Topic followed successfully
Go to BHkuFairPrice beku harga 100 barangan harian lebih sebulan demi bantu kos sara hidup
FairPrice beku harga 100 barangan harian lebih sebulan demi bantu kos sara hidup
FairPrice beku harga 100 barangan harian lebih sebulan demi bantu kos sara hidup
Rangkaian pasar raya Kumpulan FairPrice (FPG) akan membekukan harga 100 barangan keperluan harian dari 9 April hingga 31 Mei ini, dalam satu langkah membantu pengguna menghadapi tekanan kos sara hidup di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik berterusan.
Menurut FPG dalam satu hantaran Facebook, senarai itu melibatkan barangan harian popular dalam kalangan pelanggan mereka.
Ini terdiri daripada barang jenama sendiri Fairprice termasuk beras, minyak masak, telur, ayam segar dan sejuk beku, minuman Milo, susu serta sabun pencuci pakaian.
Pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) Biru dan Jingga juga akan menerima potongan harga lebih tinggi, iaitu sehingga 6 peratus, berbanding 3 peratus sebelum ini, sehingga 29 Mei.
Sokongan tambahan itu turut disokong cabang kebajikan kumpulan tersebut, Yayasan FairPrice.
FPG berkata langkah tersebut diambil sedang rakyat Singapura terus merasakan kesan gangguan terhadap rangkaian tenaga sejagat dan rantaian bekalan yang memberi tekanan kepada perbelanjaan harian isi rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FPG, Encik Vipul Chawla, berkata usaha itu berlandaskan tujuan asal penubuhan FairPrice, iaitu memastikan barangan asas kekal mampu dimiliki ketika tempoh sukar.
“Barangan makanan dan runcit merangkumi lebih 20 peratus daripada belanjawan purata isi rumah, dan lebih tinggi lagi bagi keluarga berpendapatan rendah.
“Melalui pembekuan harga dan penggandaan diskaun mingguan Chas, kami mempertingkat sokongan untuk membantu isi rumah Singapura mengharungi masa yang tidak menentu ini,” katanya.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, pula berkata: “Di NTUC dan FPG, misi sosial kami adalah jelas.
“Tiada pekerja atau keluarga yang sepatutnya menghadapi tekanan kenaikan kos sara hidup bersendirian.
“Gandaan diskaun bagi pemegang kad Chas Biru dan Jingga membawa penjimatan sebenar setiap hari kepada mereka yang paling memerlukannya.
“Pembekuan harga bagi 100 barangan keperluan harian ini adalah cara kami menyampaikan: kami mendengar keluhan anda, dan kami sedang memainkan peranan kami untuk memastikan barangan keperluan kekal mampu dibeli.”
Langkah ini sebahagian skim diskaun harian yang diperluaskan kepada warga emas, Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, sejak Disember 2025 hingga hujung 2026.

