Ibu tiri pemilik burung kakak tua dipenjara kerana zalim terhadap binatang
Ibu tiri pemilik burung kakak tua dipenjara kerana zalim terhadap binatang
Aug 1, 2018 | 4:46 PM
DIPENJARA: Tran Thi Thuy Hang membuka sangkar burung kakak tua milik anak tirinya dan memukulnya menggunakan buluh jemuran sehingga ia mati sebelum membuangnya ke dalam tong sampah. - Foto WONG KWAI CHOW
NAMANYA Lucky ('bertuah' dalam bahasa Melayu) tetapi burung kakak tua itu tidak bernasib baik selepas ia mematuk muka ibu tiri pemiliknya.
Akibatnya, ibu tiri pemiliknya, Tran Thi Thuy Hang, membuka sangkarnya dan memukulnya menggunakan buluh jemuran sehingga ia mati sebelum membuangnya dalam tong sampah.
Penduduk Tetap (PR) Singapura asal Vietnam berusia 38 tahun itu dijatuhi hukuman penjara empat minggu hari ini (1 Ogos) selepas mengaku bersalah mendera Lucky bulan lalu, menurut akhbar The Straits Times.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Adam Nakhoda menyifatkan perbuatan Tran sebagai kejam, terancang dan sengaja.

