SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Forum ilmu Muslimah satukan masyarakat, sokong legasi Madrasah Al-Ma’arif

Forum ilmu Muslimah satukan masyarakat, sokong legasi Madrasah Al-Ma’arif

Apr 17, 2026 | 5:30 AM

Forum ilmu Muslimah satukan masyarakat, sokong legasi Madrasah Al-Ma’arif

Sebagai madrasah sepenuh masa khusus untuk pelajar perempuan di Singapura, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, menawarkan pendidikan Islam bersepadu daripada peringkat rendah hingga prauniversiti.
Sebagai madrasah sepenuh masa khusus untuk pelajar perempuan di Singapura, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, menawarkan pendidikan Islam bersepadu daripada peringkat rendah hingga prauniversiti. - Foto MADRASAH AL-MA’ARIF AL-ISLAMIAH

Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah akan menganjurkan forum agama khas untuk kaum Muslimah pada Sabtu, 16 Mei 2026, di Masjid Yusof Ishak.

Acara itu merupakan sebahagian daripada sambutan sempena ulang tahun ke-90 institusi tersebut yang bakal dirai pada September 2026.

Program tersebut mencerminkan iltizam berterusan madrasah dalam memperkukuh pembangunan ilmu serta peranan wanita dalam masyarakat Islam di Singapura.

Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif, Cik Siti Radhiyah Rahmat, forum itu bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan antara madrasah dengan masyarakat setempat serta menggalakkan penyertaan aktif Muslimah dalam usaha memperkasa pendidikan Islam.

“Forum ini diadakan khusus untuk Muslimah, dengan tujuan memberi ruang perkongsian ilmu yang lebih tertumpu dan mendalam selepas solat Isyak pada 8.45 malam.

“Kami berharap ia menjadi medan pengisian rohani yang bermanfaat serta menggalakkan lebih ramai wanita mendekati program keilmuan,” katanya.

Forum berkenaan akan menampilkan dua penceramah undangan, Ustazah Shameem Sultanah, dan Ustazah Hamidunnisah Mohd Hussein, bersama Ustazah Widadul Wahidah sebagai moderator.

Penganjur menjangkakan sesi tersebut akan memberi manfaat besar dari sudut penghayatan agama, pengukuhan jati diri Muslimah serta peranan wanita sebagai pendidik dalam keluarga dan masyarakat.

Beliau menambah, pihak penganjur sedang membuka ruang kepada penaja dan dermawan yang ingin menyumbang bagi menjayakan program tersebut, sama ada dalam bentuk sumbangan kewangan atau tajaan makanan dan minuman, tertakluk kepada perbincangan bersama pihak madrasah.

“Selain meraikan ulang tahun ke-90, kami juga berharap dapat mengumpul dana bagi membantu operasi harian madrasah serta menampung kos pembaikan dan penyelenggaraan yang diperlukan dari semasa ke semasa,” jelas Cik Siti Radhiyah.

Dengan pengalaman hampir satu abad mendidik generasi Muslimah, institusi itu terus komited melahirkan wanita berilmu, berakhlak dan berdaya saing yang mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.

Forum itu juga diharap menjadi antara wadah penting memperkukuh sokongan masyarakat terhadap kelangsungan legasi pendidikan tersebut menjelang sambutan bersejarah 90 tahun penubuhannya.

SEKILAS:

Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui PayNow ke UEN S36MM0001G, dengan harapan setiap sumbangan menjadi amal jariah yang berpanjangan, selagi madrasah ini terus berkhidmat kepada masyarakat.

Untuk pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi talian 6747-9835 atau e-mel kepada admin@almaarif.edu.sg.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg