Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 2,500 diberkas kesalahan vape suku pertama 2026
Lebih 2,500 diberkas kesalahan vape suku pertama 2026
Lebih 2,500 diberkas kesalahan vape suku pertama 2026
Seramai 2,589 individu telah ditangkap kerana memiliki dan menggunakan vape dalam tempoh tiga bulan pertama 2026.
Dalam satu kenyataan bersama pada 4 Mei, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata daripada mereka yang ditangkap itu, 2,212 adalah pesalah yang biasa menggunakan vape.
Baki 377 individu pula ditangkap atas kesalahan yang melibatkan vape yang dicampur dengan dadah etomidate, dikenali sebagai Kpod.
Dalam tempoh tersebut juga, lebih 36,000 vape dan komponen berkaitan telah dirampas di pusat pemeriksaan dan 24 kes penyeludupan telah dipatahkan, kata pihak berkuasa, yang menambah bahawa 13 penjual vape dan 11 penyeludup telah didakwa.
HSA juga mengenal pasti dan mendenda 10 individu kerana menyiarkan gambar atau video mereka sendiri sedang menghisap vape di media sosial.
Lebih 600 senarai vape dalam talian dan komponen berkaitannya telah dipadamkan daripada platform e-dagang dan media sosial, kata pihak berkuasa lagi.
Dalam tempoh sama, HSA telah mendakwa empat individu di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengedar Kpod.
Kes-kes ini sedang menunggu hukuman dijatuhkan.
Seramai 13 individu telah didakwa kerana menjual vape, termasuk seorang lelaki berusia 21 tahun yang dipenjara selama 41 minggu, dan seorang lelaki berusia 32 tahun pula dikenakan hukuman penjara 40 minggu.
Lagi 256 pesalah vape juga telah ditempatkan dalam program pemulihan dalam tempoh tiga bulan pertama 2026, menjadikan jumlah keseluruhan yang ditempatkan dalam program sedemikian kepada 520.
Program yang bermula pada September 2025, adalah wajib untuk pesalah Kpod kali pertama dan pesalah vape kali kedua.
Kira-kira 123 individu telah selesai menjalani program pemulihan tersebut, kata kenyataan itu lagi.
Mereka yang gagal menghadiri atau menyelesaikan program pemulihan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Seramai 28 daripada mereka sedang menjalani prosiding mahkamah dan 42 lagi terlibat dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Pada Mac, undang-undang antivape telah diluluskan untuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap vape dan penyalahgunaan bahan psikoaktif seperti etomidate melalui vape.
