Peristiwa agung Israk Mikraj yang disambut dalam bulan Rejab mengingatkan umat Islam tentang hubungan langsung antara hamba dengan Sang Pencipta, serta kedudukan solat sebagai ibadah teras dalam kehidupan seorang Muslim.
Perjalanan Rasulullah saw dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, sebelum dimikrajkan ke Sidratul Muntaha, bukan sekadar mukjizat, bahkan ujian keimanan yang membezakan antara mereka yang beriman dengan mereka yang ragu-ragu terhadap kebenaran risalah Islam.
Rejab juga merupakan antara bulan yang dimuliakan dalam Islam dan sering dianggap sebagai fasa persiapan rohani sebelum melangkah ke Ramadan.
Dalam suasana ini, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan ketaatan, menjauhi maksiat serta memperkukuhkan hubungan dengan Allah swt.
Peristiwa Israk Mikraj menjadi peringatan jelas bahawa solat difardukan secara langsung tanpa perantaraan, menandakan keistimewaannya sebagai tiang agama dan ukuran sebenar keimanan seseorang.
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, persiapan awal yang rapi merupakan unsur penting bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan ibadah sepanjang Ramadan dalam suasana yang tenang, teratur dan lebih bermakna.
Sehubungan itu, Masjid Ar-Raudhah juga bakal menganjurkan syarahan khas sempena malam Israk Mikraj bertajuk ‘Bila Iman Diuji, Solat Menjadi Bukti’. Syarahan ini akan disampaikan oleh Ustaz Ahmad Syarif Senewi, Ketua Dakwah Masjid Ar-Raudhah.
Acara ini akan berlangsung pada Jumaat, 16 Januari 2026, bermula 8.45 malam hingga 10.00 malam, bertempat di Dewan Solat Aras 1 dan 2, Masjid Ar-Raudhah, sejurus selepas solat isyak.
Melalui syarahan ini, jemaah akan dibimbing untuk memahami bagaimana ujian iman sering hadir dalam pelbagai bentuk, dan bagaimana solat berperanan sebagai bukti ketaatan serta sumber kekuatan rohani.
Penekanan turut diberikan kepada penghayatan solat sebagai amalan yang membentuk akhlak, ketenangan jiwa dan keteguhan prinsip, khususnya dalam menghadapi cabaran kehidupan moden yang semakin mencabar.
Pada masa sama, Masjid Ar-Raudhah turut mengadakan Promosi Dana Peningkatan Masjid sebagai satu daya usaha berterusan bagi menyokong usaha penambahbaikan prasarana serta kemudahan demi keselesaan jemaah.
Dana yang dikumpulkan akan dimanfaatkan bagi menaik taraf ruang ibadah, memperbaiki kemudahan sokongan, serta menyokong pelaksanaan pelbagai program dakwah, pendidikan dan kemasyarakatan yang dirancang.
Usaha ini juga bertujuan memastikan masjid terus berfungsi secara berkesan sebagai pusat ibadah dan masyarakat yang inklusif, selesa dan mampan. Dalam usaha merealisasikan matlamat ini, sokongan serta sumbangan daripada masyarakat amat diperlukan bagi merealisasikan usaha penambahbaikan ini secara berperingkat dan berkesinambungan.
“Masjid Ar-Raudhah mengajak seluruh masyarakat agar memanfaatkan keberkatan bulan Rejab dan malam Israk Mikraj dengan menghadiri majlis ilmu ini, selain memperbaiki hubungan dengan Allah swt melalui solat, serta menyumbang ke arah pembangunan rumah Allah.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuhkan institusi masjid, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab bersama dalam memelihara masjid sebagai nadi ummah,” jelas Encik Zuraimi.
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp kepada talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan kirimkan ke masjid di alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg