Topik diikuti
Pergi ke BHkuHome Team bakal lancar satelit pertama pada 2029
Home Team bakal lancar satelit pertama pada 2029
Satelit ‘Xplorer’ berfungsi kesan gas berbahaya
Home Team bakal lancar satelit pertama pada 2029
Pasukan Home Team bakal membangunkan satelit pertamanya yang dijadualkan untuk pelancaran ke angkasa lepas pada 2029.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, mengumumkan pada 28 April bahawa satelit berkod nama Xplorer itu berfungsi mengesan kepulan gas berbahaya.
Ia membolehkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bertindak lebih pantas dalam keadaan kecemasan.
Satelit seberat sekitar 100 kilogram itu akan diletakkan di orbit berhampiran khatulistiwa, dilengkapi sensor untuk mengesan gas seperti ammonia.
Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) bekerjasama dengan Agensi Angkasa Nasional Singapura (NSAS) bagi meneroka aplikasi teknologi angkasa untuk memperkukuh keselamatan awam, jelas Encik Shanmugam.
Di samping itu, HTX menjalin kerjasama dengan syarikat seperti Nvidia dan Mistral AI dari Perancis, untuk membangunkan sistem kecerdasan buatan (AI) bagi Home Team.
HTX juga akan menubuhkan Pusat Robotik Humanoid Home Team untuk melatih robot berbentuk manusia.
Encik Shanmugam menyampaikan ucapan semasa perasmian Sidang Kemuncak TechX Milipol (MTX) 2026, yang diadakan dari 28 hingga 30 April di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
Acara itu dijangka menarik sekitar 15,000 pengunjung, termasuk 3,000 wakil berprofil tinggi dari 89 negara, termasuk Brunei, Perancis dan Qatar.
Sidang kemuncak itu merupakan anjuran bersama antara HTX, Civipol, TechX Ventures dengan syarikat acara, Comexposium yang disokong oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura, serta Kementerian Dalam Negeri Perancis.
Menurut Encik Shanmugam, kancah geopolitik telah mengubah landskap teknologi sejagat, menyebabkan banyak negara kini berhadapan dengan serangan siber yang kian canggih.
“Rantaian bekalan disusun semula dengan pantas.
“Kini berlaku pengasingan antara perkakasan, perisian dengan ekosistem.
“Keadaan ini menimbulkan ‘pergeseran’ dalam kaedah sesebuah negara memperoleh, menyepadukan dan menggerakkan penggunaan teknologi.
“Teknologi juga kini dipergunakan sebagai senjata untuk mencipta bentuk serangan baharu,” ujar Encik Shanmugam, merujuk kepada model AI tercanggih yang wujud hari ini.
Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura telah mengeluarkan panduan pada 15 April mengenai bahaya model AI ini, yang berupaya mengenal pasti kelemahan dan menggodam sistem sejurus dilancarkan.
Encik Shanmugam menjelaskan teknologi itu akan memendekkan jurang masa antara pengesanan kelemahan dengan eksploitasi dari berbulan-bulan kepada hanya beberapa jam, lantas menyukarkan pihak pertahanan untuk bertindak balas.
Pendekatan Singapura, tambah Encik Shanmugam, adalah dengan memastikan Home Team mengguna pakai AI secara meluas dan penuh tanggungjawab.
Namun, keupayaan AI yang mantap memerlukan setiap negara membangunkan prasarana miliknya sendiri.
Justeru, HTX bekerjasama dengan ST Engineering, Google, Nvidia, dan Nutanix bagi membina NGINE, prasarana AI MHA nasional yang dikuasakan oleh unit pemprosesan grafik (GPU).
Pada Mac lalu, HTX telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Nvidia untuk membangunkan versi NGINE yang lebih canggih pada masa hadapan, ujar Encik Shanmugam.
HTX turut bekerjasama dengan Mistral AI untuk melatih siri model bahasa besar (LLM) mereka sendiri yang diberi nama, Phoenix.
Encik Shanmugam berkata Phoenix Small (versi kecil) kini sudah digunakan oleh para pegawai untuk mengendalikan maklumat kompleks dalam persekitaran yang selamat.
Manakala pada minggu ini, HTX bakal melancarkan Phoenix Medium (versi sederhana) yang berupaya menganalisis imej serta dokumen, selain boleh disesuaikan untuk tugasan lebih mencabar.
Bagi memacu perkembangan itu dengan lebih jauh, HTX akan menandatangani perkongsian strategik inovasi bersama Mistral AI.
“
“Kini berlaku pengasingan antara perkakasan, perisian dengan ekosistem. Keadaan ini menimbulkan ‘pergeseran’ dalam kaedah sesebuah negara memperoleh, menyepadukan dan menggerakkan penggunaan teknologi.”