
HAMPIR separuh daripada lebih 1,000 rakyat Singapura yang ditinjau secara peribadi telah mengalami gangguan dalam talian, sebahagian besarnya berusia 15 hingga 35 tahun, demikian menurut satu tinjauan.
Gangguan dalam talian itu termasuk dihendap secara maya dan dibuli melalui siber, serta berkawan dengan orang yang menggunakan identiti palsu.
Tetapi, kira-kira 43 peratus daripada mereka berkata mereka tidak akan mengambil tindakan terhadap bahaya dalam talian itu kerana beranggapan tindakan itu tidak akan membawa sebarang perubahan.
Demikian antara dapatan tinjauan dalam talian yang dijalankan Sunlight Alliance for Action (AfA), satu gabungan rentas sektor yang menangani bahaya dalam talian, dan dikongsi felo penyelidik kanan di Institut Kajian Dasar (IPS), Dr Chew Han Ei, kelmarin.
Namun, tidak mengambil tindakan untuk melaporkan penjenayah akan menambahkan lagi bahaya yang ditimbulkan, kata beberapa penceramah di satu webinar mengenai bahaya dalam talian yang dialami golongan muda.
Panel itu menampilkan wakil daripada ahli akademik, pelajar, serta industri perundangan dan teknologi, lapor The Straits Times (ST).
"Orang ramai memainkan peranan amat penting dari segi menyokong orang yang mungkin mengalami gangguan dalam talian, terutamanya dalam wadah awam seperti Instagram," kata pakar komunikasi dan teknologi, Profesor Lim Sun Sun, dari Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
"Menghadapi secara terbuka pengganggu anda, orang yang memberi tekanan kepada anda (dan) yang menyebabkan gangguan - itu sebenarnya memberi mangsa rasa kekuatan, rasa pengesahan bahawa mereka tidak bersendirian di dunia ini," tambahnya.
Memberi contoh ugutan penyanyi rap Kanye West terhadap personaliti media Kim Kardashian selepas perceraian mereka, Profesor Lim berkata amat "terganggu" melihat ramai peminat membuat komen di Instagram yang menggalak penyanyi itu membuli siber bekas isterinya.
Galakan dan sokongan kepada tingkah laku bahaya menetapkan satu norma bahaya bagi bakal penjenayah masa depan untuk terus mendatangkan bahaya kepada mangsa mereka, Profesor Lim memberi amaran.
Melaporkan tingkah laku bahaya dalam talian kepada syarikat teknologi juga akan membantu memperhalusi algoritma pada platform media sosial untuk mengesan kejadian serupa, katanya.
Dalam pembentangan tinjauannya, Dr Chew memerhatikan amat "membimbangkan" bahawa kira-kira 57 peratus responden tidak mengetahui atau hanya mengetahui sedikit cara dan dari mana untuk mendapatkan bantuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg