Hanya 13% sampah dikitar semula tahun lalu
KADAR kitaran semula domestik Singapura kekal pada 13 peratus tahun lalu - tidak berubah daripada perangkaan 2020, iaitu paras terendah dalam 10 tahun.
Ini meskipun isi rumah menghasilkan lebih banyak sisa sedang kegiatan ekonomi disambung semula selepas tahun pertama pandemik Covid-19.
Perangkaan sisa dan kitaran semula tahunan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang dikeluarkan semalam menunjukkan isi rumah menjana 1.82 juta tan sisa tahun lalu, naik daripada 1.77 juta tan pada 2020.
Untuk kedua-dua tahun itu, hanya 13 peratus sisa domestik dikitar semula. Antara 2017 dengan 2019, kadar kitaran semula domestik adalah antara 17 peratus dengan 22 peratus.
Pada 2020, pengumpulan barang boleh dikitar semula daripada sektor domestik ditangguhkan, dan dimulakan semula secara bertahap hanya dari suku ketiga tahun itu.
Tahun lalu, NEA berkata penjanaan sisa dan corak kitaran semula 2020 "tidak kemungkinan diulangi pada 2021" sedang kesan pandemik Covid-19 berkurangan secara bertahap.
Di bawah Pelan Induk Singapura Berdaya Kekal, Singapura mahu meningkatkan kadar kitaran semula itu kepada 30 peratus menjelang 2030.
NEA menggalakkan rakyat Singapura bukan hanya untuk mengitar semula lebih banyak barang, namun juga mengitar semula barang dalam cara yang betul.
Namun, kadar pencemaran dalam tong kitaran semula biru yang diletakkan di estet perumahan kekal tinggi, kata agensi itu.
"Sekitar 40 peratus kandungan dalam tong kitaran semula biru tidak boleh dikitar semula disebabkan pencemaran, sebahagian besarnya daripada sisa makanan dan cecair, dan juga e-sisa dan styrofoam.
"Isi rumah juga membuang barang seperti pakaian dan mainan, yang tidak harus diletakkan di dalam tong biru tersebut, namun sebaliknya didermakan jika ia dalam keadaan baik," kata NEA.
Dalam usaha membantu isi rumah memahami cara mengitar semula barang dengan betul, NEA telah melancarkan kempen Recycle Right, dan membangunkan kandungan pendidikan dan mesra pengguna untuk mendorong orang ramai memupuk tabiat mengitar semula yang baik.
Contohnya, NEA telah melancarkan laman www.go.gov.sg/recycleright untuk membantu orang awam mengenal pasti barang yang boleh dikitar semula dalam tong kitaran semula biru melalui portal enjin carian.
Secara keseluruhannya, kadar kitaran semula Singapura naik daripada 52 peratus pada 2020 kepada 55 peratus tahun lalu.
Daripada sekitar 6.94 juta tan sisa pepejal yang dijana tahun lalu, 3.83 juta tan dikitar semula.
Oleh kerana lebih banyak kegiatan ekonomi dan sosial yang disambung semula tahun lalu, jumlah sisa yang dibuang tahun lalu adalah 10 peratus lebih tinggi berbanding 2020, manakala jumlah sisa yang dikitar semula 26 peratus lebih tinggi.
Namun, berbanding tempoh sebelum pandemik pada 2019, jumlah sisa yang dikitar semula adalah 11 peratus lebih rendah tahun lalu manakala jumlah sisa yang dibuang pula 5 peratus lebih tinggi.
"Disebabkan kegiatan binaan dan permintaan pasaran eksport bagi barang dikitar semula lebih rendah pada 2021, jumlah sisa yang dikitar semula lebih rendah berbanding paras sebelum Covid-19, terutamanya bagi aliran sisa seperti binaan dan kerja pemusnahan, kayu dan logam tidak mengandungi besi," jelas NEA.
Kadar kitaran semula sisa plastik meningkat daripada 4 peratus pada 2020 kepada 6 peratus tahun lalu.
Sementara itu, kadar kitaran semula bagi sisa hortikultur pula meningkat daripada 80 peratus kepada 83 peratus manakala sisa kayu pula naik daripada 64 peratus kepada 76 peratus.
Kadar kitaran semula bagi kertas/kadbod juga naik sedikit daripada 38 peratus pada 2020 kepada 39 peratus tahun lalu, namun ia kekal di bawah 44 peratus yang dicatatkan pada 2019.

