Topik diikuti
Pergi ke BHkuHujan lebat, cuaca panas dijangka bergilir sepanjang separuh kedua Jul
Hujan lebat, cuaca panas dijangka bergilir sepanjang separuh kedua Jul
Hujan lebat, cuaca panas dijangka bergilir sepanjang separuh kedua Jul
Hujan lebat beserta guruh yang singkat dijangka melanda beberapa kawasan di Singapura dari lewat pagi hingga petang pada kebanyakan hari sepanjang separuh kedua Julai.
Hujan sederhana hingga lebat beserta guruh secara meluas mungkin berlaku pada satu atau dua hari, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam nasihat cuaca dwimingguannya pada 16 Julai.
Suhu pada waktu siang juga boleh melebihi 34 darjah Celsius pada beberapa hari, manakala sesetengah malam dijangka kekal panas.
Keadaan monsun barat daya dijangka berterusan di Singapura dan kawasan sekitarnya, dengan angin paras rendah bertiup dari arah tenggara atau barat daya pada kebanyakan hari.
Menurut MSS, pertembungan angin pada skala besar di Singapura dan kawasan sekitarnya, serta badai Sumatera, boleh membawa hujan beserta guruh di seluruh pulau, serta angin kencang pada waktu sebelum subuh dan awal pagi pada satu atau dua hari.
Kadar hujan diramalkan menghampiri paras purata di kebanyakan kawasan pulau ini, kata MSS.
Suhu tertinggi harian dijangka antara 33 dengan 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari, dan boleh sedikit melebihi 34 darjah Celsius apabila litupan awan berkurangan.
Suhu dijangka kekal melebihi 28 darjah Celsius pada beberapa malam, khususnya di kawasan pesisir selatan dan timur yang dijangka panas dan lembap.
Mengulas cuaca pada separuh pertama Julai, MSS berkata hujan beserta guruh yang singkat dijangka melanda beberapa kawasan antara lewat pagi dengan petang pada kebanyakan hari.
Pada 7 Julai, hujan sederhana hingga lebat beserta guruh telah melanda banyak kawasan Singapura pada waktu pagi hingga awal petang.
Jurong West merekodkan kadar hujan harian tertinggi bagi separuh pertama Julai, iaitu 125.5 milimeter, pada hari itu.
Kadar hujan berada di bawah purata di kebanyakan kawasan Singapura sepanjang dua minggu itu.
Kawasan sekitar Sentosa mencatatkan kadar hujan sebanyak 80 peratus di bawah purata, manakala kawasan sekitar Jurong West merekodkan kadar hujan 108 peratus melebihi purata.
Suhu tertinggi harian berada antara 32 dengan 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari pada tempoh ini.
Bagaimanapun, suhu mencecah 34 darjah Celsius atau lebih pada tiga hari, dengan bacaan tertinggi 34.4 darjah Celsius direkodkan di Sembawang pada 4 Julai dan di Scotts Road pada 15 Julai.
Pada Mei, MSS dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata risiko Singapura dilanda jerebu dari Jun hingga Oktober naik berikutan fenomena El Niño dijangka berlaku serentak dengan fenomena Lautan Hindi Dwikutub (IOD), fenomena iklim akibat perubahan suhu permukaan laut di Lautan Hindi yang boleh mempengaruhi corak hujan dan cuaca serantau.
Keadaan cuaca yang lebih panas dan kering juga dijangka berlaku akibat kedua-dua fenomena iklim itu.
“Dengan El Niño yang dijangka berlaku serta kemungkinan IOD positif, musim kering tahun ini (2026) mungkin lebih teruk dan berpanjangan berbanding tahun-tahun kebelakangan ini, malah boleh berlanjutan hingga Oktober,” jelas kedua-dua pihak berkuasa itu.