Dr Muhammad Haziq Rohani pernah membayangkan dirinya mengembara ke seluruh dunia di dalam kabin pesawat, mengikut jejak langkah kedua-dua ibu bapanya yang merupakan bekas pramugara dan pramugari.

Kini, beliau masih bertemu insan daripada pelbagai latar belakang. Cuma bezanya pertemuan itu berlaku di wad hospital, di mana beberapa patah perkataan dalam bahasa yang biasa didengari pesakit mampu membuatkan mereka berasa lebih tenang.

Lulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menerima ijazahnya pada majlis konvokesyen di Auditorium Nanyang pada Sabtu, 25 Julai 2026.

Pemuda yang berusia 24 tahun itu, fasih bertutur dalam lebih daripada empat bahasa.

Beliau melihat komunikasi sebagai bahagian penting dalam proses rawatan.

Dengan bertutur dalam bahasa yang paling selesa bagi pesakit, beliau berharap dapat membina kepercayaan, menjelaskan rawatan dengan lebih jelas serta memastikan tiada sesiapa yang berasa terpinggir hanya kerana mereka sukar mencari perkataan sesuai untuk meluahkan keadaan diri.

Minat Dr Haziq terhadap bahasa sebenarnya telah lama berputik.

Sebelum memilih bidang perubatan, beliau pernah bercita-cita menjadi guru sejarah dan linguistik kerana percaya pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang.

Namun, apabila meneliti hala tuju masa depannya, beliau menyedari kerjaya sebagai doktor turut membolehkannya mendidik orang lain, di samping memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya sedar tugas doktor bukan sekadar merawat penyakit. Kita juga perlu mendidik pesakit supaya mereka faham apa yang sedang berlaku kepada diri mereka dan mengapa sesuatu rawatan itu perlu dilakukan,” katanya.

Sepanjang pengajiannya di sekolah perubatan tersebut, Dr Haziq mengambil inisiatif mempelajari bahasa Perancis, Jerman, Hindi dan Mandarin secara perbualan walaupun berdepan jadual pengajian padat.

Baginya, setiap bahasa yang dipelajari membuka peluang untuk memahami budaya dan cara hidup masyarakat berbeza, sekali gus membantunya menjadi doktor yang lebih peka terhadap keperluan pesakit.

Dr Haziq yang kini bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Khoo Teck Puat bersama keluarga; ibu, Cik Haniza Talib (kiri), ayah, Encik Rohani Ahmad (kanan) dan adik, Nurin Hazirah.
Dr Haziq yang kini bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Khoo Teck Puat bersama keluarga; ibu, Cik Haniza Talib (kiri), ayah, Encik Rohani Ahmad (kanan) dan adik, Nurin Hazirah. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kepercayaan itu diperkukuhkan ketika menjalani ‘attachment’ di sebuah poliklinik apabila beliau membantu menterjemah perbualan seorang pesakit warga emas Melayu yang berdepan kesukaran untuk berkomunikasi.

“Apabila seseorang dapat bercakap dalam bahasa yang mereka selesa, kita dapat lihat perubahan pada riak wajah dan cara mereka berinteraksi.

Mereka lebih yakin untuk berkongsi apa yang mereka rasa,” katanya.

Kini sebagai doktor pelatih di Hospital Khoo Teck Puat, Dr Haziq terus mengamalkan pendekatan sama, khususnya ketika berurusan dengan pesakit warga emas yang lebih selesa bertutur dalam bahasa Mandarin.

Beliau mengimbau seorang pesakit yang pada awalnya kelihatan marah dan kecewa kerana tidak memahami mengapa begitu banyak ujian perlu dijalankan.

Daripada sekadar memberikan jawapan ringkas, beliau meluangkan masa menerangkan satu per satu keputusan imbasan dan ujian darah pesakit itu.

“Selepas dia faham apa yang sedang berlaku, sikapnya terus berubah.

“Kadangkala pesakit bukan marah kerana rawatan yang diberikan, tetapi kerana mereka tidak memahami apa yang sedang berlaku kepada diri mereka,” katanya.

Walaupun berminat untuk melanjutkan kepakaran dalam bidang perubatan kecemasan atau pembedahan ortopedik, Dr Haziq berkata keutamaannya buat masa ini ialah berkhidmat kepada masyarakat di Singapura terlebih dahulu.

Dalam jangka panjang, beliau berharap dapat menyertai lebih banyak misi perubatan kemanusiaan, dengan membawa satu pegangan yang sentiasa dekat di hatinya bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi jambatan yang mampu menghubungkan manusia dengan rasa empati, kepercayaan dan harapan ketika mereka paling memerlukannya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti