemudian mengatur seorang remaja lelaki berusia 17 tahun untuk menjalankan pencurian itu pada Mei 2025.

Remaja itu ditangkap selepas dikejar, dan jam tangan mewah tersebut ditemui.

Pada 30 Mac, Chow, 28 tahun, mengaku bersalah kerana membantu Chen dalam melakukan pencurian itu. Chow akan dijatuhi hukuman pada Mei.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hidayat Amir berkata Chow membantu Chen “dengan harapan bahawa, jika pencurian itu dilakukan, (Chen) akan dapat melunaskan sebahagian hutangnya kepada (Chow).”

Chow turut mengaku bersalah atas satu tuduhan menyalahgunakan sistem komputer.

Remaja itu, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai C1, tidak boleh dinamakan kerana berumur di bawah 18 tahun dan dilindungi di bawah Akta dan Peraturan Kanak-kanak dan Orang Muda.

Pada Mei 2025, Chen menghubungi Chow, bagi memberitahunya dia ingin melakukan rancangannya itu.

DPP Hidayat berkata: “(Perancangan itu) melibatkannya mencari penjual jam tangan mewah atau rantai emas di Carousell dan menipu mereka supaya mempercayai bahawa dia adalah pembeli yang serius.

“Semasa pertemuan, (Chen) akan mengatur rakan komplot lain untuk berpura-pura menjadi pembeli dan mencuri barang penjual tersebut.”

Pada 26 Mei 2025, penjual jam tangan Rolex dan Chen bersetuju bertemu di sebuah kedai kopi di Ang Mo Kio Avenue 8 pada 3 petang hari tersebut.

Namun, Chen telah mengatur untuk C1 bertemu mangsa. Mangsa pergi ke kedai kopi itu membawa sebuah kotak yang mengandungi jam tangan tersebut.

Beberapa minit kemudian, C1 tiba dan memberitahu mangsa dia ingin memeriksa jam tangan itu.

Selepas mangsa menutup kotak tersebut, C1 tiba-tiba merampas kotak itu dan cuba melarikan diri.

Mangsa, yang mengejarnya, kemudian meminta bantuan beberapa orang awam. C1 berjaya ditangkap beberapa minit kemudian dan mangsa memaklumkan polis.

Pegawai polis menangkap remaja itu dan Chow kemudian ditangkap pada Ogos 2025. Chow, yang sedang direman, dijangka dijatuhi hukuman pada 7 Mei.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg