Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jel 14 tahun bagi wanita Thai terlibat dalam tipu barangan mewah $32j

Oct 29, 2024 | 5:12 PM
Pasangan suami isteri yang terlibat dalam penipuan barangan mewah, Pi Jiapeng dan Pansuk Siriwipa, diiringi pegawai polis di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 11 Ogos 2022.
Pasangan suami isteri yang terlibat dalam penipuan barangan mewah, Pi Jiapeng dan Pansuk Siriwipa, diiringi pegawai polis di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 11 Ogos 2022. - Foto ST

Seorang wanita Thailand yang mendalangi satu skim penipuan barangan mewah melibatkan hampir 200 mangsa, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun pada 29 Oktober.

Pansuk Siriwipa, 30 tahun, yang menyertai prosiding mahkamah melalui pautan video, tunduk dan mengangguk ketika hakim membacakan hukuman itu, lapor The Straits Times.

Pada 21 Oktober, Pansuk mengaku bersalah bagi 30 pertuduhan, termasuk menipu dan pengubahan wang haram.

Pansuk mengambil bayaran bagi beg dan jam tangan mewah berjumlah lebih $25 juta, walaupun sedar dia tidak dapat memenuhi pesanan itu kerana menghadapi masalah dalam mendapatkan stok barangan tersebut dari luar negara.

Dia menghadapi 180 pertuduhan kesemuanya, dengan baki 150 pertuduhan dipertimbangkan mahkamah semasa hukuman dijatuhkan.

Pansuk dan suaminya, Pi Jiapeng, seorang warga Singapura berusia 29 tahun, menjadi tajuk utama berita pada 2022 kerana terlibat dalam penipuan barangan mewah bernilai $32 juta.

Antara Mei dan Ogos 2022, sebanyak 187 laporan polis difailkan terhadap syarikat mereka, Tradenation dan Tradeluxury, kerana tidak memenuhi pesanan walaupun pembeli telah membuat pembayaran penuh.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah, Encik Christopher Goh, berkata beliau mendapati hukuman itu wajar kerana ia mencerminkan jenayah Pansuk dalam keseluruhan skim itu.

Beliau berkata: “Tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa jumlah wang yang terlibat besar, berjumlah hampir $26 juta.”

Encik Goh menyatakan walaupun syarikat pasangan itu mengalami kerugian, mereka tetap membuat perbelanjaan peribadi yang besar, menggunakan wang pembayaran daripada pelanggan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) David Koh menyatakan dua syarikat itu menjadi skim Ponzi, melibatkan lebih ramai mangsa dalam usaha melunaskan bayaran atau pembelian pelanggan sedia ada.

Peguam Ponsuk, Encik Johannes Hadi dan Cik Sophia Ng, mencadangkan hukuman penjara antara 12 tahun lapan bulan hingga 13 tahun tujuh bulan, menyatakan bahawa anak guam mereka menyesal dan bercadang menjaga neneknya yang tua.

Pi menghadapi sembilan pertuduhan, dan kesnya belum selesai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg