Pasukan petugas antara agensi yang ditubuhkan untuk mengembangkan, mengekalkan dan mempromosikan perniagaan warisan, aktiviti tradisional serta kehidupan budaya di kawasan bersejarah Singapura kini sedang meneroka pelbagai cara untuk memperkukuh sokongan bagi perniagaan di sana.

Langkah ini bertujuan agar perniagaan dapat menyesuaikan diri, kekal berdaya tahan dan terus menjadi sebahagian daripada kisah Singapura, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

“Saya tahu bahawa perniagaan warisan menghadapi cabaran sebenar daripada pilihan pengguna yang berubah-ubah dan keadaan pasaran. Kami melihat perkara itu dan kami memandangnya dengan serius.

“Ini adalah perjalanan bersama, dan kami mengalu-alukan idea tentang bagaimana kita boleh menyokong perniagaan warisan dan kawasan bersejarah kita,” kata Dr Faishal, dalam satu catatan media sosial pada 15 Mei.

Pasukan pertugas itu ditubuhkan pada 2025 oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Ia dipengerusikan bersama oleh Dr Faishal dan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling.

Dalam beberapa bulan akan datang, Dr Faishal berkata Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Perikatan Kampung Gelam (KGA) akan mendekati pihak berkepentingan.

Ini bagi membincangkan langkah-langkah lanjut dalam menyusun gabungan penggunaan ruang yang lebih baik yang berpandukan Pelan Daerah Kampong Gelam.

Selain itu, pihak berkuasa juga sedang menggalakkan lebih banyak aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan seperti di 45 Sultan Gate yang kini berfungsi sebagai pusat pelawat dan ruang masyarakat kendalian KGA, tambahnya.

Dalam catatannya pada 15 Mei, Dr Faishal berkata pembukaan semula Taman Warisan Melayu baru-baru ini telah menunjukkan betapa pentingnya Kampong Gelam kepada masyarakat Melayu dan seluruh rakyat Singapura.

“Sebagai penasihat kepada KGA, kawasan ini mempunyai kedudukan yang sangat istimewa di hati saya,” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

“Saya telah melihat dedikasi penduduk yang menghidupkan Kampung Gelam. Kebanggaan dan rasa memiliki mereka adalah sesuatu yang sangat saya hargai.”

Bagi memastikan identiti unik Kampong Gelam terus terpelihara, Dr Faishal berkata beberapa langkah telah diperkenalkan untuk mengehadkan pertambahan kedai cenderamata baharu, bar, kelab malam serta pusat urut bagi melindungi watak asal daerah tersebut.

Melalui skim rintis restoran warisan, Dr Faishal berkata pemerintah juga sedang giat membantu perniagaan makanan tradisional untuk terus kekal beroperasi di daerah tersebut.

Usaha ini dilakukan meskipun terdapat sekatan semasa ke atas pembukaan restoran baharu di Kampong Gelam yang disebabkan oleh kebimbangan mengenai kesesakan lalu lintas.

“Saya berbesar hati kerana ini telah membolehkan Sabar Menanti – sebuah restoran warisan dan pusat masyarakat di Kampong Gelam, berpindah ke rumah baharu di daerah ini.” kata Dr Faishal.

Bagi memperkukuh sokongan perniagaan, Dr Faishal berkata Enterprise Singapore (EnterpriseSG) telah memperluaskan Program Paparan Visual yang Dipertingkat dan Geran Pewujudan Tempat Perusahaan di Kawasan Perumahan Awam kepada perniagaan warisan.

Bantuan ini bertujuan untuk membantu para pengusaha menyegarkan ruang perniagaan mereka agar dapat menarik lebih ramai pengunjung.

Isu kenaikan sewa yang mencabar kelangsungan perniagaan warisan baru-baru ini menjadi tumpuan utama.

Ini selepas kedai makan nasi padang popular, Warong Nasi Pariaman di Kampong Gelam, mengumumkan penutupannya pada 31 Januari selepas beroperasi selama 78 tahun.

URA menyatakan pada 31 Januari bahawa median sewa rumah kedai di kawasan bersejarah seperti Kampong Gelam, Little India dan Chinatown secara amnya meningkat pada kadar yang sederhana dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Di Parlimen pada 3 Februari, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, mendedahkan bahawa sebilangan kecil penyewa di kawasan Kampong Gelam menghadapi kenaikan sewa sebanyak 25 peratus atau lebih tinggi apabila mereka menandatangani pajakan antara 2023 dengan 2025.

Kebanyakan kedai yang terjejas itu terletak di kawasan yang mempunyai kunjungan orang ramai yang tinggi seperti di Haji Lane dan Bali Lane.

Menurut Dr Syed Harun, sesetengah daripada pajakan itu sebelum ini ditandatangani pada kadar di bawah harga pasaran, menyebabkan penyewa mengalami kenaikan yang lebih besar apabila kadar tersebut kembali normal ke arah kadar pasaran semasa.

Walaupun terdapat kenaikan tersebut, kadar sewa mereka dilaporkan kekal sekitar 20 peratus hingga 60 peratus lebih rendah berbanding ruang runcit konvensional di kawasan pusat bandar.