Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrab, EnterpriseSG lancar program bantu peniaga F&B kecil
Grab, EnterpriseSG lancar program bantu peniaga F&B kecil
Bertujuan tingkat permintaan bagi khidmat makan di premis dan penghantaran, perkukuh keupayaan digital
Grab, EnterpriseSG lancar program bantu peniaga F&B kecil
Grab dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) melancarkan program strategik untuk memperkasa peniaga kecil sektor makanan dan minuman (F&B).
Daya usaha itu bertujuan melonjakkan permintaan bagi khidmat makan di premis serta penghantaran, di samping membantu pengusaha membina asas digital yang lebih kukuh.
Diumumkan pada 9 Jun, program ‘Grab Full House Mission’ hadir tepat pada masanya, ketika pengusaha F&B kecil berdepan cabaran kos operasi yang melonjak serta persaingan sengit dalam saluran perniagaan sedia ada.
Kekangan sumber sering kali menjadi penghalang, menyukarkan mereka untuk terus melabur dalam alat digital atau strategi kreatif demi menjana permintaan pelanggan.
Laporan ‘Singapore Asia Food and Grocery Trends Report 2023’, mendedahkan perubahan trend pengguna – wadah penghantaran kini bukan sekadar memesan makanan, malah menjadi gerbang utama bagi mereka meneroka pilihan tempat makan di luar.
Data menunjukkan 84 peratus pengguna menggunakan Grab untuk mencari restoran baharu, manakala 61 peratus melayari aplikasi itu tanpa memilih kedai tertentu.
Bagi Pengarah Urusan, Grab Singapura, Encik Alejandro Osorio, program itu melangkaui sekadar memenuhi pesanan.
“Tumpuan kami adalah membina keterlihatan, kemahiran dan daya tahan agar peniaga mampu berkembang secara mampan,” jelas beliau.
Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, yang menyampaikan ucaptama semasa pelancaran program tersebut berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan EnterpriseSG dan pemerintah terhadap sektor F&B.
Melalui inisiatif itu, sokongan praktikal akan diberikan untuk memperkukuh keterlihatan perniagaan serta permintaan pelanggan, bagi kedua-dua khidmat makan di premis mahupun penghantaran makanan.
Melalui kempen kawasan, Dine Out, perniagaan di sekitar kejiranan disasarkan untuk menarik lebih ramai pelanggan menerusi promosi eksklusif bagi pengguna Grab.
Pelanggan kini boleh menikmati diskaun sehingga 15 peratus apabila menjamu selera di premis yang terlibat.
Dibangunkan dengan kerjasama EnterpriseSG, kempen perintis itu telah bermula di Tanjong Pagar sejak 26 Mei dan akan berlangsung sehingga 25 Julai.
Inisiatif serupa juga bakal diperkenalkan di Holland Village dan Jalan Besar menjelang hujung 2026.
Dalam ucapannya, Cik Low menekankan kepentingan usaha itu:
“Inisiatif ini melengkapkan strategi berterusan EnterpriseSG untuk mentransformasikan kawasan seperti Tanjong Pagar menjadi destinasi gaya hidup yang unik, sekali gus menawarkan pengalaman menjamu selera yang istimewa buat rakyat tempatan dan pelancong.”
Perniagaan F&B kecil yang memanfaatkan platform GrabFood juga akan dibantu mengukuhkan penguasaan pasaran penghantaran makanan mereka.
Sebagai nilai tambah, pelanggan bakal menikmati diskaun sehingga 15 peratus bagi pesanan daripada peniaga yang terlibat.
Di bawah komponen kedua program yang memberi tumpuan kepada pengukuhan operasi dan pendigitalan, empat bengkel atau kelas induk akan dianjurkan setiap tahun oleh GrabAcademy, hasil kerjasama strategik dengan EnterpriseSG dan SkillsFuture Singapura.
Menerusi sesi itu, para peniaga akan menerima bimbingan amali untuk meningkatkan daya penghasilan, merangka strategi promosi berkesan, serta memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memacu pertumbuhan perniagaan.
