Jangan terlepas saksi kemeriahan Pesta Malam Singapura
JANGAN terlepas untuk menyaksikan Pesta Malam Singapura di kawasan Bras Basah dan Bugis (BBB) yang sedang berlangsung.
Bertemakan Kelahiran Semula ataupun "Rebirth", ia melambangkan kembalinya semula pesta itu selepas dua tahun tidak diadakan akibat pandemik Covid-19.
Di acara Armenian Street Party, beberapa kumpulan akan beraksi dari 7.30 malam hingga 10.45 malam.
Antara yang membuat persembahan pada malam ini ialah kumpulan Azpirasi dengan persembahan berjudul Joget. Dengarkan juga kemantapan vokal kumpulan The A Cappella Society.
Di acara After Dark @ Dhoby Ghaut Green pula, bakat-bakat tempatan akan menghiburkan orang ramai dengan beberapa pilihan lagu sambil penonton boleh menikmati hidangan makanan dan minuman secara santai.
Artis yang akan membuat persembahan pada malam ini ialah Marian Carmel (muzik pop) sementara esok, Rene (persembahan Unplugged) akan mengisi pentas. Masa persembahan ialah 7.30 malam hingga 8.15 malam dan 9 malam hingga 9.45 malam.
Satu lagi persembahan menarik ialah 'An Ocean Without The Anchor by Speak Cryptic' yang berlangsung di Raffles City Shopping Centre. Persembahan arca oleh seniman yang bernama Farizwan Fajari ini diilhamkan oleh rumah api, struktur kukuh yang sinonim dengan harapan ia akan terus bersinar biarpun dalam kegelapan. Ia juga menyampaikan nilai bergotong-royong.
Acara-acara pesta yang diketengahkan ini dibuka percuma kepada orang ramai.

