Topik diikuti
Pergi ke BHkuInfak penapis air diiktiraf WHO ke Gaza dan negara memerlukan
Infak penapis air diiktiraf WHO ke Gaza dan negara memerlukan
Infak penapis air diiktiraf WHO ke Gaza dan negara memerlukan
Mendapatkan bekalan air bersih bukan mudah bagi sebahagian penduduk dunia.
Antaranya disebabkan faktor ilmu alam negara yang menyebabkan ketandusan air, bekalan air yang kebersihannya meragukan, ataupun terputus bekalan air langsung akibat dilanda peperangan.
Firma Muhd Zuhaili Services (MZ Services) telah mengambil langkah dengan membantu membekalkan alat penapisan air.
Pengasas MZ Services yang juga Pengerusi Liga Belia Islam Antarabangsa Asia ( IIYL), Encik Muhammad Zuhaili Sabudin, berkata:
“Selaku pengerusi IIYL, saya telah bekerja rapat dengan pelbagai agensi dan NGO di beberapa negara luar untuk menghasilkan sebuah alat penapisan dan pembersihan air.
“Alat ini akan kami edarkan ke kawasan-kawasan yang memerlukan bekalan air bersih.”
Atas usaha Encik Zuhaili, warga Singapura, bersama teman-teman di IIYL, alat penapisan dan pembersihan air itu mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Apa yang menarik, alat itu tidak memerlukan kuasa bateri atau elektrik untuk berfungsi. Ia dilengkapi keupayaan menapis dan membersihkan air tersendiri.
“Alhamdulillah, saya telah mengadakan pertemuan bersama Dr Mu’ammar Hilmi, wakil Kedutaan Palestin di Jakarta.
“Perbincangan kami tertumpu dalam usaha memastikan penapis air yang telah diusahakan dapat memasuki Gaza secara aman.
“Kami yakin dengan usaha ini. Apatah lagi, alat penapis dan pembersihan air kami mendapat pengiktirafan WHO,” jelas Encik Zuhaili.
Malangnya, tujuan murni untuk membekalkan alat tersebut ke Palestin pada 2025 tergendala.
“Ia berpunca daripada pelbagai sekatan yang dikenakan oleh Israel. Oleh itu, alat-alat tersebut terpaksa diletakkan di Jordan.
“Insya-Allah, kami akan terus berusaha dan berikhtiar sedaya upaya demi memastikan rakyat Palestin di Gaza mendapat alat penapis ini untuk bekalan air bersih. Semoga Allah swt mempermudahkan segala usaha kami,” tambahnya.
Tumpuan Encik Zuhaili selanjutnya ialah mengedarkan alat penapisan air itu kepada penduduk pedalaman di Kemboja, Indonesia dan Afrika.
SEKILAS:
+ Bagi anda yang ingin menyertai projek ini, boleh menginfak $160 bagi setiap alat penapisan air. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Muhd Zuhaili Services, di talian 8491-8085.
