Topik diikuti
Pergi ke BHkuJemaah haji S’pura raih manfaat pengaturan lebih mudah, selesa di Arab Saudi
Jemaah haji S’pura raih manfaat pengaturan lebih mudah, selesa di Arab Saudi
Faishal: Langkah seperti ‘Haji Tanpa Bagasi’, pengaktifan awal kad Nusuk beri ketenangan fikiran untuk 900 anggota jemaah tumpu pada ibadah
Jemaah haji S’pura raih manfaat pengaturan lebih mudah, selesa di Arab Saudi
Jemaah haji Singapura yang kini berada di Arab Saudi telah meraih manfaat daripada pengaturan yang memberikan lebih kemudahan dan ketenangan fikiran, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam hantaran Facebook pada 25 Mei, Dr Faishal berkata ia termasuk inisiatif, ‘Haji Tanpa Bagasi’, di mana barang jemaah dibawa terus ke hotel, dan proses mengaktifkan kad Nusuk sebelum berlepas dari Singapura.
Kad Nusuk merupakan dokumen rasmi Arab Saudi yang mengandungi maklumat peribadi anggota jemaah, menyediakan akses ke tapak suci, serta menyertakan butiran penginapan dan pengangkutan bagi menyokong jemaah sepanjang perjalanan ibadah.
“Jemaah haji kita telah meraih manfaat daripada pelbagai kemudahan yang diperkenalkan, termasuk inisiatif ‘Haji Tanpa Bagasi’, di mana barangan jemaah dihantar terus ke hotel, dan pengaktifan kad Nusuk sebelum berlepas dari Singapura.
“Usaha ini telah banyak memudahkan jemaah haji kita. Ia membolehkan jemaah kita melakukan perjalanan dengan lebih mudah, dan menumpukan perhatian pada ibadah mereka sepanjang perjalanan yang penuh bermakna ini,” kata Dr Faishal.
Beliau yang juga berada di Arab Saudi sebagai Ketua Delegasi Haji Singapura 2026, telah berhubung semula dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah.
Dalam pertemuan itu, Dr Faishal telah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Haji dan Umrah (Mohu) Arab Saudi atas pelaksanaan haji yang teratur pada 2026.
Dr Tawfiq dan Dr Faishal kali terakhir bertemu di Jeddah semasa majlis menandatangani perjanjian haji pada November 2025.
Menurut Dr Faishal, perjanjian tersebut mencerminkan kepercayaan dan persahabatan antara Singapura dengan Arab Saudi, serta iltizam bersama dalam memastikan jemaah Singapura dapat menunaikan ibadah haji dengan selamat, lancar dan bermakna.
Pada 23 Mei lalu, Dr Faishal, bersama beberapa pegawai Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), melawat Hospital Jerman Saudi dan Pusat Perubatan Makkah untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan Arab Saudi atas komitmen dan sokongan berterusan mereka terhadap jemaah Singapura sepanjang musim haji.
“Daripada kemudahan yang lengkap hinggalah kepada karyawan penjagaan kesihatan yang berdedikasi di lapangan, kerjasama ini membantu memastikan jemaah haji kita menerima penjagaan dan sokongan tepat pada masanya apabila diperlukan, terutamanya semasa tempoh haji yang mencabar secara fizikal.
“Semoga semua yang berkhidmat untuk jemaah haji diberi ganjaran atas dedikasi dan perkhidmatan mereka,” kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu hantaran Facebook.
Seramai 900 anggota jemaah haji Singapura kini berada di Tanah Suci.
Hari wuquf di Arafah, yang menjadi kemuncak ibadah haji, jatuh pada Selasa, 26 Mei, bersamaan 9 Zulhijah, manakala Hari Raya Aidiladha pula disambut pada Rabu, 27 Mei.
