Pelaburan bagi projek-projek hijau Asia yang selama ini sukar mendapat pembiayaan kini dijangka melonjak, setelah inisiatif kewangan iklim Singapura mengumumkan pusingan pembiayaan baharu.

Usaha ini telah menambah jumlah dana kepada AS$800 juta ($1.02 bilion).

Tonggak pelaburan hijau, di bawah inisiatif tiga tahun yang diberi nama Financing Asia’s Transition Partnership (Membiayai Perkongsian Peralihan Asia, Fast-P), berjaya mencapai sasaran kutipan dana kedua, melepasi AS$510 juta pada akhir 2025.

Pencapaian pembiayaan itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara dan Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat, pada 20 Mei dalam Persidangan Pembiayaan Peralihan Asia.

Persidangan itu adalah sebahagian daripada Ecosperity, sidang kemuncak kemampanan utama Temasek, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.

Dana awal AS$510 juta, seperti dilaporkan pada 2025, akan digunakan untuk memacu projek suria dan penyimpanan bateri, kenderaan elektrik, dan satu skim yang menukar sisa pertanian menjadi tenaga elektrik di Asia Tenggara serta Asia Selatan.

Pembiayaan ini turut menjangkau projek biotenaga di beberapa negara di Asia Tenggara, di mana sisa pertanian akan menggantikan bahan api fosil pencemar, demi menjana bekalan elektrik yang lebih bersih.

Dalam perkembangan terbaru, Encik Chee turut mendedahkan bahawa satu perempat daripada pembiayaan awal AS$510 juta itu sudah pun diperuntukkan kepada empat projek prasarana mampan di Asia Tenggara, walaupun butiran lanjut tidak dinyatakan. 

Projek sedemikian tidak mudah disokong oleh pemberi pinjaman komersial kerana pelabur kurang biasa dengan perkara seperti itu. Jurang pembiayaan paling ketara pada fasa pembangunan dan pembinaan projek.

Menurut Forum Ekonomi Sedunia (WEF), projek tenaga boleh diperbaharui di peringkat awal dan prasarana pengecasan kenderaan elektrik berhadapan dengan kos modal yang tinggi.

Projek tenaga boleh diperbaharui juga berisiko apabila terdapat ketidaktentuan dalam kontrak dengan pembeli elektrik, yang menjejaskan aliran tunai.

Inisiatif FAST-P yang disokong MAS itu ditubuhkan pada 2023 untuk menyalurkan pembiayaan secara inovatif kepada projek hijau yang sukar mendapat sokongan kewangan daripada sektor swasta. 

Inisiatif itu bertujuan menyatukan modal daripada sumber awam, swasta dan dermawan untuk membantu membiayai usaha penyahkarbonan Asia, dengan sasaran untuk akhirnya mengumpul sehingga AS$5 bilion.

Pada 2024, pemerintah Singapura berjanji menyumbang sehingga AS$500 juta kepada FAST-P dalam bentuk pembiayaan konsesi, seperti geran dan pinjaman yang diberikan dengan syarat yang lebih menguntungkan dan pada kadar di bawah pasaran.

Jenis pembiayaan inovatif ini, dikenali sebagai pembiayaan bercampur, lazimnya dimulakan dengan suntikan modal daripada sumber awam atau dermawan sebagai pemangkin utama.

Pendekatan ini kemudiannya merangsang penyertaan sektor swasta, yang meskipun menguasai majoriti kekayaan global, sering kali bersikap waspada terhadap risiko pelaburan dalam projek kemampanan.

Modal konsesi bagi tonggak pelaburan hijau disalurkan daripada entiti terkemuka seperti Temasek, Export Finance Australia (agensi di bawah pemerintah Australia), dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa, di bawah Kumpulan Bank Dunia.

Encik Chee turut menyatakan bahawa tonggak ini telah berjaya menarik dua pemain swasta baharu: DBS Bank dan Cathay United Bank.

Selain tonggak pelaburan hijau, FAST-P turut didukung oleh dua tonggak strategik yang lain.

Tonggak kedua memfokuskan kepada peralihan tenaga, bermatlamat membantu negara-negara beralih daripada loji arang batu kepada sumber tenaga boleh diperbaharui, disokong oleh teknologi penyimpanan bateri dan prasarana grid yang moden. Tonggak ini kini mempunyai DBS dan Kumpulan Pembangunan Prasarana Swasta – yang menggerakkan pelaburan swasta – sebagai rakan kongsi baharu, kata Encik Chee.

Manakala tonggak ketiga diwujudkan untuk menyahkarbonkan sektor yang intensif pelepasan karbonnya, seperti pengeluaran simen dan keluli, ke arah penyahkarbonan serta menyokong pembangunan teknologi penyingkiran karbon.