Topic followed successfully
Go to BHkuJawatankuasa baru pacu penggunaan AI dalam sektor pengajian tinggi
Jawatankuasa baru pacu penggunaan AI dalam sektor pengajian tinggi
Bentuk hala tuju strategik, kongsi amalan terbaik dan perkembangan dalam bidang AI
Jawatankuasa baru pacu penggunaan AI dalam sektor pengajian tinggi
Satu jawatankuasa baru akan mengemudi fasa seterusnya dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) merentasi sektor pengajian tinggi di Singapura.
Jawatankuasa Kecerdasan Buatan dalam Pengajian Tinggi itu akan memacu hala tuju strategik dan pemantauan bagi meningkatkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IHL), umum Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Jawatankuasa itu juga akan memperkukuh perkongsian amalan terbaik dan perkembangan dalam bidang AI, tambah beliau.
Encik Lee berkata demikian di Forum Pendidikan The Straits Times (ST) yang diadakan di Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), pada 1 April.
Forum yang dianjurkan dengan kerjasama SMU itu membincangkan penggunaan AI dalam pengajian tinggi serta mengupas aspek pembelajaran dan penilaian dalam zaman AI.
Dipengerusikan Encik Lee, jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, serta presiden, pengetua, dan ketua eksekutif universiti, politeknik, dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tempatan.
Encik Lee berkata meskipun setiap institusi mempunyai kumpulan kerja sedia ada untuk berkongsi amalan terbaik, pendekatan “peringkat sistem” kini diperlukan bagi mengenal pasti peluang dan menangani cabaran secara bersama.
Ini memandangkan AI akan terus berkembang pesat.
“Dengan memperkukuh perkongsian dan penyelarasan di peringkat kepimpinan... kita dapat mengembangkan usaha sedia ada dan melangkah dengan matlamat serta impian lebih besar, bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan, bahkan membentuknya secara proaktif selari dengan evolusi masa depan pengajian tinggi dan kampus kita,” katanya.
Menurut Encik Lee, Kementerian Pendidikan (MOE) juga akan memperkukuh penyelidikan mengenai bagaimana AI dapat memajukan cara mengajar di peringkat tinggi, dengan menyokong projek AI yang melibatkan kerjasama pelbagai IHL melalui Dana Penyelidikan Pendidikan Tinggi.
“(Penyelidikan) ini akan menghimpunkan pendidik dan penyelidik untuk meneroka pendekatan inovatif dalam pembelajaran, mengeluarkan bukti tentang perkara yang berkesan dan menterjemah dapatan ini ke dalam amalan pengajaran di institusi kita,” tambahnya.
Beliau menambah, kerja dalam sektor IHL itu menyokong usaha lebih luas Majlis AI Kebangsaan baru yang dipengerusikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Berucap di depan seramai 500 hadirin, Encik Lee menambah, sistem pendidikan tidak pernah statik, sebaliknya ia sentiasa menyesuaikan diri seiring dengan perubahan dalam masyarakat dan teknologi.
Namun, kebangkitan pesat AI membawa “perubahan teknologi besar” baru yang datang dengan peluang serta risiko, kata beliau.
AI amat cemerlang dalam tugas umum atau ‘mendatar’ seperti merumuskan maklumat, manakala bagi tugas khusus atau ‘menegak’, ia memerlukan kepakaran mendalam dalam bidang tertentu serta pertimbangan dunia nyata, jelas Encik Lee.
“Kita mesti melengkapkan pelajar bukan sekadar dengan kebolehan menggunakan alat AI ‘mendatar’, bahkan dengan kedalaman ilmu dan pertimbangan untuk menggunakannya dengan baik dalam tugas ‘menegak’ yang akan memacu perubahan sebenar,” katanya.
Kebolehan AI akan dibina secara berperingkat bermula daripada sekolah rendah hingga ke peringkat IHL.
AI hanya akan diperkenalkan pada peringkat Darjah 4, di bawah pengawasan rapi dan pendedahan rendah, kata Encik Lee, dengan keutamaan diberikan kepada pembelajaran asasi.
Penggunaan AI kemudian akan dipertingkat, dengan alat tersebut berfungsi sebagai ‘guru’ yang mendorong pelajar berfikir dan mengajukan soalan kepada mereka, dan bukan hanya memberi jawapan atau menyediakan jalan pintas.
Pada peringkat IHL pula, pelajar perlu memanfaatkan AI di samping memperkukuh keupayaan berfikir secara sendiri, ujar beliau.
Visi itu memerlukan pertimbangan semula tentang bagaimana pendidik mengajar dan melaksanakan tugas mereka, dengan usaha sedemikian telah dimulakan di serata kampus di Singapura, tambah Encik Lee.

