Jejak warisan baru rakam evolusi sektor khidmat sosial S’pura
Jejak warisan baru rakam evolusi sektor khidmat sosial S’pura
Sektor perkhidmatan sosial di Singapura telah membuktikan keupayaannya dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 dan harus bersiap sedia untuk memainkan peranan penting itu sekali lagi, di tengah-tengah ketegangan yang wujud dalam landskap dunia sekarang.
Ketegangan sedemikian boleh mencetuskan kebimbangan dan ketidakpastian di seluruh dunia serta mengakibatkan kehilangan pekerjaan di sini, dengan sesetengah orang mungkin memerlukan bantuan karyawan khidmat sosial, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada 12 April.
“Namun, pekerja sosial tidak bekerja bersendirian.
“Pemerintah telah lama bekerjasama rapat dengan sektor perkhidmatan sosial dan komited menyokong serta memperkukuh sektor ini,” ujar beliau semasa berucap di majlis pelancaran Jejak Warisan Perkhidmatan Sosial di 64 Club Street.
Acara pelancaran itu diadakan di tapak lama Kelab Pondok Peranakan Gelam, yang ditubuhkan pada awal abad ke-20 untuk menyediakan penginapan dan sokongan sosial buat golongan migran Bawean ketika itu.
“Kami memahami tuntutan emosi pekerjaan ini amat besar, justeru kami akan terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan golongan karyawan khidmat sosial boleh mendapatkan sumber yang lebih baik untuk berkhidmat kepada masyarakat,” kata Encik Masagos.
Beliau turut menarik perhatian bahawa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) telah menandatangani satu perjanjian pada 2023 untuk memperkukuh kemahiran pekerja khidmat sosial dan meneroka peluang dalam pendidikan serta penyelidikan.
Pada Mac 2025, SUSS mengumumkan akan membuka Sekolah Kerja Sosial dan Pembangunan Sosial yang baru, kata beliau.
Selain itu, MSF juga telah menetapkan tahun 2025 sebagai tahun khas untuk meraikan sumbangan karyawan dalam sektor perkhidmatan sosial.
Jejak warisan baru itu turut mengiktiraf sumbangan bersejarah perintis kerja sosial, pemimpin masyarakat serta dermawan awal negara ini.
Dibangunkan oleh MSF dan SUSS, jejak warisan sepanjang 3 kilometer itu meliputi 14 tapak bersejarah di Daerah Sivik dan Chinatown, termasuk Old Arts House, People’s Park Complex dan Ann Siang Hill – lokasi di mana masyarakat telah tampil untuk membantu golongan yang memerlukan.
Presiden SUSS, Profesor Tan Tai Yong, berkata:
“Jejak Warisan Perkhidmatan Sosial ini memberi peringatan yang amat penting tentang sejauh mana Singapura telah melangkah dalam membina masyarakat yang prihatin dan inklusif.
“Kami berharap jejak ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk tampil dan menyertai usaha penting dalam pembangunan negara ini.”

