Satu kemudahan baharu bagi melatih pegawai keselamatan menggalas amanah dan mengasah kemahiran dalam sekitaran lebih realistik yang terisi dengan latihan amali telah dibangunkan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.

Dikenali sebagai Pusat Latihan Operasi Keselamatan atau Security Operations Training Command (SOTC), ia menawarkan program Diploma Bekerja dan Belajar dalam Operasi Keselamatan.

Terdapat ruang pembelajaran berasaskan senario seperti stesen pemeriksaan kenderaan persis yang dikendalikan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), bilik temu duga, serta zon realiti campuran dan kecerdasan buatan (AI) untuk latihan lebih mendalam.

Kemudahan tersebut yang mampu menampung sehingga 300 pelatih itu dirasmikan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di ITE Kolej Central pada 29 April.

Dalam ucapannya, Dr Faishal, yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berkata: “Sebelum ini, latihan di ITE banyak dijalankan di bilik darjah, yang mengehadkan keupayaan bagi mensimulasikan persekitaran operasi sebenar.

“SOTC menangani jurang itu dengan menyediakan persekitaran latihan yang lebih berstruktur dan lebih mendalam untuk dihayati pelatih, sekali gus merapatkan jurang antara teori dengan aspek amali.”

Beliau menambah, kemudahan itu bukan sekadar ruang latihan, malah, wadah bagi pelajar mengalami keadaan sebenar secara lebih dekat sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Ketika ditanya mengenai pengalamannya, salah seorang pelatih yang berada dalam tahun ketiga kursus Diploma Bekerja dan Belajar dalam Operasi Keselamatan, Encik Muhammad Danish Kamarus, 26 tahun, berkata kewujudan SOTC memberi nilai tambah besar kepada pembelajarannya kerana ia membantu menghubungkan teori di bilik darjah dengan keadaan sebenar di lapangan.

“Dengan bekerja sambil belajar, saya dapat berdikari dari segi kewangan. Ia juga mengajar saya pengurusan masa dan disiplin kerana saya perlu mengimbangi kerja dan pelajaran dengan baik,” ujarnya.

Encik Danish yang bertugas sebagai seorang renjer bersama Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) berkata latihan di SOTC membantunya memahami dengan lebih jelas bagaimana operasi keselamatan dijalankan dalam keadaan sebenar, sebagaimana yang dilalui di tempat kerja.

Beliau menambah, pengalaman dalam bilik temu duga dan latihan berasaskan senario yang disediakan di SOTC turut membantunya meningkatkan kemahiran komunikasi, pemerhatian sekeliling serta keyakinan diri dalam berinteraksi dengan orang awam.

“Pada mulanya, saya seorang yang pemalu dan tidak banyak bercakap.

“Tetapi melalui latihan dan kerja, saya mula membina keyakinan, terutama apabila perlu berurusan dengan orang awam atau mengendalikan situasi yang tidak dijangka,” katanya.

Menurut Encik Danish, tugas hariannya di Sentosa melibatkan aspek keselamatan seperti pemantauan kawasan pantai, jalan raya dan kawasan perumahan dan gaya hidup Sentosa Cove, selain membantu pengunjung, memberi bantuan kecemasan serta mengawal aliran trafik di kawasan tumpuan.

Pendedahan kepada pelbagai persekitaran kerja seperti ICA, operasi lapangan terbang, syarikat pengendali darat dan katering penerbangan tersenarai di Singapura, Sats, dan Sentosa, turut membantunya memahami perbezaan pendekatan keselamatan di setiap lokasi.

“Setiap tempat mempunyai cara operasi yang berbeza. Ada yang lebih ketat seperti di lapangan terbang, dan ada yang lebih tertumpu kepada keseimbangan antara keselamatan dengan pengalaman pengunjung seperti di Sentosa,” ujarnya.

Justeru, dengan gabungan latihan di SOTC dan pengalaman di lapangan, Encik Danish berkata beliau kini lebih yakin dan bersedia mengendalikan keadaan keselamatan sebenar, termasuk membuat keputusan pantas meski di bawah tekanan.

Beliau merancang untuk terus berkhidmat bersama SDC sebagai renjer selepas menamatkan pengajiannya sambil terus membina kerjaya dalam bidang keselamatan yang diminati sejak awal.