Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa dibentuk untuk semak gaji pemegang jawatan politik

Jan 12, 2026 | 8:50 PM
Jawatankuasa dibentuk, semak gaji, pemegang jawatan politik
Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, berkata satu jawatankuasa bebas telah dibentuk untuk menjalankan semakan gaji pemegang jawatan politik. - Foto CMG

Pemerintah telah membentuk satu jawatankuasa bebas untuk menjalankan semakan gaji pemegang jawatan politik, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

Ini termasuk gaji semua ahli Dewan termasuk menteri, Speaker, Anggota Parlimen (AP), Perdana Menteri dan Presiden.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen daripada Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) pada 12 Januari, Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata jawatankuasa itu baru sahaja dibentuk dan akan mengemukakan laporannya kepada pemerintah apabila siap.

Pengerusi syarikat gas Singapore LNG Corp dan ahli gantian Majlis Penasihat Presiden, Encik Gan Seow Kee, akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut, menurut Encik Chan.

Jawatankuasa itu telah diminta untuk mengesyorkan tahap gaji yang sesuai berdasarkan rangka kerja gaji semasa dan, jika perlu, untuk mencadangkan penambahbaikan supaya pelaksanaan rangka kerja tersebut kekal relevan dan dapat memenuhi tujuan yang dimaksudkan, kata Encik Chan.

Laporan yang dikemukakan jawatankuasa itu akan dipertimbang pemerintah dan ia akan menyampaikan penemuan serta maklumat terkini kepada Parlimen, katanya.

Rangka kerja gaji semasa telah diwujudkan oleh jawatankuasa semakan pada 2012, dan pemerintah bersetuju dengan cadangannya bahawa rangka kerja itu akan dikaji semula oleh jawatankuasa bebas setiap lima tahun, tambahnya.

Satu jawatankuasa lain telah dibentuk pada 2017 untuk menyemak semula rangka kerja 2012, dan ia menyimpulkan bahawa rangka kerja tersebut kekal kukuh dan gaji pemegang jawatan politik harus diselaraskan setiap tahun selaras dengan pergerakan penanda aras gaji.

Pemerintah memutuskan untuk tidak membuat sebarang perubahan pada gaji pemegang jawatan politik pada masa itu, dan pada 2023, ia memutuskan untuk menangguhkan semakan yang dijadualkan, memandangkan persekitaran luaran yang tidak menentu dan risiko penurunan dalam ekonomi global pada masa itu, katanya.

“Oleh itu, masanya kini sesuai untuk menjalankan semakan,” kata Encik Chan.

Di bawah rangka kerja 2012 itu, gaji menteri ditanda aras kepada pendapatan median 1,000 penerima pendapatan tertinggi yang merupakan rakyat Singapura, dengan diskaun 40 peratus untuk mencerminkan etos khidmat politik.

Mereka yang berada dalam kelompok 1,000 penerima pendapatan tertinggi termasuk mereka yang memegang jawatan pengurusan kanan seperti ketua eksekutif, ketua pegawai operasi dan ketua pegawai kewangan; mereka yang bekerja dalam perkhidmatan kewangan seperti banker, pedagang dan pengurus aset; serta profesional seperti peguam, doktor dan akauntan.

Gaji bulanan rujukan untuk menteri peringkat permulaan ialah $55,000 dan tahap gaji pemegang pelantikan politik lain ditentukan berdasarkan nisbah gaji mereka kepada gaji menteri peringkat permulaan, yang mencerminkan peranan dan tanggungjawab mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg