Topik diikuti
Pergi ke BHkuGanjaran sedekah Jumaat, akhir Hijrah bersama TAA
Ganjaran sedekah Jumaat, akhir Hijrah bersama TAA
Ganjaran sedekah Jumaat, akhir Hijrah bersama TAA
Selama lebih 30 tahun Tabung Amal Aidilfitri (TAA) menjadi sinar harapan buat keluarga dan individu yang menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Melalui sokongan masyarakat yang prihatin, TAA terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, meringankan beban mereka serta membuka ruang untuk membina kehidupan lebih baik.
Bergelut Penuhi Keperluan Asas
Namun, cabaran yang dihadapi masyarakat semakin meningkat.
Kenaikan kos sara hidup dan inflasi meninggalkan kesan besar ke atas banyak keluarga.
Harga makanan, bil elektrik dan air, kos pengangkutan dan harga keperluan harian terus meningkat, menyebabkan ramai orang bergelut untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Keadaan ini lebih mencabar bagi ibu atau bapa tunggal, warga emas hidup sendirian dan keluarga berpendapatan rendah.
Seiring peningkatan keperluan harian, permintaan bagi bantuan dan perkhidmatan TAA semakin bertambah dari hari ke hari.
Di sebalik setiap sumbangan yang diterima badan ini, terdapat kisah kehidupan yang berjaya disentuh dan dibantunya.
Ramai Penerima Manfaat Dibantu
Salah seorang penerima manfaat TAA ialah Cik Nurul Jamilah, 36 tahun, seorang ibu tunggal yang membesarkan tiga anak yang sedang meningkat dewasa.
Beliau berusaha keras untuk menyediakan keperluan harian keluarganya dan memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan baik.
Namun, tekanan kewangan yang semakin meningkat sering menjadi cabaran besar baginya.
Dengan bantuan yang disalurkan TAA, beban beliau dapat diringankan dan anak-anaknya dapat meneruskan persekolahan mereka dengan lebih yakin.
Seorang lagi penerima manfaat, Cik Asmah Asib, menghadapi pelbagai masalah kesihatan, termasuk kerapuhan tulang, kencing manis dan penyakit Parkinson.
Pada usia 89 tahun, pergerakannya juga terbatas dan beliau bergantung pada kerusi roda untuk menjalani kehidupan harian.
Bantuan TAA membantu memenuhi keperluan asasnya serta memberikan sedikit keselesaan dalam menghadapi cabaran usia dan kesihatan.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa setiap sumbangan yang diberi oleh orang ramai kepada TAA membawa kesan nyata kepada golongan memerlukan.
Rebut Bersedekah Jumaat Sebelum Tahun Baru Hijrah
TAA ingin mengingatkan bahawa kutipan tabung Jumaatnya hari ini, 12 Jun, mempunyai makna istimewa kerana ia jatuh pada hari terakhir tahun Hijrah 1447.
Ia peluang menutup tahun Hijrah 1447 dengan amalan sedekah dan kebajikan, sambil membantu mereka yang sedang menghadapi cabaran hidup.
“Sempena kedatangan tahun baru Hijrah 1448, TAA dengan penuh rendah hati mengajak masyarakat agar terus menyokong usaha kami, baik melalui sumbangan wang, mahupun tajaan atau penyebaran kesedaran tentang TAA.
“Setiap bantuan yang dihulurkan anda mampu membawa perubahan besar,” kata Pengurus TAA, Encik Muhammad Suhaimi Paat.
Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah berpanjangan dan diberkati Allah swt.
CARA MENDERMA KEPADA TAA:
+ Layari portal, www.TAA.sg untuk menghulurkan sumbangan anda.
+ Sumbangan $50 dan ke atas layak mendapat potongan cukai 250 peratus daripada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras).
+ Penderma boleh menderma melalui PayNow, perbankan Internet, cek atau kad kredit.
+ Ikuti perjalanan TAA dalam membantu insan memerlukan di Instagram: Taatrustfund; Facebook: TAA Trust Fund; atau YouTube: TAA Trust Fund.
