Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jelajah ladang tani menegak bak langkah ke alam cereka sains

Greenphyto dikuasai sepenuhnya oleh AI dan automasi; guna sekitar 30 hingga 50 peratus kurang tenaga manusia berbanding ladang pertanian tradisional
Jan 7, 2026 | 8:24 PM
agroteknologi, greenphyto
Kakitangan ladang pertanian menegak dalam bangunan firma agroteknologi tempatan, Greenphyto, membungkus hasil tuaian secara manual bagi memastikan pembungkusan kemas, sementara firma itu merancang mengautomasikan sepenuhnya proses pembungkusan apabila pengeluaran ditingkatkan. - Foto GREENPHYTO

Meneroka ladang pertanian menegak dalam bangunan Greenphyto di Tukang Innovation Drive seolah-olah melangkah ke dalam rumah hijau cereka sains.

Tingkat demi tingkat sayuran berdaun menjulang ke siling, disusun antara satu sama lain dalam dua menara hidroponik sepanjang 118 meter dan setinggi 23.3 meter di setiap dari lima bilik penanaman beroperasi tanpa manusia.

Setiap menara pula dilengkapi dengan lebih 500 rak, disinari barisan lampu LED di atas, sementara setiap dulang disuntik dengan formula nutrien yang disesuaikan dengan tahap pertumbuhan setiap tanaman.

Di tengah-tengah dua menara tersebut terletak sistem robot iaitu kren ungu yang memantau tanaman, mengambil dulang anak benih dari bilik bersebelahan dan meletakkannya dengan tepat pada setiap rak.

Semua itu dibolehkan oleh sistem hidroponik berautomasi sepenuhnya yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dan robot pengilangan canggih.

Pengasas firma agroteknologi, Greenphyto, Cik Susan Chong, memberitahu Berita Harian, penerapan AI dan automasi membolehkan ladang pertanian menegak dalam bangunan Greenphyto itu dijalankan dengan lebih cekap.

“Kami menggunakan AI untuk memantau pertumbuhan tanaman dan mengoptimumkan penggunaan sumber seperti pencahayaan melalui sistem pengurusan operasi ladang milik kami.

“Automasi pula digunakan untuk menjalankan penanaman benih, pemindahan anak benih, tuaian dan penanaman.

“Kami menggunakan kira-kira 30 hingga 50 peratus kurang tenaga manusia berbanding ladang pertanian tradisional,” jelas beliau.

Greenphyto melancarkan ladang pertanian menegak yang tertinggi di dunia – dalam bangunan – pada 7 Januari.

Ladang hidroponik bernilai $80 juta itu beroperasi dengan memanfaatkan automasi sepenuhnya dan dikuasai oleh kecerdasan buatan (AI) serta robot pengilangan canggih.

Terletak dalam bangunan lima tingkat, ladang pertanian menegak setinggi 23.3 meter itu mampu menghasilkan sehingga 2,000 tan sayur-sayuran setahun pada kapasiti penuh.

Bangunan tersebut terletak dalam kawasan seluas dua hektar – sama seperti kira-kira tiga padang bola sepak – di Tukang Innovation Drive dekat Jurong West.

Keupayaan AI ladang pertanian menegak dalam bangunan itu dibangunkan dengan sokongan daripada Program Pemimpin Digital oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Ia turut mendapat sokongan Agensi Makanan Singapura (SFA) menerusi Dana Transformasi Kelompok Agro-Makanan (ACT).

“Di bawah Program Pemimpin Digital (DLP), IMDA bekerjasama dengan syarikat tersebut untuk memanfaatkan teknologi digital bagi mengubah operasi pertanian tradisional menjadi proses automatik berasaskan data yang meningkatkan produktiviti, kawalan mutu dan kecekapan operasi.

“Program ini juga membantu membina keupayaan dalaman syarikat secara menyeluruh melalui pengambilan pasukan digital dalaman yang terdiri daripada jurutera data dan pembangun perisian,” ujar IMDA dalam satu kenyataan media pada 7 Januari.

Ia melibatkan penggunaan model penglihatan komputer untuk memantau pertumbuhan tanaman secara automatik, mengukur ketinggian dan kelebaran daun, mengenal pasti daun yang menguning, serta meramalkan kadar percambahan.

Selain itu, Greenphyto membangunkan lebih 20 papan pemuka pintar yang memberi amaran awal dan analisis pertumbuhan, serta chatbot AI pelbagai bahasa bagi membantu kakitangan.

“Sebagai ladang dalaman, kami dapat mengawal suhu dan pencahayaan, sekali gus mengatasi ketidakpastian yang timbul akibat perubahan corak iklim,” jelas Cik Susan.

Ditubuhkan pada 2014, Greenphyto kini memiliki 69 paten di 34 negara, membabitkan inovasi yang membantu mengoptimumkan pertumbuhan tanaman dan mengurangkan kos operasi.

Bahkan, syarikat tersebut berjaya menjimatkan 30 peratus penggunaan tenaga.

Dalam pada itu, Greenphyto kini merancang menubuhkan syarikat teknologi, Arber.ai, bagi menyediakan khidmat perundingan untuk membantu ladang lain dan syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan merentas pelbagai sektor menggunakan penyelesaian digital dalam perniagaan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg