Golongan dewasa yang didapati melakukan komunikasi seksual dengan individu bawah umur dan berjumpa dengan mereka boleh berdepan tuduhan pengantunan seksual (sexual grooming), yang membawa hukuman sebat dan penjara.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) serta Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) berkata mereka sedar tentang penggunaan bot ‘Leomatch’ di platform Telegram oleh golongan muda, serta risiko ia disalahgunakan oleh pihak berniat jahat.

Demikian menurut MHA dan MDDI dalam respons bersama kepada pertanyaan The Straits Times (ST) mengenai bot tersebut.

“Kami memandang serius perkara ini, dan pemerintah telah melaksanakan beberapa langkah untuk menangani isu pengantunan atau eksploitasi dalam talian,” tegas mereka.

Pesalah berusia 18 tahun ke atas yang disabit kesalahan pengantunan seksual boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan melakukan komunikasi seksual dengan individu bawah umur, pesalah boleh dipenjara antara dua dengan tiga tahun dan didenda, bergantung kepada usia mangsa.

Kebimbangan terhadap keselamatan bot tersebut timbul selepas tiga lelaki dihadapkan ke mahkamah kerana menggunakannya untuk ‘memancing’ mangsa bawah umur.

Dalam satu kes pada Februari, seorang lelaki berusia 25 tahun dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan selepas memperdaya dua kanak-kanak perempuan untuk melakukan hubungan seks dengannya, dengan menyamar sebagai pelajar berusia 15 tahun dari Sekolah Sukan Singapura.

Satu lagi kes membabitkan seorang lelaki berusia 31 tahun yang didiagnosis dengan gangguan fidofilia.

Dia cuba memperdaya seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang ditemuinya melalui bot tersebut untuk melakukan hubungan seks dengannya.

Tinjauan oleh ST mendapati bahawa bot Leomatch masih boleh diakses oleh pengguna Telegram.

Peguam dan kaunselor sebelum ini berkata bahawa mereka sedar tentang peningkatan bilangan kes melibatkan individu yang bertemu pasangan seksual dan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun melalui bot ‘dating’ tersebut.

Kaunselor Jason Woolley dari Counselling Perspective berkata, kanak-kanak yang kurang terlibat secara sosial di sekolah atau di rumah mungkin tertarik kepada platform sedemikian yang menawarkan peluang untuk menjalin hubungan dan mendapatkan perhatian.

Tambah beliau, golongan muda mungkin masih dalam proses membina keupayaan untuk mengesan manipulasi, sesuatu perkara yang boleh dieksploitasi pelaku.

MHA dan MDDI berkata pihak berkuasa boleh mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan dalam talian seperti Telegram di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) jika disyaki memudahkan kesalahan jenayah.

Arahan di bawah Ocha menyekat pengguna di Singapura daripada berinteraksi dengan akaun atau kandungan yang melanggar undang-undang.

Kementerian tersebut turut menyatakan bahawa mangsa ancaman dalam talian, pengintaian siber, atau penderaan kanak-kanak berasaskan imej boleh melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) yang bakal ditubuhkan menjelang akhir Jun.

Suruhanjaya tersebut mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada penghubung, pentadbir, atau platform untuk menangani bahaya dalam talian, seperti memadam kandungan yang membahayakan.

Ibu bapa dan penjaga boleh membuat laporan bagi pihak mangsa yang berusia bawah 18 tahun.

Pihak kementerian menggesa pengguna untuk melaporkan kandungan tidak sesuai secara terus kepada Telegram melalui fungsi pelaporan dalam aplikasi tersebut.

“Ini membolehkan platform tersebut menyemak kandungan dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu. Orang ramai juga harus melaporkan sebarang kesalahan jenayah disyaki kepada polis,” kata MHA dan MDDI.