Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu buli: Hukuman rotan di sekolah hanya diguna sebagai pilihan terakhir
Isu buli: Hukuman rotan di sekolah hanya diguna sebagai pilihan terakhir
Desmond Lee: Sekolah mesti patuhi protokol keselamatan pelajar yang ketat
Isu buli: Hukuman rotan di sekolah hanya diguna sebagai pilihan terakhir
Hukuman rotan, sebagai langkah disiplin, hanya digunakan “jika semua cara lain tidak mencukupi”, dan pihak sekolah mesti mematuhi protokol keselamatan pelajar yang ketat, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, di Parlimen pada 5 Mei.
Hukuman rotan perlu diluluskan oleh pengetua sekolah dan hanya dilaksanakan oleh guru yang diberi kuasa, tambah Encik Lee bagi menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai penggunaan kaedah itu untuk menangani isu buli di sekolah.
Antara AP yang bertanya ialah Encik Alex Yeo (Potong Pasir), Dr Charlene Chen (GRC Tampines), dan Encik Louis Chua (GRC Sengkang).
Pihak sekolah akan mempertimbangkan faktor seperti kematangan pelajar berkenaan dan sama ada hukuman itu akan membantunya belajar daripada kesilapannya itu, jelas Encik Lee.
Beliau mengakui terdapat beberapa kajian yang mengaitkan hukuman rotan yang kerap dan tidak terkawal di rumah membawa kesan negatif, namun, konteks sekolah jauh berbeza.
Menurutnya, hukuman rotan bukanlah kaedah baru, sebaliknya merupakan sebahagian daripada rangka kerja disiplin yang memberi “kepastian akibatnya” bagi tindakan salah laku.
“Jika ia dilaksanakan, ia tidak akan diberikan secara berasingan. Ia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada langkah pemulihan dan disiplin,” kata Encik Lee.
“Sekolah akan memantau kesejahteraan dan kemajuan pelajar berkenaan selepas hukuman rotan dan menasihati pelajar itu agar mengambil iktibar, sambil menyokong pemulihannya,” ujar beliau.
“Pendekatan ini berdasarkan kajian yang menunjukkan kanak-kanak dan belia belajar membuat pilihan yang lebih baik apabila terdapat batasan jelas, ditambah dengan akibat yang tegas dan bermakna,” katanya.
Beliau menambah, kaedah itu mempunyai “kesan positif” dalam mengurangkan masalah buli dan membantu masyarakat sekolah berasa selamat, agar dapat belajar dalam persekitaran yang teratur.
Secara keseluruhan, AP di kedua-dua belah Dewan Parlimen mengemukakan 43 soalan bertulis dan lisan mengenai isu buli, menyusuli langkah antibuli baharu yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (MOE) pada 15 April.
Bagi memberi ruang kepada soalan AP mengenai isu buli dijawab, Timbalan Ketua Dewan, Encik Zaqy Mohamad, memohon masa tambahan untuk sesi soal jawab, yang kemudian dilanjutkan kira-kira 15 minit.
Encik Lee meluangkan masa selama 50 minit untuk menjawab pertanyaan mengenai topik tersebut.
Selain mempersoalkan keberkesanan hukuman rotan dalam mengurangkan kesalahan berulang dan kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan mental, para AP turut menuntut ketelusan tentang bagaimana langkah akan diseragamkan di sekolah serta penyelidikan yang menyokongnya.
Mereka juga membangkitkan kebimbangan tentang perlindungan untuk pelajar berkeperluan khas, dan bagaimana tindakan yang bersifat mendera boleh diselaraskan dengan matlamat MOE bagi budaya sekolah yang menekankan kesejahteraan.
Cadangan antibuli kementerian itu menyusuli semakan selama setahun melibatkan 2,000 orang daripada kalangan pihak berkepentingan, termasuk garis panduan disiplin yang diseragamkan di semua sekolah.
Ia termasuk penahanan di sekolah atau penggantungan pengajian, merotan dan menyesuaikan gred tingkah laku pelajar, serta saluran pelaporan baharu, komunikasi yang lebih pantas dengan ibu bapa dan pembiayaan untuk mendapatkan tenaga kerja tambahan bagi sekolah yang memerlukannya.
Bagi memastikan ketekalan, Encik Lee berkata semua sekolah dikehendaki membangunkan dasar antibuli mereka sendiri menjelang akhir 2026 berdasarkan garis panduan MOE yang terkini.
Menjawab soalan Encik Patrick Tay (Pioneer), Encik Yeo, dan Encik Darryl David (GRC Ang Mo Kio) tentang sebab hukuman rotan dikenakan terhadap kanak-kanak lelaki, Encik Lee berkata ia selaras dengan rangka kerja perundangan yang ditetapkan di bawah Peraturan Pendidikan (Sekolah).
Beliau menyatakan, meskipun kanak-kanak perempuan tidak dirotan, mereka berdepan pendekatan disiplin berperingkat – termasuk penahanan di sekolah, penggantungan pengajian, dan pelarasan gred kelakuan – bagi memastikan akibatnya seimbang dengan tahap kesalahan tersebut.
